Khamis, 14 November 2013

“Jangan memandang rendah pada mereka, mereka lagi hebat berbanding kita!”

by Cik Amy, 15 Nov 2013


Hari ini seperti hari kebiasaannya di tempat kerja, tugas saya dengan membuat tinjauan di sekitar ladang ternakan ikan Talapia adalah kelaziman. Seronok melayan benda hidup ini. Bertambah seronok apabila melihat kejayaan kita membesarkan benda hidup ini. Sama juga seperti bercucuk tanam, mana tidak gembiranya jika tanaman kita memberi hasil dan sekaligus memberi kita kepuasan. Tetapi syaratnya kena la monitor  hari-hari agar tanaman dan ternakan kita bercambah dan membesar dengan baik. 

Di ladang ternakan ikan ini, ada satu pasangan warga Indonesia yang bekerja. Puna dan isterinya, Ratna. Ratna umurnya 27 tahun, manakala Puna mungkin dalam lingkungan 30 tahun. Datangnya dari Jawa Barat. Pasangan ini la yang dipertanggungjawabkan menjaga ikan yang diternak di dalam tangki besar dan kolam berhampiran. Sayang sekali, pekerjaan yang sepatutnya diisi oleh para graduan diambil alih oleh mereka yang sanggup terbang jauh demi mencari rezeki. Gaji mereka ini boleh tahan, juga, dalam RM1200 sebulan. Sudah melebihi gaji minimum. Kerja yang dilakukan tidak la banyak. Rutin harian hanya memberi makan ikan, memindahkan ikan untuk breeding sahaja. Lain-lain kerja perlu dicari sendiri. Jika ada yang perlu dibaiki, dibersih dan dipindah, maka mereka ini buat saja tanpa arahan diberikan. Saya amat kagum sebenarnya dengan pasangan ini, para graduan yang masih tidak bekerja di luar sana patut malu, malu kerana pasangan ini sudahpun menjana RM1200 sebulan sedangkan graduan menganggur ini tidak memperolehi apa-apa. Pengalaman dan pengatahuan tidak usah cakap la, tidak akan mereka perolehi kalau setakat berada di dalam rumah sahaja. 

Waktu rehat tengahari, kelihatan pasangan warga Indonesia ini berehat-rehat di beranda. Jadi saya pun menghampiri mereka dan duduk di atas beranda dengan niat mahu hilangkan lenguh kaki selepas berjalan sana sini buat tinjauan. Pada awalnya, kelihatan pasangan ini seperti tidak selesa dengan kehadiran saya, mereka ini sebenarnya berasa malu dan rendah diri. Kita pula kebiasaannya memandang rendah kepada pekerja asing ini. Hanya menganggap mereka ini pekerja kita saja dan tidak pernah mahu berbual-bual dengan mereka umpama seorang kawan. Maklum la, tidak setaraf katanya. Memang betul lah, kita tidak setaraf dengan mereka. Mereka ini dah banyak negara mereka pergi. Taiwan, Korea, Dubai, Australia dan banyak lagi negara maju lain mereka terokai. Orang-orang kita ada? Setakat berada dalam Malaysia ini boleh la.  

Bagi mencipta suasana santai, saya mula berbual-bual dengan mereka dengan bertanyakan samaada mereka suka bekerja di ladang ini atau tidak, makan minum dan tempat tinggal ok atau tidak dan terus melarat perihal pekerjaan yang mereka lakukan sebelum bekerja di ladang ini. Mereka menjawab apa yang saya tanya, siap huraikan lagi panjang lebar. Nampak seperti mereka sudah selesa dengan saya. Ratna, isteri Puna yang sanggup menemani suaminya bekerja di Malaysia pada asalnya merupakan pekerja asing di Taiwan, sebagai ‘sistar’ katanya ataupun dalam bahasa mudah kita sebagai penjaga. Ceritanya lagi, sebelum ‘melancong’ ke Taiwan, dia bekerja di Dubai selama 2 tahun. Satu tempoh yang agak lama juga. Kemudiannya balik ke Indonesia dan terus ke Taiwan pula untuk bekerja selama 2 tahun. Mendengar ceritanya,  saya bertambah kagum dengan wanita muda ini. Pandai pula bercakap bahasa Mandarin dan Arab. Ada satu masa, majikannya dari Taiwan menelefon dia dan mereka berbual-bual dalam bahasa mandarin. Wah hebat bukan, baru 2 tahun berada di Taiwan, sudah lancar menguasai bahasa di sana. Para graduan yang menganggur tidak berasa malu kah? Saya menyentuh perihal graduan menganggur ni kerana mahu mereka terasa. Cukup la mencipta banyak alasan dengan mengatakan Malaysia tiada pekerjaan, kerja tidak setaraf dengan kelulusan mereka ditawarkan, gaji tidak lumayan dan seribu satu lagi alasan bagi ‘menyedapkan’ hati masing-masing. Sebenarnya yang paling lumayan adalah pengalaman dan pengetahuan diperolehi melalui pekerjaan. Seperti Ratna, dia mempunyai banyak pengalaman berada di negara orang dan menguasai banyak bahasa. Kalau mereka yang ‘tidak setaraf’ dengan kita ni boleh terbang ke banyak negara, kenapa para graduan yang masih tidak mempunyai pekerjaan tidak boleh terbang ke sana juga? 

Alasan tiada pekerjaan di Malaysia ini tidak boleh diterima sama sekali. Selagi wujudnya warga asing di negara kita, tiada istilah ‘tiada kerja’ sama sekali. Yang menggunakan istilah tersebut sebenarnya tidak mahu mengakui ketidakmampuan atau kelemahan mereka untuk masuk ke dalam pasaran kerja yang berlambak di luar sana. Golongan ini terlalu memilih. Malah ada diantara mereka yang boleh saja mendapat pekerjaan tetapi menolaknya kerana tidak mahu bekerja bersama-sama warga asing! Tidak setaraf dan malu katanya tetapi tidak pula berasa malu bila tidak bekerja dan ‘melepak’ di rumah sahaja sambil menunggu orang datang menawarkan kerja. Bila ada yang tawarkan kerja memotong rumput, tidak mahu pula, tidak boleh kena panas dan bimbang jiran-jiran akan nampak katanya! Kalau ada pertandingan pemberi alasan paling banyak, golongan ini la akan jadi juara. 

Secara keseluruhannya, mereka ini warga asing yang berhijrah ke banyak tempat lagi hebat berbanding kita. Bukannya hebat berdasarkan kekayaan harta benda, tetapi mereka lagi hebat dari segi ketahanan minda, fizikal, penguasaan pengalaman dan banyak lagi aspek yang kita tidak ada tetapi mereka ada dan berjaya tempuhinya. Saya sama sekali tidak akan memandang rendah kepada pekerja asing ini. Pada saya, mereka mempunyai ketabahan yang tinggi dan nekad dalam melakukan sesuatu. Mereka ini sanggup meninggalkan keluarga dan ibu bapa demi mencari duit untuk teruskan hidup. Sekurang-kurangnya mereka berpeluang merasa berada di negara orang, mempelajari bahasa dan melihat cara hidup di negara lain. Saya pasti, bekas graduan yang ‘bertaraf tinggi’ pun tiada peluang merasa berada di luar negara. Jika hutang PTPTN pun tidak mampu bayar, ini kan mahu melancong ke luar negara. Apa yang kita nampak sekarang adalah perihal tidak baik mengenai warga asing ini. Tetapi jangan la kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Seperti pasangan yang saya temui ini, mereka berdua ini saya lihat sangat baik dan taat pada agama. Malah saya pula yang berasa malu kerana tidak menguasai bahasa luar seperti Mandarin dan Arab. Mujur saya bertemu Ratna dan boleh la suruh dia ajarkan saya bahasa Mandarin dan Arab.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan