Kali
pertama saya berasa sakit dalam dada adalah kira-kira sebulan sebelum mengalami
serangan jantung pada 1989. Bagaimanapun waktu itu, saya tidak mengendahkannya.
Saya berada di Genting Highlands bagi menghadiri perjumpaan alumni Kolej
Perubatan King Edward VII. Ramai rakan sekelas dan anak-anak mereka hadir serta
bergembira. Saya sedang memerhatikan mereka apabila beberapa orang anak muda
menarik saya ke lantai tarian. Sewaktu menari, saya berasa sesak nafas dan
sakit dada, tetapi kesakitan itu hilang apabila saya duduk. Keesokannya, saya
menunggang kuda dan sekali lagi berasa sesak nafas dan sakit dada. Saya tidak
mahu menerima keadaan itu sebagai tanda-tanda serangan jantung, jadi saya tidak
memberitahu sesiapa dan berharap masalah itu akan berlalu sendiri. Walaupun
kita seorang doctor dan tahu tanda-tanda penyakit, kita lazimnya enggan mengaku
yang kita mungkin ada masalah berkenaan.
Ketika
itu, saya tidak membuat pemeriksaan kesihatan berjadual. Saya cuma ingat pernah
sekali menjalani pemeriksaan rapi di London atas nasihat doktor apabila
mengalami sedikit masalah tekanan darah. Ia benar-benar mengganggu sebab
pemeriksaan itu mengambil masa yang lama dan saya dipaksa mengguna mesin
pengukur denyutan jantung, iaitu ECG yang membonjol di pinggang saya.
Lebih-lebih lagi apabila menghadiri satu majlis makan malam dengan membawa
mesin itu sehingga nampak seolah-olah saya menyelitkan pistol di pinggang.
Sebulan
selepas perjumpaan di Genting Highlands, saya bersama-sama Hasmah dan suami
Marina makan malam di sebuah restoran Thai di The Mall bagi meraikan hari jadi
Mokhzani walaupun dia sendiri tidak hadir. Kami sepatutnya berempat, tetapi
Marina juga tidak dapat datang. Jadi
yang ada hanya Hasmah, Didier (bekas suami Marina) dan saya. Bagaimanapun, kami
sudah menempah makanan untuk empat orang dan saya akhirnya makan bahagian yang
sepatutnya dimakan oleh Marina – mungkin disebabkan kesempitan hidup pada zaman
perang menyebabkaan saya tidak suka membazir makanan. Apabila kami sampai di
rumah, saya mula rasa sakit di dada dan kesukaran bernafas seperti sebelumnya.
Kali ini, kesakitan itu tidak reda. Saya cuba baring dan duduk, tetapi masih
berasa sakit. Hasmah menelefon seorang pakar di Hospital Besar Kuala Lumpur,
iaitu Dr Jimmy Eapen. Beliau rakan sekelas saya di Kolej Perubatan. Hasmah
memberitahunya tanda-tanda masalah yang saya hadapi dan Jimmy datang
serta-merta. Beliau membuat diagnosis yang saya mengalami serangan jantung,
tetapi beliau perlu pulang ke rumah untuk mengambil mesin ECG mudah alih.
Apabila mesin itu mengesahkan yang ia memang serangan jantung, saya serta-merta
dibawa ke hospital. Saya fikir saya boleh berjalan, tetapi mereka mendesak
supaya saya menggunakan kerusi roda.
Saya
sepatutnya sudah tahu yang ia adalah serangan jantung kerana tanda-tandanya
memang jelas. Sakit dada dan sesak nafas yang saya alami ketika menari dan
menunggang kuda sebelum itu menepati tanda-tanda serangan jantung. Serangan
jantung juga boleh dicetuskan oleh kebimbangan mengenai perjalanan yang jauh
atau terlalu banyak makan. Memang pada malam di restoran Thai itu saya makan
berlebihan. Saya sepatutnya tidak mengabaikan kesakitan kali pertama dan segera
menerima hakikat yang saya sebenarnya mengalami serangan jantung.
Saya
dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada malam 17 Januari 1989. Di sana,
Datuk Dr Robaayah Zambahari mengesahkan yang saya diserang sakit jantung dan
memberikan satu suntikan bagi mengurangkan kesakitan. Beliau kemudian
memberitahu Hasmah agar menghubungi semua anggota keluarga kami dan ini
menyebabkan kami sedar betapa seriusnya keadaan waktu itu. Beliau juga
menghubungi Tun Ghafar Baba yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri untuk
memaklumkan apa yang sedang berlaku.
Selepas
selesai pemeriksaan biasa, mereka memutuskan bahawa saya perlu menjalani ujian
angiogram, iaitu pemeriksaan radiografi ke saluran jantung sejurus selepas
disuntik bahan radiolegap ke saluran darah. Kebetulan, Dr Simon Stertzer, pakar
jantung dari California berada di rantau ini lalu beliau diminta hadir ketika
ujian angiogram dijalankan. Dr Stertzer dan Dr Robaayah merumuskan bahawa saya
mengalami serangan jantung yang memerlukan pembedahan. Mereka memberi saya
pilihan sama ada mahu menjalani pembedahan di Amerika Syarikat atau Kuala
Lumpur. Tanpa ragu-ragu, saya memilih untuk menjalani pembedahan di dalam
negara. Saya perlu yakin terhadap doktor tempatan dan saya tahu, kalau saya
sendiri tidak menunjukkan contoh maka orang lain tidak akan percaya kepada
perkhidmatan perubatan kita. Sebelum itu, semua orang kenamaan Malaysia berubat
di luar negara, tetapi saya tahu yang Datuk Dr Rozali Wathooth telah berjaya
melakukan pembedahan jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur. Beliau
bagaimanapun sudah meninggalkan hospital Kerajaan dan bekerja dengan Pusat
Perubatan Subang Jaya atau Subang Jaya Medical Centre (SJMC). Namun masih ada
pakar jantung yang lain di Hospital Besar Kuala Lumpur, termasuk Tan Sri Dr
Yahya Awang. Saya tahu Dr Yahya mempunyai banyak pengalaman dan saya memutuskan
untuk menyerahkan nasib saya kepada beliau.
Sebagai
seorang doktor, saya maklum risiko pembedahan tersebut. Saya sedar kemungkinan
yang saya tidak akan selamat daripada pembedahan kerana waktu itu ia bukanlah
prosedur biasa. Orang ramai masih takut untuk membenarkan doktor membelah dada
mereka dan melakukan sesuatu ke atas jantung mereka. Saya meyakinkan diri
bahawa kalau memang sudah ditakdirkan saya akan mati, apa yang boleh saya
lakukan. Saya menyerahkannya kepada Allah SWT dan kemahiran pakar bedah.
Bunyinya mungkin agak dramatik sekarang kerana ramai pesakit yang telah berjaya
menjalani pembedahan jantung. Namun sebaik sahaja saya menerima hakikat
kematian, saya berasa cukup tenang.
Saya berehat selama empat hari
sebelum menjalani angiogram yang mengesahkan bahawa saya memerlukan pembedahan.
Dr Stertzer sekali lagi memberi pilihan kalau saya mahu menjalani pembedahan di
California, Amerika Syarikat walaupun beliau sendiri mengakui yang Dr Yahya
juga sama cekap dengan mana-mana pakar bedah di Amerika. Apabila tinggal saya
dan Hasmah di dalam bilik, saya meminta Hasmah memanggil Dr Yahya. Sebaik
sahaja Dr Yahya masuk, tanpa banyak bicara saya terus memberitahunya yang saya
mahu beliau melakukan pembedahan. Saya kenal rapat dengan ayah beliau, Dr Awang
yang juga adalah seorang doktor yang baik dan menjadi Ahli Parlimen serentak
dengan saya pada 1964-69. Sewaktu saya diserang sakit jantung, Dr Awang sudah
pun menjadi Gabenor Pulau Pinang.
Kemasukan ke hospital menghalang
saya daripada menghadiri mesyuarat mingguan kabinet setiap Rabu. Doktor juga
memberi amaran yang saya tidak boleh menerima pelawat, dan Hasmah memutuskan
yang beliau sendiri akan memantau arahan itu. Ramai orang datang dan mendesak
agar dibenarkan menjenguk saya, tetapi Hasmah sangat tegas. Beliau hanya
membenarkan beberapa orang sahaja mengintai saya dari luar bilik ketika saya
terbaring kerana diberi ubat pelali. Ada satu pilihan raya kecil waktu itu dan
khabar angin tersebar luas mangatakan
saya sakit tenat. Malah ada yang berkata bahawa saya sudah mati. Hasmah tidak
pernah meninggalkan hospital dan berada di sisi saya sepanjang masa. Dr
Robaayah menawarkan untuk memberi beliau ubat tidur pada malam pertama saya
dimasukkan ke hospital, tetapi beliau bertekad untuk berjaga bagi memastikan
tidak ada sesiapa datang mengganggu saya.
Pada malam sebelum pembedahan,
Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew membuat panggilan telefon
kira-kira jam 10. Beliau amat bimbang dan bercakap dengan Hasmah kerana waktu
itu saya sudah pun diberikan ubat sebagai persediaan untuk menjalani
pembedahan. Lee meminta Hasmah supaya memujuk saya menangguhkan pembedahan
sebab beliau ada menyediakan sepasukan ahli perubatan untuk terbang ke Kuala
Lumpur. Pakar bedah terkemuka, Dr Victor Chang, seorang rakyat Singapura
menetap di Australia dicadangkan untuk melakukan pembedahan itu. Menurut Lee,
Dr Chang mempunyai pengalaman cukup luas setelah melakukan lebih 1,000
pembedahan jantung. Lee kemudian bertanya Hasmah siapa yang akan membedah saya.
Hasmah menyebut nama Dr Yahya yang Lee tidak pernah dengar, dan Hasmah
memberitahunya bahawa saya sudah pun membuat keputusan dan ahli keluarga
bersetuju dengan saya. Hasmah mengucapkan terima kasih kepada beliau dan
berjanji akan menghubunginya apabila pembedahan selesai. Hasmah tahu bahawa
sekali saya sudah membuat keputusan, saya tidak akan mengubahnya. Apa yang saya
ketahui kemudian adalah Lee bukan sahaja menghubungi Hasmah, malah beliau turut
meminta Tun Daim Zainuddin agar memujuk Hasmah. Walaupun kami mempunyai banyak
perbezaan pendapat untuk sekian lama, saya amat menghargai sikap ambil berat
beliau itu.
Tiga anak lelaki kami berada di luar
Kuala Lumpur ketika itu manakala Marina pula di Singapura. Ineza, anak
perempuan Marina sedang tidur di dalam buaian di bilik kami. Dalam tergesa-gesa
hendak membawa saya ke hospital, Hasmah hampir meninggalkan cucu kami terkunci
di dalam bilik. Nasib baik pada saat akhir Hasmah teringat lalu memindahkan
buaian Ineza ke biliknya. Marina dan Mokhzani yang ketika itu berada di Miri
terbang pulang keesokannya. Mukhriz pula di Boston manakala Mirzan di
Philadelphia, Amerika Syarikat. Kedua-dua mereka sempat pulang sehari sebelum
pembedahan. Sejurus sebelum pembedahan, pihak hospital membawa masuk Hasmah dan
anak-anak kami seorang demi seorang untuk mencium saya. Itulah kali pertama
saya melihat Hasmah menangis.
Masalahnya sebagai doktor, kita tahu
apa yang akan dilakukan ke atas kita sewaktu pembedahan. Dalam pembedahan
jantung, mereka akan menghentikan fungsi jantung dan paru-paru serta
mengalirkan darah kita melalui mesin jantung dan paru-paru. Saya kurang senang
dengan kaedah itu, terutama kerana prosedur tersebut masih baru dan peralatan
yang digunakan tidaklah secanggih hari ini. Tun Hussein Onn menjalani pembedahan
pintasan koronari di London dan beliau tidak pulih sepenuhnya selepas itu.
Seorang lagi orang kenamaan yang turut menjalani pembedahan seperti itu ialah
Datuk Jaafar Hassan, bekas Menteri Besar Perlis. Beliau meninggai dunia tidak
lama kemudian. Saya bertanya Dr Yahya bagaimana beliau dan pasukannya akan
membelah dada saya. Katanya, mereka menggunakan gergaji elektrik. "Terima
kasih banyak-banyak," jawab saya, sambil menambah: "Tak perlulah saya
tahu lebih lanjut lagi."
Mereka mengangkat saya ke atas troli
dan menolak ke dewan bedah. Saya masih dapat melihat samar-samar siling
hospital sewaktu melalui koridor dan memasuki ruang tara bersebelahan dewan
bedah. Saya dapat mendengar kata-kata perangsang daripada pakar bius yang
sedang membius saya. Kemudian saya diangkat ke atas meja bedah dan disuruh
mengira ke belakang bermula angka 10. Apabila sedar, saya sudah berada di bilik
pemulihan. Dari aspek itu, pembedahan moden adalah satu ketakjudan.
Pembedahan mengambil masa kira-kira
enam jam walaupun saya berasa tidak lebih dua saat sahaja. Keluarga sayalah
yang terpaksa menunggu penuh debaran. Doktor mengambil urat dari kedua-dua kaki
saya untuk membuat lima saluran pintasan. Dr Yahya dan Dr Rozali serta
pembantu-pembantu mereka melakukannya dengan baik sekali dan tidak berlaku
sebarang kerumitan. Hari ini, pembedahan terbuka seperti itu tidak diperlukan
sangat kerana teknik angioplasti, iaitu perluasan semula saluran darah yang
berpenyakit atau rosak dengan menggunakan sejenis dawai, lebih mudah dan kurang
berbahaya. Selain itu, kawalan pemakanan dan senaman boleh mengurangkan
kemungkinan berlaku aterosklerosis di mana saluran darah ke jantung menjadi
sempit dan memungkinkan serangan jantung. Ada pihak berpendapat bahawa amalan
pemakanan yang sihat boleh menyembuhan aterosklerosis, dan inilah yang sedang
saya cuba amalkan sekarang…
akan bersambung…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan