Latar belakang dan pembentukan pemikiran Dr. Mahathir
Dr. Mahathir Mohamad dilahirkan pada tanggal 20 Disember 1925 di Alor Setar dan merupakan anak bongsu daripada sepuluh orang adik-beradik. Ibu bapa beliau adalah tergolong daripada golongan kelas menengah ketika itu. Ibunya bernama Wan Tempawan manakala bapanya pula bernama Mohamad bin Iskandar. Bapa Dr. Mahathir adalah bekas seorang guru sekolah dan pengaudit kerajaan yang telah menguruskan keluarganya secara konservatif melalui disiplin dan ketegasan dalam usaha memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.
Dr. Mahathir mendapat pendidikan yang baik ketika di awal persekolahannya. Beliau menuntut di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Government English School di Alor Setar. Setelah beliau memperolehi Senior Cambridge Certificate, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine di Singapura. Ketika menuntut di dalam bidang perubatan, Dr. Mahathir banyak mengasah bakatnya sebagai pemimpin dalam memimpin beberapa persatuan, menyertai beberapa forum, dan sesi-sesi perdebatan serta mengasah bakat sebagai penulis dengan menggunakan nama gelaran ‘C.H.E. Det’2. Ketika menuntut di Singapura, beliau telah berkenalan dengan isterinya iaitu Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang kemudiannya bersama-sama membesarkan tujuh orang anak hasil perkongsian hidup mereka (dua daripadanya adalah anak angkat).
Setelah menamatkan pengajian beliau di Singapura, Dr. Mahathir pulang dan berkhidmat sebagai doktor di dalam sektor kerajaan. Oleh kerana bekerja di sektor kerajaan telah membataskan minat beliau untuk berkecimpung di dalam politik, beliau telah meninggalkan sektor kerajaan dengan membuka klinik persendirian iaitu MAHA Clinic pada tahun 1957 di Alor Setar. Ini membolehkan beliau bebas untuk bergiat di dalam politik sepertimana yang beliau inginkan.
Penglibatan Dr. Mahathir dalam dunia politik telah membolehkan beliau dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen Kota Setar Selatan pada tahun 1964. Ini dianggap sebagai tarikh bermulanya kegiatan politik Dr. Mahathir secara menyeluruh iaitu 18 tahun selepas menjadi ahli biasa UMNO. Namun begitu, beliau tewas kepada calon PAS, Yusof Rawa di dalam pilihanraya tahun 1969.3 Kekalahan ini juga meninggalkan detik hitam kerjaya politiknya apabila dipecat dari UMNO akibat kelantangan mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Pesaraan Tunku Abdul Rahman dan pelantikan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri membolehkan usaha untuk membawa Dr. Mahathir ke dalam politik Malaysia. Usaha dibuat oleh antara lain oleh Tunku Abdullah, Pengerusi UMNO cawangan Rawang dan anggota Parlimen kawasan Rawang serta Dato’ Harun Idris, bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Usaha berterusan membolehkannya bersetuju untuk aktif dalam UMNO dan dilantik menjadi ahli Majlis Tertinggi pada tahun 1972, Senator pada tahun 1973 dan Pengerusi FIMA pada tahun yang sama. Pada tahun 1974 pula, beliau kembali bertanding dalam pilihan raya umum dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Dalam masa yang singkat iaitu pada tahun 1976, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga iaitu Tun Hussein Onn (1976-81). Dr. Mahathir dilantik sebagai Presiden UMNO yang kelima selepas Tun Hussein mengumumkan perletakan jawatannya dan beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 16 Julai 1981.
Rusdi Omar & Sivamurugan Pandian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan