Ahad, 11 Disember 2011

Kisah al-Arqam II: Pengakuan wanita bernama Azura -- Menjadi perantara pertemuan Asaari dengan 'Rasulullah'

(Rencana ini adalah kesinambungan kepada rencana yang Sri paparkan sebelum ini. Juga diperolehi daripada arkid Utusan Malaysia yang bertarikh 11/4/1999. Ikuti kisahnya.)
...................................................................................................................................................................

SELEPAS Asaari Mohamad ditangkap di Thailand dan dibawa balik ke Malaysia pada 2 September 1994, bermulalah operasi yang dipanggil Ops Serban untuk menangkap pemimpin-pemimpin kanan al-Arqam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Zabidi Mohamed, penulis buku Tersungkur Di Pintu Syurga juga ditangkap. Ketika itu hari menjelang tengah malam. Dia baru lepas makan sate di Kajang dengan tiga orang pemimpin al-Arqam apabila seorang pegawai Polis Cawangan Khas mendekatinya.

Asaari, Zabidi dan para pemimpin al-Arqam lain ditahan selama dua bulan di bawah ISA. Menurut Zabidi, soal siasat sepanjang penahanan tersebut masih belum menyedarkannya tentang penyelewengan akidah Asaari. Asaari tidak berubah, Zabidi juga tidak berubah.

Semasa dalam tahanan, dari masa ke masa mereka ditemukan dengan ulama-ulama yang kebanyakannya dipilih daripada kalangan pensyarah-pensyarah universiti di sekitar Kuala Lumpur.

"Program dialog dan kuliah secara rasmi diberikan kepada kami dalam sebuah bilik mesyuarat di Sekolah Cawangan Khas Pulapol, Jalan Gurney yang dijadikan dewan kuliah kepada majlis ilmu tersebut. 

"Sungguh menyeronokkan kerana di samping diberikan makanan yang sedap-sedap, kami diraikan pula dalam satu majlis pengajian yang mana kuliah-kuliah yang diberikan kepada kami adalah setaraf dengan peringkat universiti,'' kata Zabidi.

Waktu itu Zabidi masih percayakan Asaari hinggalah cerita wanita bernama Azura terbongkar.

DI BALAI Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur inilah saya buat kali pertama, selepas hampir dua bulan ditahan di bawah ISA, dapat melihat 'planet bumi' yang cantik menghijau ini. Terasa nikmat dapat menghirupkan udara kebebasan. 

Kami kemudian dibawa ke sebuah motel tepi tasik di Rawang sementara menunggu masa untuk diberi arahan masuk ke Sungai Penchala bagi memulakan road show pertama kami. 

Sepanjang perjalanan saya bagaikan pelancong asing yang tidak pernah melihat wajah Malaysia, asyik melihat pemandangan di kiri kanan, walaupun jerebu yang melanda negara ketika itu masih belum pulih sepenuhnya. 

Inilah yang dikatakan nikmat kebebasan yang tidak semua orang dapat merasainya. Pernah seorang ahli al-Arqam bertanya kepada saya bagaimana rasanya duduk dalam sel dan saya katakan padanya: "Anta masuk dalam bilik air, tutup semua ruang cahaya dan duduk situ tak keluar-keluar selama dua bulan.''

Ustaz Asaari Mohamad juga dibebaskan.

Sehari kemudiannya pada 28 Oktober 1994 kami telah dibawa masuk ke perkampungan al-Arqam Sungai Penchala untuk bertemu dengan ahli-ahli al-Arqam. 

Sepanjang perjalanan masuk ke Sungai Penchala saya dapat melihat sekatan jalan raya diadakan di luar perkampungan dan kelihatan juga berpuluh-puluh anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) sedang berjalan kaki bergerak masuk ke perkampungan al-Arqam.

Di kawasan perkampungan iaitu di tapak surau sementara di hadapan bangunan pentadbiran Majlis Syukukh, kelihatan ribuan ahli al-Arqam telah sedia menunggu kedatangan kami.

Suasana mereka agak pilu seolah-olah menanti kedatangan satu jenazah yang bakal disembahyang dan dikebumikan. Apabila Ustaz Asaari keluar dari kereta yang membawanya, saya dapat lihat ramai ahli al-Arqam yang mengalirkan air mata.

Ustaz Asaari tenang saja memberi taklimat kepada ahli-ahlinya agar membuat perubahan kepada amalan akidah Sunah Wal Jamaah dan mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan serta akur dengan setiap tindakan kerajaan ke atas jemaah mereka.

Saya sebak menahan kesedihan ketika itu kerana sudah dapat merasakan ahli-ahli al-Arqam ini akan mengharungi zaman penuh ujian selepas ini. Semua ahli al-Arqam mendengar penuh teliti setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut Ustaz Asaari. 

Namun saya yakin mereka juga percaya ada makna dalam setiap perkataan Ustaz Asaari itu. Ada seorang bekas pemimpin al-Arqam yang tidak ditahan membisikkan ke telinga saya ketika kami mula beredar untuk meninggalkan majlis tersebut. "Jangan bimbang kami semua faham!''

Memang benar selepas habis semua road show kami seluruh Malaysia selama 4 bulan kemudian, ahli-ahli al-Arqam ini tetap tidak berubah keyakinan mereka pada Ustaz Asaari malah makin kuat. Yang mereka ubah hanyalah warna jubah dan serban mereka.

"Semua yang berlaku ini semuanya adalah dalam jadual Allah, kita ditahan di bawah ISA agar minda kita boleh direct kita sampaikan kepada puak-puak SB ini, hasilnya sekarang menurut 'Rasulullah' telah 85 peratus SB menyokong kita. Inilah yang dikatakan Daulah akan berlaku secara khawariqul 'adah,'' kata Ustaz Asaari kepada pemimpin-pemimpinnya yang selalu ditemuinya selepas subuh di beberapa buah restoran sekitar Daerah Gombak, walaupun beliau dihalang bertemu dengan bekas-bekas al-Arqam.

Malah ketika kursus Pemurnian Akidah anjuran Pusat Islam di Port Dickson pada 22 Disember 1994, Ustaz Asaari telah menggunakan peluang itu untuk memberi 'arahan-arahan baru' kepada semua peserta kursus yang kebetulan adalah bekas-bekas pemimpin al-Arqam dari seluruh Malaysia.

Selepas tamat program road show kami, Ustaz Asaari telah memberi arahan kepada semua barisan pimpinannya untuk menghilangkan nama al-Arqam yang telah diharamkan oleh kerajaan. Ini semua dilakukan bertujuan bagi mengabui mata Bukit Aman. 

Untuk mengabui mata Bukit Aman, Ustaz Asaari juga telah mengadakan program kuliah fardu ain selepas subuh, yang dikatakannya hanya dihadiri oleh kaum keluarganya sahaja. 

Tetapi hakikatnya, ramai bekas pemimpin al-Arqam juga telah dijemput untuk hadir dalam majlis fardu ain ini. Dan pemimpin-pemimpin ini kemudiannya akan mengkuliahkan semula fardu ain ini kepada anak-anak buahnya dalam program-program motivasi dalam syarikat mereka.

Di samping fardu ain, minda Ustaz Asaari dan arahan-arahan semasa daripadanya juga disampaikan secara sembunyi-sembunyi. Malah banyak arahan yang keluar daripada Ustaz Asaari dikatakan adalah hasil daripada yaqazah Ustaz Asaari dengan 'Rasulullah'.

Hidden agenda Ustaz Asaari untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia masih berjalan seperti biasa. Malah be-liau semakin yakin Daulah Islamiah akan berlaku.

Ustaz Asaari juga secara berani telah merestui tindakan pemimpin-pemimpin al-Arqam mengatur perkahwinan bekas-bekas ahlinya secara beramai-ramai di tempat terbuka bagi mempamerkan 'kekuatan' kepada Pusat Islam dan Bukit Aman. Seluruh ahli al-Arqam dari seluruh Malaysia akan dijemput beramai-ramai menghadiri majlis-majlis perkahwinan ini.

"Kita berkumpul ni cara legal, jadi Pusat Islam tak boleh kata apa-apa. Lagipun SB dah sokong kita, cuma mereka tak tunjuk pada kita. Daulah kita dah dekat. Kita mesti cepat pertingkatkan minda, jangan jauh ketinggalan. Sekarang perkembangan terlalu laju. Beberapa orang politik dalam UMNO sedang bekerja 24 jam untuk jatuhkan Dr. Mahathir dan naikkan Abuya. Daulah dah dekat!'' 

Pernah Ustaz Asaari menyebut pada saya dalam satu perjumpaan sulit saya dengannya di sebuah restoran di Kepong selepas subuh. Ustaz Asaari masih kental dengan hidden agendanya lagi.

Semua ahli al-Arqam mempercayai kata-kata Ustaz Asaari tanpa sebarang keraguan kerana Ustaz Asaari mendakwa dia masih mendapat mesej-mesej daripada 'Rasulullah'.

Ustaz Asaari kemudiannya telah mengarahkan agar semua ahli al-Arqam ini di 'ijazahkan' semula dengan wirid Aurad Muhammadiah. Beberapa orang pemimpin al-Arqam telah diwakilkan oleh Ustaz Asaari untuk melakukan majlis pengijazahan wirid itu.

Hatta ada di antara mereka yang telah pergi ke Jordan untuk mengijazahkan kembali hampir 120 orang pelajar tajaan al-Arqam yang masih menyambung pengajian mereka di sana.

Pada 7 Mei 1996 ISA kali kedua telah dilakukan ke atas beberapa orang lagi pemimpin al-Arqam.
Tangkapan ini dibuat di atas dakwaan mereka cuba menghidupkan kembali pertubuhan al-Arqam yang telah diharamkan. Ibrahim Mohammad, Khatijah Aam dan Sobri Abd Rani ditahan sekali lagi buat kali kedua, berserta 16 pemimpin al-Arqam yang lain. Saya sendiri tidak dapat tidur malam ketika operasi kedua itu dijalankan kerana bimbang kalau-kalau 'burung masuk sangkar' untuk kali kedua.

Namun yang menjadi tanda tanya kepada saya ketika itu dan juga kepada beberapa pemimpin al-Arqam yang lain ialah kenapa ada seorang muslimah al-Arqam, isteri kepada Setiausaha Peribadi Ustaz Asaari bernama Azura ditangkap sama?

"Kenapa dia ditangkap? Dia bukan pemimpin dalam muslimah al-Arqam, penting ke dia ditangkap?'' Pernah saya bertanya kepada salah seorang pemimpin al-Arqam yang tidak ditangkap ketika itu. Dia juga sebenarnya menanyakan soalan yang sama.

Faktor Azura terus menjadi teka-teki kepada kami bekas pemimpin-pemimpin al-Arqam hinggalah pada Ogos 1996 majalah Al Islam menyiarkan pembohongan Azura yang telah mendakwa menjadi orang perantaraan yaqazah Ustaz Asaari dengan 'Rasulullah'.

Walaupun cerita mengenai Azura di dalam majalah Al Islam ini dikeluarkan semasa rakan-rakan saya termasuk Azura masih berada di dalam tahanan untuk disoal-siasat, saya mudah mempercayainya kerana Azura secara peribadi pernah memberitahu saya dia boleh mengembara ke 'alam kerohanian'. 

'Ekspedisi kerohanian' ini selalu dilakukan bersama timbalan Ustaz Asaari, Haji Abdul Halim Abbas. Tetapi ketika itu saya masih reserve komen saya itu, kerana mahu mendengar sendiri daripada mulut Azura.
Selepas tamat tempoh 60 hari soal-siasat selesai kesemua pemimpin al-Arqam yang ditahan ISA kali kedua itu telah ditahan selanjutnya di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, kecuali Sobri Abdul Rani, Khatijah Aam dan Ibrahim Mohammad.

Sobri Abdul Rani sejurus selepas dibebaskan telah datang menemui saya memberitahu tentang buku pengakuan Ustaz Asaari yang dibacanya. 

Buku pengakuan Ustaz Asaari ini dibuat ketika beliau ditahan dalam ISA kali pertama dulu. Di dalam buku itu Ustaz Asaari telah mengaku tidak pernah walaupun sesaat beryaqazah dengan Rasulullah. Saya terperanjat dengan kenyataan itu tapi masih reserve lagi komen saya kerana mahu mendengar sendiri daripada mulut Azura.

Buku pengakuan Ustaz Asaari ini tidak diberi kesempatan kepada kami yang ditahan di bawah ISA kali pertama dahulu membacanya. Ini kerana pihak Bukit Aman menyangkakan kami tahu bagaimana yaqazah Ustaz Asaari itu dilakukan dan mereka terperanjat bila mendapat tahu hampir 98 peratus pemimpin al-Arqam juga tidak mengetahuinya. Malah anak-anak Ustaz Asaari juga tidak mengetahuinya.

Pada November 1996, semua pemimpin al-Arqam yang pernah ditahan di bawah ISA kali pertama dan kedua, kecuali Ustaz Asaari (yang sudah mula uzur, sakit mulut tidak boleh bercakap dengan baik/jelas) telah dipanggil berkursus selama 16 hari di Kem Tahanan Kamunting, Taiping. 

Timbalan Ustaz Asaari, Haji Abdul Halim Abbas telah melarikan diri ke Indonesia kerana enggan menghadiri kursus tersebut.

Semasa kursus di Kamunting saya telah dimaklumkan oleh rakan-rakan yang lain bahawa mereka juga telah diberi peluang membaca buku pengakuan Ustaz Asaari setebal 800 muka surat itu. 

Di dalam buku itu Ustaz Asaari mengaku tidak pernah beryaqazah dengan 'Rasulullah' malah dia hanya menggunakan orang perantaraan dalam ekspedisi kerohaniannya. Orang perantaraan itulah yang mendakwa dapat bertemu dan berbual dengan 'Rasulullah'.

Paling memeranjatkan serta mengecewakan saya dan paling tidak masuk akal dalam buku pengakuan Haji Abdul Halim Abbas pula yang setebal 600 muka surat, Haji Abdul Halim juga mengaku dia telah menggunakan seorang ahli al-Arqam berbangsa Moro dari Sabah untuk menjadi perantara yaqazah dengan 'Rasulullah'.

Pada hal kebanyakan para pemimpin al-Arqam mengetahui orang perantaraan ini adalah bekas seorang penyanyi kelab malam, malah pernah terlibat dalam kes homoseksual. 

Bagi saya tidak munasabah Rasulullah s.a.w melantik seorang yang homoseksual untuk berhubung dengan Ustaz Asaari. Kalau Asaari mulia atau bertaraf wali Allah seperti yang didakwa oleh semua pengikutnya, kenapa tidak Rasulullah terus berhubung dengan Ustaz Asaari? 

Paling memeranjatkan saya, hingga gugur jantung hati saya bagaikan kondominium Highland Tower yang runtuh meredum, ialah apabila dalam buku pengakuan itu Ustaz Asaari juga mengaku 'yaqazah perantaraan' itu memang tidak ada dalam syariat Islam.

Cara bagaimana dia beryaqazah itu sengaja disembunyikan daripada pengetahuan para pemimpin dan pengikut-pengikutnya, demi untuk menjaga kepentingan dan kredibiliti kepimpinannya.

Saat yang paling saya tunggu-tunggu untuk mendengar pengakuan daripada mulut Azura sendiri, akhirnya tiba juga iaitu semasa kursus ini diadakan. Azura telah mengaku bahawa dia mempunyai sejarah kehidupan rumah tangga yang hancur sejak dari kecil.

Kemudian selepas berkahwin dengan seorang pemuda Arab, secara sengaja dan sedar beliau telah menipu Ustaz Asaari dengan mengaku mampu bertemu dengan 'Rasulullah' . Ini semua dilakukan kerana dia mahu terus kekal hidup rapat dengan Ustaz Asaari agar dia tidak kembali kepada kehidupan lamanya dan agar dipandang mulia oleh semua pengikut al-Arqam.

Peluang dapat dikahwinkan dengan Setiausaha Peribadi Ustaz Asaari selepas perceraian dengan suami Arabnya adalah 'rezeki terpijak' yang memang ditunggu-tunggunya. Lagi pun katanya lagi, bila rapat dengan Ustaz Asaari dia dapat ikut melancong ke luar negara. Dan dia juga berani mengatakan telah dijadikan perantaraan oleh Ustaz Asaari untuk beryaqazah dengan 'Rasulullah' lebih daripada 99 kali.

"Saya tahu Ustaz Asaari bukan wali, sebab itu saya berani tipu dia,'' ayat yang keluar daripada mulut Azura di hadapan lebih kurang 200 orang peserta Kursus Pemurnian Akidah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di Bangunan Tabung Haji, Kelana Jaya pada 7 Jun 1997.

Dalam kursus itu juga seorang guru agama yang juga editor khas bahagian al-Quran dan al-Hadis kepada bahagian penerbitan buku-buku Ustaz Asaari telah membuat pengakuan bahawa ciri-ciri Pemuda Bani Tamin yang didakwa dipetik dari hadis-hadis dalam sebuah kitab tua (Jamius Saghir) tidak pernah ditemuinya. 

Ciri-ciri yang kononnya dipetik daripada kitab tua tersebut sebenarnya diperoleh daripada seorang menantu perempuan Ustaz Asaari berasal dari Indonesia yang didakwanya didengar dari guru pesantrennya. Menantu ini tidak pasti sama ada ciri-ciri tersebut benar-benar ada di dalam kitab tua itu. Dia hanya mengagak sahaja.
Dalam nada seperti orang yang menjerit-jerit dan separuh gila saya 'memuntahkan' semua isi perut saya di hadapan para pemimpin al-Arqam yang turut serta dalam kursus di Kem Kamunting sehingga terpaksa disejukkan kemudiannya oleh pegawai-pegawai KDN dan Bukit Aman.

"Kenapa Ustaz Asaari sanggup gadaikan iman pengikut-pengikutnya demi perjuangannya yang tidak terpijak di bumi nyata ini? Kenapa? Mereka anak-anak buah kita nun di perkampungan telah berkorban segala-galanya, harta, wang ringgit, tenaga dan segala-galanya yang ada pada mereka, hanya kerana cinta mereka pada Ustaz Asaari dan kerana menanti dan mengharap kedatangan Daulah Islamiah. 

"Sekarang ni mereka hidup miskin papa kedana mengharap janji dari jadual Allah yang selalu diperkatakan oleh Ustaz Asaari. Dan kita, para pemimpin ini, pula kerana taksub kita juga, telah menanamkan lagi rasa taksub ini dalam diri mereka." 

Hancur punah hati kami mendengar jawapan Asaari. Tetapi kali ini air mata saya telah terlalu kering untuk menangis lagi. - Oleh Zabidi Mohamed

Kisah Al-Arqam I: Pertemuan sulit dengan Norian Mai -- Peristiwa penting menjelang penangkapan Asaari Mohamad

Sri baru sahaja selesai membaca dua rencana yang mengisahkan tentang peristiwa kejatuhan Al-Aqram pada tahun 1994 yang lalu. Banyak perkara yang Sri tidak ketahui sebelum ini dan sedikit sebanyak Sri telah dapat sedikit gambaran kasar mengenai peristiwa ini melalui rencana tersebut. Rencana ini adalah sedutan daripada sebuah buku bertajuk 'Tersungkur Di Pintu Syurga' yang diterbitkan oleh Zabidi Mohamed, juga merupakan bekas Penasihat Undang-Undang al-Arqam. Ikuti tulisan sedutan peristiwa tersebut yang diperolehi dari arkid Utusan Malaysia yang bertarikh 28/03/1999.
.....................................................................................................................................................................

Penyelewengan akidah Syeikul Arqam, Asaari Mohamad diikuti oleh pengikut-pengikut al-Arqam secara membuta tuli. Menurut Zabidi dalam buku itu, taksub kepada pemimpin menjadi punca penyelewengan Asaari hingga ia tidak disedari oleh para pengikut. 

Apabila kerajaan membuat keputusan mengharamkan al-Arqam, operasi dirancang oleh pihak polis untuk menangkap Asaari yang ketika itu berada di Phrae, utara Thailand. 

Salah satu peristiwa penting menjelang penangkapan tersebut ialah pertemuan lima pemimpin kanan al-Arqam, termasuk Zabidi, dengan Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Norian Mai. 

Pertemuan diadakan di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya pada 1 September 1994. Bilik hotel yang menjadi tempat pertemuan itu berlangsung ditempah oleh al-Arqam. Zabidi menceritakan apa yang berlaku semasa pertemuan malam itu dalam buku Tersungkur Di Pintu Syurga.

TELEVISYEN yang dipasang masih dengan siarannya, Cikgu Hashim dalam bilik air, Sobri Abdul Rani mengambil secawan air dari flask yang disediakan untuk membancuh kopi. Ustaz Mohd. Nasib, Abang Khairil Anuar duduk di settee melihat rancangan TV. 8.30 malam telefon berdering, diangkat oleh Ustaz Mohd. Nasib.

''Berapa orang?'' tanya Ustaz Mohd. Nasib kepada si pemanggil. "Mereka dah sampai, dalam perjalanan,'' kata Ustaz Mohd. Nasib sambil meletakkan gagang telefon. Kami semua bingkas bangun dan mengemaskan kedudukan kerusi dan membetulkan pakaian masing-masing. Cikgu Hashim Jaafar bergegas keluar dari bilik air.

Lima minit kemudian terdengar pintu bilik hotel kami diketuk. Kedengaran orang memberi salam. "Waalaikumussalam,'' jawab Cikgu Hashim Jaafar sambil membuka pintu. Suasana riuh sebentar, Cikgu Hashim Jaafar, Sobri Abdul Rani dan Ustaz Mohd. Nasib terus mempersilakan tetamu kami malam itu masuk dan duduk di ruang tamu dalam bilik itu. 

Saya dan Abang Khairil Anuar hanya berdiri menunggu di kawasan ruang settee. Selepas bersalam-salaman Ustaz Mohd. Nasib memberikan kerusi kepada Supritendan Azmi. "Jemput duduk Datuk.''
Kebetulan bilik kami tidak menyediakan kerusi tambahan. Saya dan Ustaz Mohd. Nasib terpaksa duduk di hujung katil. Suasana riuh tadi kemudiannya tiba-tiba bertukar menjadi agak rasmi apabila Haji Yusof Jaafar segera memulakan majlis tanpa membuang masa.

"Harap tuan-tuan tak lama menunggu,'' Haji Yusof Jaafar memulai.

"Saya memperkenalkan ini Datuk Norian Mai dan yang di sebelah sana itu Supritendan Azmi. Dia akan jadi tukang catat kita malam ini, dia tu macam setiausaha Datuk, memang kerja dia banyak mencatat. Harap tuan-tuan tidak menghalang kalau perjumpaan malam ini dicatatkan. Ini memang prosedur biasa kami,'' kata Haji Yusof Jaafar disambut dengan gelak ketawa oleh kami semua. 

Apabila diberitahu bahawa Supritendan Azmi akan mencatat semua perbualan malam itu, saya bergegas bangun mendapatkan briefcase saya di hujung katil untuk mencatatkan perbualan malam itu.

Malam itu Datuk Norian Mai memakai kot warna petak-petak coklat cerah, duduk di kerusi yang membelakangkan bilik air. Sambil kaki kanannya diletakkan bersilang di atas kaki kiri dan tangan kirinya memegang dagu, dia nampak cukup berwibawa. 

Orangnya rendah sahaja tapi agak gempal. Sekali pandang nampak seperti watak Omar Mokhtar yang dilakonkan oleh Anthony Quinn dalam filem Lion of the Desert. Memang dia layak jadi Pengarah Cawangan Khas. Muka pun sebiji macam muka SB, fikir saya ketika itu.

Datuk Norian Mai masih tidak bercakap apa-apa. Kaki kanannya yang bersilang di atas kaki kiri kelihatan dibuai-buai. Tentu dia sedang memikirkan sesuatu. 

Alangkah baiknya kalau saya boleh membaca fikiran Datuk Norian Mai ketika itu. Tentu di pinggangnya tersembunyi pistol agaknya. Fikiran saya melayang memikirkan apa sebenarnya niat mereka malam ini. Ustaz Mohd. Nasib nampak gelisah.

Udara sejuk di bilik hotel kami sudah tidak terasa. Pandangan lampu malam di luar tingkap hotel kami, tiada siapa yang menghiraukannya lagi.

Perbualan terhenti seketika. Datuk Norian Mai cepat mengambil kesempatan.

"So, macam mana cerita kita malam ni?'' Datuk Norian Mai tiba-tiba menyelit. "Kedatangan kami malam ini adalah atas kehendak pihak kerajaan,'' Datuk Norian Mai memulakan tajuk baru yang lebih menjurus kepada maksud pertemuan malam itu dalam nada yang agak berhati-hati. Kami semua mula mengalih pandangan kepada Datuk Norian Mai. Suaranya memanggil konsentrasi kami kepada maksud percakapannya. Saya dan Supritendan Azmi mula bersedia untuk mencatat buku catatan kami.

Datuk Norian Mai menyambung lagi. "Keputusan telah dibuat dan pihak kerajaan akan bertindak, jadi tuan-tuan macam mana?''

"Macam mana... apa Datuk?'' Sobri Abdul Rani mula menyahut pertanyaan Datuk Norian Mai.

"Yalah tuan-tuan tentu faham, pihak kerajaan telah buat keputusan dan kami PDRM hanya akan menjalankan tugas seperti biasa. Kami hanya ikut arahan,'' Datuk Norian Mai cuba memahamkan kami maksud kata-katanya tadi.

"Kami masih tak faham maksud Datuk,'' Cikgu Hashim Jaafar cuba mendapatkan jawapan pasti daripada Datuk Norian Mai.

"Senangnya beginilah...," Haji Yusof Jaafar cuba menyambung maksud Datuk Norian Mai. Kami mendengar penuh minat. "Tak boleh ke pihak al-Arqam kompromi sikit?'' Haji Yusof Jaafar menambah.

"Kompromi? Kompromi macam mana Datuk?'' Sobri Abdul Rani cuba menyampuk buat-buat tak faham. Kami masing-masing membetulkan tempat duduk untuk mendapatkan kepastian daripada Datuk Norian Mai dan Haji Yusof Jaafar.

"Yalah... kompromilah sikit. Maksudnya sementara waktu ini, tak payahlah pakai uniform jubah hijau dan serban tebal tu, logo-logo Arqam pun tanggalkanlah. 

"Purdah pun tak payahlah...'' Haji Yusof menambah lagi cuba memahamkan kami maksud sebenar apa yang cuba disampaikan oleh Datuk Norian Mai awal tadi.

"Tak payahlah buat perkampungan... bubarkan saja perkampungan yang ada dan duduk bersama masyarakat perdana,'' Haji Yusof Jaafar menyambung lagi.

"Pada pandangan kami soal kompromi tak timbul, sebab yang mulakan isu al-Arqam ini adalah Datuk Dr. Abd Hamid Othman dan Pusat Islam. Mereka yang tuduh kami cuba wujudkan pasukan Tentera Badar di Phuket, Thailand. Itu semua fitnah. Kami percaya pihak Bukit Aman lebih tahu hal ini. Jadi kenapa pula kami kena kompromi?'' Sobri Abdul Rani cuba menegakkan hujahnya penuh semangat.

Datuk Norian Mai duduk tenang tanpa menyampuk dalam majlis yang telah mula hangat itu. Kaki yang dihayunkannya tadi sudah dihentikan. Tangan kirinya masih memegang dagu dan matanya merenung kami satu-persatu. Supritendan Azmi tenggelam dengan catatannya. Perbualan menjadi semakin hangat dan rancak.
Memang saya tahu selama ini Pusat Islam sejak zaman Datuk Yusuf Noor lagi hingga sekarang tidak begitu senang dengan al-Arqam dan Ustaz Asaari. Pusat Islam punya "personal inneundo'' dengan Ustaz Asaari.

Ini bermula sekitar tahun 1984 lagi apabila Ustaz Asaari membuat teguran terbuka kepada kelemahan pentadbiran dan pengurusan Pusat Islam. Masyarakat Islam di Malaysia sendiri pun banyak memberi komen-komen negatif kepada Pusat Islam. 

Al-Arqam ketika itu telah mencabar agar Pusat Islam diserahkan kepada al-Arqam. Buku 'Aurad Muhamadiah Pegangan Darul Arqam' diharamkan secara tergesa-gesa oleh Pusat Islam selepas teguran itu, seolah-olah melepaskan geram.

PDRM bagi saya hanya kakitangan kerajaan yang makan gaji, hati mereka dengan al-Arqam cuma sebab makan gaji terpaksa ikut arahan. Kecuali KPN Tan Sri Rahim Noor yang kami anggap tali barut PM. Sebab itu pertemuan saya dan pemimpin al-Arqam lain dengan Datuk Norian Mai pada malam itu saya yakini dapat menjadi jambatan bagi saya menerangkan keadaan sebenar dan prinsip perjuangan Ustaz Asaari dan jemaahnya. 

PDRM lebih ikhlas bila berdepan dengan orang agama dan mereka lebih rasional tanpa melibatkan sebarang emosional dalam membuat tafsiran. Itu keyakinan saya.
Air yang tersedia di hadapan meja kecil di hadapan settee masih tiada siapa yang mengusiknya lagi. Masing-masing nampak cuba memahamkan maksud pertemuan malam itu, tetapi kedua-dua pihak tidak mahu "score goal'' dulu.

Datuk Norian Mai hanya memerhatikan sahaja hujah yang cuba ditegakkan oleh pihak kami. Ustaz Mohd. Nasib kelihatan gelisah dan tidak senang duduk. Kadangkala dia cuba juga menyampuk perbualan tetapi sering tenggelam. Saya sendiri sekali sekala sempat beri isyarat pada Ustaz Mohd. Nasib agar "cool down'' supaya perbincangan tidak jadi anticlimax.

"Tak boleh ke sementara waktu ini tidak payah tonjolkan sangat identiti dan turunkan semua logo al-Arqam,'' Haji Yusof Jaafar cuba memfokuskan kembali perasaan dan fikiran kami kepada isu asal perbincangan tadi. Dia seolah-olah mahu dua perkara itu ada jawapannya pada malam itu juga.

"Datuk, Abuya ajar kami agar patuh kepada undang-undang kerajaan yang tidak bertentangan dengan syariat. Ahli-ahli al-Arqam yang tiada lesen memandu pun Abuya pesan jangan bawa kereta atau motor. Sebab itu sehingga ini tiada sebarang jenayah pernah dilakukan oleh mana-mana anggota al-Arqam. Fasal logo insya-Allah, kami tiada sebarang masalah jika pihak kerajaan nak turunkan. Tapi kenalah kerajaan turunkan, kami sendiri tidak akan menghalang tapi tidak akan turunkan sendiri,'' Abang Khairil Anuar menyambung.

"Kerajaan telah buat keputusan dan tindakan akan dibuat... jadi apa pandangan tuan-tuan semua?'' Datuk Norian Mai mengulangi lagi kata-katanya .

Sobri Abdul Rani mengambil peluang untuk menyambung ceritanya.

"Begini Datuk, Abuya ketika saya maklumkan pertemuan yang akan diadakan malam ini telah minta sampaikan beberapa perkara pada Datuk sebagai wakil kerajaan. Antaranya saya diminta menceritakan kepada Datuk secara terus-terang tentang Jadual Allah, kebangkitan Islam dari Timur dan kejatuhan Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim serta kebangkitan rakyat.''

Datuk Norian Mai membetulkan duduknya menghalakan mukanya terus ke arah Sobri Abdul Rani yang duduk di sebelah kanan Abang Khairil Anuar. Supritendan Azmi yang melihat Datuk makin bersemangat meneruskan perbincangan malam itu juga menunjukkan minat yang makin tinggi, maklum saja dia bertugas sebagai pencatat malam itu. Tentu dia tidak mahu sebutir pun perbincangan malam itu tertinggal dari catatannya.

Sobri Abdul Rani menyambung, "Janji Allah... kemenangan Islam pasti akan berlaku. Rasulullah s.a.w ada bersabda, 'Sebelum hari kiamat, pasti Islam itu akan bangun, agung semula, walaupun masa antara mulanya Islam bangun dan mula kiamat itu hanya sekadar memerah susu'. 

"Abuya dan kami juga yakin Islam akan kembali gemilang. Keyakinan kami adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah, bukan satu andaian. Kami sedang berusaha ke arah itu, berdakwah ke tengah masyarakat supaya Islam yang syumul itu dapat ditegakkan. Selain hadis, pengalaman perjuangan kami juga membuktikan kebenaran hadis tersebut.''

"Ada juga yang walaupun tidak menganut Islam, tapi cukup bersimpati dengan jemaah al-Arqam, mereka ini kami panggil dengan gelaran Zimmi Jemaah,'' Abang Khairil Anuar menambah.

"Macam para simpati Arqam di Malaysia, walaupun tidak menganggotai Arqam, mereka minat dengan Minda Abuya, mereka ini digelar Arqam Batik,'' Cikgu Hashim Jaafar menyampuk.

"Wah... kalau gitu malam ini, saya Arqam Batiklah, sebab saya pakai baju batik,'' Haji Yusof Jaafar bergurau. Datuk Norian Mai hanya senyum sahaja melihat Haji Yusof Jaafar.

Sobri Abdul Rani terus menyambung tanpa mahu membuang masa, "Abuya berjuang membawa mesej kasih sayang, semua manusia di dunia tanpa mengira agama perlukan kasih sayang. Sebab itu dakwah Arqam dan Minda Abuya mudah diterima masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia termasuk dunia Arab.''

"Orang Arab terutamanya jemaah-jemaah tarekat di sana cukup menyanjung Abuya dan perjuangannya,'' Ustaz Mohd. Nasib cuba membantu.

Datuk Norian Mai dan Haji Yusof Jaafar tidak cuba menyampuk, mereka mahu Sobri Abdul Rani terus menghabiskan apa yang dikatakan pesanan dari Ustaz Asaari itu.

"Ini petanda apa yang kami perjuangkan adalah kebenaran. Begitu juga Rasulullah ada bersabda '... pada akhir zaman Islam akan bangkit gemilang bermula dari sebelah timur' dan Abuya yakin Timur itu adalah negara kita Malaysia. Kami sedang berusaha untuk merealisasikan kebenaran hadis itu. Sebab itu kami begitu yakin dengan Abuya. 

"Lagi Datuk, Abuya juga pernah membuat ramalan-ramalan ke atas isu-isu semasa dunia. Semuanya berlaku dan ini menambahkan lagi keyakinan kami kepada Abuya.''

"Ramalan? Boleh Sobri detailkan lagi?'' Datuk Norian Mai makin menunjukkan minat.

Sobri Abdul Rani makin bersemangat dengan respons yang ditunjukkan oleh Datuk Norian Mai.

"Antara ramalan Abuya pertama, Perang Teluk akan berterusan. Ini terbukti walaupun Iraq telah keluar daripada Kuwait, Amerika masih menyerang Baghdad. 

Hingga hari ini sekatan ekonomi ke atas Iraq belum tamat. Kedua, Presiden Suharto akan membawa perubahan ke atas Indonesia dengan Islam dan ini terbukti benar apabila dalam rombakan kabinet Suharto baru-baru ini hanya ada dua orang sahaja menteri kanannya yang datang daripada golongan bukan Islam. 

"Abuya memang dikenali oleh Presiden Suharto dan pernah Presiden Suharto menghadiahkan jam emas kepada Abuya. Keempat, kejatuhan Soviet dan Gorbachev, hanya Abuya seorang saja di dunia ini yang dapat meramalkan lebih awal. Ini dapat dibuktikan dalam sajak Abuya 'Perutusan Untuk Gorbachev'. CIA sendiri pun gagal meramalkan perpecahan ini. 

"Datuk, kami yakin Abuya adalah pemimpin yang dijanjikan. Apa yang berlaku di seluruh dunia adalah Jadual Allah..."

"Macam mana Ustaz Asaari dapat maklumat buat ramalan-ramalan?'' tanya Datuk Norian Mai.

"Mesej Datuk... mesej dari 'Rasulullah' yang beritahu pada Abuya, Abuya bertemu dan beryaqazah dengan 'Rasulullah', sebab itu ramalan Abuya semua tepat, termasuklah ada 'Rasulullah' maklumkan kepada Abuya tentang kejatuhan PM dan TPM di depan rakyat tidak lama lagi... 2 atau 3 bulan saja lagi.''

Haji Yusof Jaafar tiba-tiba memintas percakapan Sobri Abdul Rani, "Beginilah. Saya, terutama Datuk, sekadar nak tau, kalau kerajaan bertindak ke atas al-Arqam, adakah ahli-ahli al-Arqam akan membuat apa-apa tindak balas?''

Haji Yusof Jaafar, pada saya, mungkin tidak mahu perbincangan malam itu menjadi panjang tanpa tujuan dan tidak mencapai matlamat yang dikehendaki oleh Datuk Norian Mai.

Sobri Abdul Rani tidak putus asa dan menyambung penjelasannya sambil terus menjawab pertanyaan Haji Yusof Jaafar tadi.

"Insya-Allah... Abuya pemimpin kasih sayang. Abuya sejak dulu hingga sekarang mendidik kami supaya banyak berdoa kepada Allah dalam menghadapi situasi sekarang, terutamanya pertentangan dengan Pusat Islam. Hatta di saat-saat Abuya dituduh sesat dan menyeleweng, Abuya berpesan kepada kami agar menjaga akhlak, mempertingkatkan ibadah dan meneruskan khidmat masyarakat seperti biasa.

"Kami jamin kepada Datuk sebagai wakil KPN dan PDRM serta wakil kerajaan bahawa setitik darah pun tak akan tumpah di bumi Malaysia kalau kerajaan mengambil keputusan untuk bertindak ke atas Arqam. Hatta kalau Abuya ditangkap pun kami tidak akan bertindak. Kami jamin 'Memali Kedua' tidak akan berlaku. Perjuangan kami perjuangan kasih sayang. Bertindak secara kekerasan bukan cara Abuya.''

Sobri Abdul Rani nampak bersemangat, seolah-olah sedang memberi kuliah kepada ahli-ahli al-Arqam seperti yang selalu dilakukannya ketika melawat perkampungan al-Arqam.

"Tapi pihak kerajaan telah membuat keputusan, tindakan akan dilakukan dan saya sebagai orang yang menerima arahan daripada pucuk pimpinan tertinggi dalam kerajaan akan menjalankan tugas. Kami tiada banyak pilihan. Saya harap tuan-tuan faham maksud saya,'' Datuk Norian Mai masih mengulangi ucapan yang sama seperti mula-mula beliau masuk tadi. Tetapi kali ini nadanya agak lebih serius.

"Kami beri jaminan sekali lagi pada Datuk pertumpahan darah tidak akan berlaku. Mengenai ugutan bom terhadap balai-balai polis yang dihebohkan dalam akhbar beberapa hari kebelakangan inipun kami yakin bukan datang daripada ahli-ahli al-Arqam. Kami pegang pistol pun takut, inikan pulak nak bom balai polis,'' Sobri Abdul Rani cuba meyakinkan Datuk Norian Mai.

Tiba-tiba, seperti yang saya jangka dan bimbangi, Cikgu Hashim Jaafar menyoal Haji Yusof Jaafar, "Tuan Haji... muka saya ini... ada ke macam rupa orang sesat akidah?'' Cikgu Hashim cuba bergurau namun Haji Yusof Jaafar nampak berubah wajahnya dengan pertanyaan tersebut. Saya rasa dia mungkin tersinggung dengan soalan tersebut. Cikgu Hashim Jaafar lepas cakap lagi.

"Kami polis, bukan ahli Majlis Fatwa. Kami hanya ikut apa yang telah difatwakan,'' Haji Yusof Jaafar menjawab secara spontan dan disambut dengan gelak ketawa. Saya agak cemas dengan cara gurauan Cikgu Hashim Jaafar.

Sejurus kemudian Datuk Norian Mai menghirup kopi dan kemudiannya mencelah.

"Baiklah nampaknya perbualan kita sampai di sini saja dulu... insya-Allah kalau ada masa kita jumpa lagi.''
Datuk Norian Mai kemudiannya bangun dan bersalaman dengan kami semua. Ketika tangannya menjabat tangan saya, sempat Datuk Norian merenung mata saya sambil berkata dalam nada bergurau, "Dulu dengar nama saja... tapi sekarang dah dapat tengok orangnya.'' Berderau darah saya dibuatnya. Apakah maksud Datuk itu? Adakah saya telah termasuk dalam senarai bakal di-I.S.A.-kan? fikir saya ketika itu.

Ketika itu Datuk Norian Mai, Haji Yusof Jaafar dan Supritendan Azmi sedang dibawa keluar dari bilik ditemani oleh Sobri Abdul Rani, Ustaz Mohd. Nasib dan Cikgu Hashim Jaafar, menuju ke lif yang terletak di sebelah bilik kami saja.

"Abang Khairil dengar tak apa Datuk kata pada Haji Yusof bila mereka masuk dalam lif tadi? Ana dengar Datuk kata pada Haji Yusof, 'Usop, kalau begini mudahlah kerja kita.' Agak Abang Khairil apa maksud Datuk bila dia kata gitu pada Haji Yusof?'' Sobri Abdul Rani melontarkan pertanyaannya. 

Abang Khairil tidak menjawab, mungkin dia juga sedang memikirkan maksud kata-kata Datuk Norian Mai itu. Namun tiada siapa malam itu dapat mentafsirkan apa sebenarnya maksud di sebalik kata-kata Datuk Norian Mai tadi. - Oleh Zabidi Mohamed

Ahad, 4 Disember 2011

Aura Pru 13

Perhimpunan Agung UMNO 2011 sudah pun melabuhkan tirainya. Apa yang menjadi tanda tanya kita sekarang, bilakah PRU ini akan diadakan? Persoalan tersebut hanyalah diketahui oleh PM kita sendiri dan semestinya waktu keramat tersebut akan tiba jua. Sri tidak akan mengupas banyak mengenai isu ini. Sudah sedia maklum, masing-masing sudah menulis dan bercakap tentang perihal perhimpunan ini. Yang membacanya sedikit sebanyak terima tempias 'aura semangat' yang diluahkan oleh setiap perwakilan UMNO dalam perhimpunan tersebut.

Apa yang Sri harapkan, segala kata-kata semangat yang ditonjolkan oleh perwakilan tidak la akan lenyap begitu sahaja seraya tamatnya Perhimpunan Agung UMNO yang boleh dikatakan sangat penting sebelum menjelangnya pilihan raya yang ke-13 nanti. Sematkan la semangat membara tersebut dalam diri masing-masing dan pegang la janji taat setia kepada UMNO. Semangat ini la yang akan menentukan samaada kemenangan atau kekalahan akan berpihak kepada UMNO serta BN kelak.

Jangan lupa juga peringatan yang telah diungkapkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan beliau. Beliau jelas mengingatkan kita semua akan nasib agama, bangsa dan negara jika pemerintahan negara jatuh di tangan pembakang. Jangan biarkan nasi menjadi bubur, baru mahu tergadah, baru mahu bangkit, baru mahu bersuara lantang. Tak kan kita mahu memperjudikan nasib anak cucu cicit kita dengan membiarkan semua ini berlaku? Jangan sesekali memandang remeh apa yang telah diperkatakan oleh Datuk Seri Najib dalam ucapan beliau.

''Insaflah...insaflah saudara-saudari, andainya UMNO tidak kita tatang, andainya UMNO tidak kita bela, andainya UMNO sudah tersungkur rebah dan andainya UMNO lenyap, apakah masih terjunjung Islam yang suci? Apakah masih terpandang mulia orang-orang Melayu? Apakah masih disanjung raja-raja kita?

''Kalau kita leka, kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau kita masih bersengketa, kehinaan akan tiba di muka pintu.Tunggulah kehancuran akan terbangsatlah Melayu merempat di di tanah sendiri.''
Ayuh, bangkit lah Melayu!