Ahad, 11 Disember 2011

Kisah Al-Arqam I: Pertemuan sulit dengan Norian Mai -- Peristiwa penting menjelang penangkapan Asaari Mohamad

Sri baru sahaja selesai membaca dua rencana yang mengisahkan tentang peristiwa kejatuhan Al-Aqram pada tahun 1994 yang lalu. Banyak perkara yang Sri tidak ketahui sebelum ini dan sedikit sebanyak Sri telah dapat sedikit gambaran kasar mengenai peristiwa ini melalui rencana tersebut. Rencana ini adalah sedutan daripada sebuah buku bertajuk 'Tersungkur Di Pintu Syurga' yang diterbitkan oleh Zabidi Mohamed, juga merupakan bekas Penasihat Undang-Undang al-Arqam. Ikuti tulisan sedutan peristiwa tersebut yang diperolehi dari arkid Utusan Malaysia yang bertarikh 28/03/1999.
.....................................................................................................................................................................

Penyelewengan akidah Syeikul Arqam, Asaari Mohamad diikuti oleh pengikut-pengikut al-Arqam secara membuta tuli. Menurut Zabidi dalam buku itu, taksub kepada pemimpin menjadi punca penyelewengan Asaari hingga ia tidak disedari oleh para pengikut. 

Apabila kerajaan membuat keputusan mengharamkan al-Arqam, operasi dirancang oleh pihak polis untuk menangkap Asaari yang ketika itu berada di Phrae, utara Thailand. 

Salah satu peristiwa penting menjelang penangkapan tersebut ialah pertemuan lima pemimpin kanan al-Arqam, termasuk Zabidi, dengan Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Norian Mai. 

Pertemuan diadakan di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya pada 1 September 1994. Bilik hotel yang menjadi tempat pertemuan itu berlangsung ditempah oleh al-Arqam. Zabidi menceritakan apa yang berlaku semasa pertemuan malam itu dalam buku Tersungkur Di Pintu Syurga.

TELEVISYEN yang dipasang masih dengan siarannya, Cikgu Hashim dalam bilik air, Sobri Abdul Rani mengambil secawan air dari flask yang disediakan untuk membancuh kopi. Ustaz Mohd. Nasib, Abang Khairil Anuar duduk di settee melihat rancangan TV. 8.30 malam telefon berdering, diangkat oleh Ustaz Mohd. Nasib.

''Berapa orang?'' tanya Ustaz Mohd. Nasib kepada si pemanggil. "Mereka dah sampai, dalam perjalanan,'' kata Ustaz Mohd. Nasib sambil meletakkan gagang telefon. Kami semua bingkas bangun dan mengemaskan kedudukan kerusi dan membetulkan pakaian masing-masing. Cikgu Hashim Jaafar bergegas keluar dari bilik air.

Lima minit kemudian terdengar pintu bilik hotel kami diketuk. Kedengaran orang memberi salam. "Waalaikumussalam,'' jawab Cikgu Hashim Jaafar sambil membuka pintu. Suasana riuh sebentar, Cikgu Hashim Jaafar, Sobri Abdul Rani dan Ustaz Mohd. Nasib terus mempersilakan tetamu kami malam itu masuk dan duduk di ruang tamu dalam bilik itu. 

Saya dan Abang Khairil Anuar hanya berdiri menunggu di kawasan ruang settee. Selepas bersalam-salaman Ustaz Mohd. Nasib memberikan kerusi kepada Supritendan Azmi. "Jemput duduk Datuk.''
Kebetulan bilik kami tidak menyediakan kerusi tambahan. Saya dan Ustaz Mohd. Nasib terpaksa duduk di hujung katil. Suasana riuh tadi kemudiannya tiba-tiba bertukar menjadi agak rasmi apabila Haji Yusof Jaafar segera memulakan majlis tanpa membuang masa.

"Harap tuan-tuan tak lama menunggu,'' Haji Yusof Jaafar memulai.

"Saya memperkenalkan ini Datuk Norian Mai dan yang di sebelah sana itu Supritendan Azmi. Dia akan jadi tukang catat kita malam ini, dia tu macam setiausaha Datuk, memang kerja dia banyak mencatat. Harap tuan-tuan tidak menghalang kalau perjumpaan malam ini dicatatkan. Ini memang prosedur biasa kami,'' kata Haji Yusof Jaafar disambut dengan gelak ketawa oleh kami semua. 

Apabila diberitahu bahawa Supritendan Azmi akan mencatat semua perbualan malam itu, saya bergegas bangun mendapatkan briefcase saya di hujung katil untuk mencatatkan perbualan malam itu.

Malam itu Datuk Norian Mai memakai kot warna petak-petak coklat cerah, duduk di kerusi yang membelakangkan bilik air. Sambil kaki kanannya diletakkan bersilang di atas kaki kiri dan tangan kirinya memegang dagu, dia nampak cukup berwibawa. 

Orangnya rendah sahaja tapi agak gempal. Sekali pandang nampak seperti watak Omar Mokhtar yang dilakonkan oleh Anthony Quinn dalam filem Lion of the Desert. Memang dia layak jadi Pengarah Cawangan Khas. Muka pun sebiji macam muka SB, fikir saya ketika itu.

Datuk Norian Mai masih tidak bercakap apa-apa. Kaki kanannya yang bersilang di atas kaki kiri kelihatan dibuai-buai. Tentu dia sedang memikirkan sesuatu. 

Alangkah baiknya kalau saya boleh membaca fikiran Datuk Norian Mai ketika itu. Tentu di pinggangnya tersembunyi pistol agaknya. Fikiran saya melayang memikirkan apa sebenarnya niat mereka malam ini. Ustaz Mohd. Nasib nampak gelisah.

Udara sejuk di bilik hotel kami sudah tidak terasa. Pandangan lampu malam di luar tingkap hotel kami, tiada siapa yang menghiraukannya lagi.

Perbualan terhenti seketika. Datuk Norian Mai cepat mengambil kesempatan.

"So, macam mana cerita kita malam ni?'' Datuk Norian Mai tiba-tiba menyelit. "Kedatangan kami malam ini adalah atas kehendak pihak kerajaan,'' Datuk Norian Mai memulakan tajuk baru yang lebih menjurus kepada maksud pertemuan malam itu dalam nada yang agak berhati-hati. Kami semua mula mengalih pandangan kepada Datuk Norian Mai. Suaranya memanggil konsentrasi kami kepada maksud percakapannya. Saya dan Supritendan Azmi mula bersedia untuk mencatat buku catatan kami.

Datuk Norian Mai menyambung lagi. "Keputusan telah dibuat dan pihak kerajaan akan bertindak, jadi tuan-tuan macam mana?''

"Macam mana... apa Datuk?'' Sobri Abdul Rani mula menyahut pertanyaan Datuk Norian Mai.

"Yalah tuan-tuan tentu faham, pihak kerajaan telah buat keputusan dan kami PDRM hanya akan menjalankan tugas seperti biasa. Kami hanya ikut arahan,'' Datuk Norian Mai cuba memahamkan kami maksud kata-katanya tadi.

"Kami masih tak faham maksud Datuk,'' Cikgu Hashim Jaafar cuba mendapatkan jawapan pasti daripada Datuk Norian Mai.

"Senangnya beginilah...," Haji Yusof Jaafar cuba menyambung maksud Datuk Norian Mai. Kami mendengar penuh minat. "Tak boleh ke pihak al-Arqam kompromi sikit?'' Haji Yusof Jaafar menambah.

"Kompromi? Kompromi macam mana Datuk?'' Sobri Abdul Rani cuba menyampuk buat-buat tak faham. Kami masing-masing membetulkan tempat duduk untuk mendapatkan kepastian daripada Datuk Norian Mai dan Haji Yusof Jaafar.

"Yalah... kompromilah sikit. Maksudnya sementara waktu ini, tak payahlah pakai uniform jubah hijau dan serban tebal tu, logo-logo Arqam pun tanggalkanlah. 

"Purdah pun tak payahlah...'' Haji Yusof menambah lagi cuba memahamkan kami maksud sebenar apa yang cuba disampaikan oleh Datuk Norian Mai awal tadi.

"Tak payahlah buat perkampungan... bubarkan saja perkampungan yang ada dan duduk bersama masyarakat perdana,'' Haji Yusof Jaafar menyambung lagi.

"Pada pandangan kami soal kompromi tak timbul, sebab yang mulakan isu al-Arqam ini adalah Datuk Dr. Abd Hamid Othman dan Pusat Islam. Mereka yang tuduh kami cuba wujudkan pasukan Tentera Badar di Phuket, Thailand. Itu semua fitnah. Kami percaya pihak Bukit Aman lebih tahu hal ini. Jadi kenapa pula kami kena kompromi?'' Sobri Abdul Rani cuba menegakkan hujahnya penuh semangat.

Datuk Norian Mai duduk tenang tanpa menyampuk dalam majlis yang telah mula hangat itu. Kaki yang dihayunkannya tadi sudah dihentikan. Tangan kirinya masih memegang dagu dan matanya merenung kami satu-persatu. Supritendan Azmi tenggelam dengan catatannya. Perbualan menjadi semakin hangat dan rancak.
Memang saya tahu selama ini Pusat Islam sejak zaman Datuk Yusuf Noor lagi hingga sekarang tidak begitu senang dengan al-Arqam dan Ustaz Asaari. Pusat Islam punya "personal inneundo'' dengan Ustaz Asaari.

Ini bermula sekitar tahun 1984 lagi apabila Ustaz Asaari membuat teguran terbuka kepada kelemahan pentadbiran dan pengurusan Pusat Islam. Masyarakat Islam di Malaysia sendiri pun banyak memberi komen-komen negatif kepada Pusat Islam. 

Al-Arqam ketika itu telah mencabar agar Pusat Islam diserahkan kepada al-Arqam. Buku 'Aurad Muhamadiah Pegangan Darul Arqam' diharamkan secara tergesa-gesa oleh Pusat Islam selepas teguran itu, seolah-olah melepaskan geram.

PDRM bagi saya hanya kakitangan kerajaan yang makan gaji, hati mereka dengan al-Arqam cuma sebab makan gaji terpaksa ikut arahan. Kecuali KPN Tan Sri Rahim Noor yang kami anggap tali barut PM. Sebab itu pertemuan saya dan pemimpin al-Arqam lain dengan Datuk Norian Mai pada malam itu saya yakini dapat menjadi jambatan bagi saya menerangkan keadaan sebenar dan prinsip perjuangan Ustaz Asaari dan jemaahnya. 

PDRM lebih ikhlas bila berdepan dengan orang agama dan mereka lebih rasional tanpa melibatkan sebarang emosional dalam membuat tafsiran. Itu keyakinan saya.
Air yang tersedia di hadapan meja kecil di hadapan settee masih tiada siapa yang mengusiknya lagi. Masing-masing nampak cuba memahamkan maksud pertemuan malam itu, tetapi kedua-dua pihak tidak mahu "score goal'' dulu.

Datuk Norian Mai hanya memerhatikan sahaja hujah yang cuba ditegakkan oleh pihak kami. Ustaz Mohd. Nasib kelihatan gelisah dan tidak senang duduk. Kadangkala dia cuba juga menyampuk perbualan tetapi sering tenggelam. Saya sendiri sekali sekala sempat beri isyarat pada Ustaz Mohd. Nasib agar "cool down'' supaya perbincangan tidak jadi anticlimax.

"Tak boleh ke sementara waktu ini tidak payah tonjolkan sangat identiti dan turunkan semua logo al-Arqam,'' Haji Yusof Jaafar cuba memfokuskan kembali perasaan dan fikiran kami kepada isu asal perbincangan tadi. Dia seolah-olah mahu dua perkara itu ada jawapannya pada malam itu juga.

"Datuk, Abuya ajar kami agar patuh kepada undang-undang kerajaan yang tidak bertentangan dengan syariat. Ahli-ahli al-Arqam yang tiada lesen memandu pun Abuya pesan jangan bawa kereta atau motor. Sebab itu sehingga ini tiada sebarang jenayah pernah dilakukan oleh mana-mana anggota al-Arqam. Fasal logo insya-Allah, kami tiada sebarang masalah jika pihak kerajaan nak turunkan. Tapi kenalah kerajaan turunkan, kami sendiri tidak akan menghalang tapi tidak akan turunkan sendiri,'' Abang Khairil Anuar menyambung.

"Kerajaan telah buat keputusan dan tindakan akan dibuat... jadi apa pandangan tuan-tuan semua?'' Datuk Norian Mai mengulangi lagi kata-katanya .

Sobri Abdul Rani mengambil peluang untuk menyambung ceritanya.

"Begini Datuk, Abuya ketika saya maklumkan pertemuan yang akan diadakan malam ini telah minta sampaikan beberapa perkara pada Datuk sebagai wakil kerajaan. Antaranya saya diminta menceritakan kepada Datuk secara terus-terang tentang Jadual Allah, kebangkitan Islam dari Timur dan kejatuhan Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim serta kebangkitan rakyat.''

Datuk Norian Mai membetulkan duduknya menghalakan mukanya terus ke arah Sobri Abdul Rani yang duduk di sebelah kanan Abang Khairil Anuar. Supritendan Azmi yang melihat Datuk makin bersemangat meneruskan perbincangan malam itu juga menunjukkan minat yang makin tinggi, maklum saja dia bertugas sebagai pencatat malam itu. Tentu dia tidak mahu sebutir pun perbincangan malam itu tertinggal dari catatannya.

Sobri Abdul Rani menyambung, "Janji Allah... kemenangan Islam pasti akan berlaku. Rasulullah s.a.w ada bersabda, 'Sebelum hari kiamat, pasti Islam itu akan bangun, agung semula, walaupun masa antara mulanya Islam bangun dan mula kiamat itu hanya sekadar memerah susu'. 

"Abuya dan kami juga yakin Islam akan kembali gemilang. Keyakinan kami adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah, bukan satu andaian. Kami sedang berusaha ke arah itu, berdakwah ke tengah masyarakat supaya Islam yang syumul itu dapat ditegakkan. Selain hadis, pengalaman perjuangan kami juga membuktikan kebenaran hadis tersebut.''

"Ada juga yang walaupun tidak menganut Islam, tapi cukup bersimpati dengan jemaah al-Arqam, mereka ini kami panggil dengan gelaran Zimmi Jemaah,'' Abang Khairil Anuar menambah.

"Macam para simpati Arqam di Malaysia, walaupun tidak menganggotai Arqam, mereka minat dengan Minda Abuya, mereka ini digelar Arqam Batik,'' Cikgu Hashim Jaafar menyampuk.

"Wah... kalau gitu malam ini, saya Arqam Batiklah, sebab saya pakai baju batik,'' Haji Yusof Jaafar bergurau. Datuk Norian Mai hanya senyum sahaja melihat Haji Yusof Jaafar.

Sobri Abdul Rani terus menyambung tanpa mahu membuang masa, "Abuya berjuang membawa mesej kasih sayang, semua manusia di dunia tanpa mengira agama perlukan kasih sayang. Sebab itu dakwah Arqam dan Minda Abuya mudah diterima masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia termasuk dunia Arab.''

"Orang Arab terutamanya jemaah-jemaah tarekat di sana cukup menyanjung Abuya dan perjuangannya,'' Ustaz Mohd. Nasib cuba membantu.

Datuk Norian Mai dan Haji Yusof Jaafar tidak cuba menyampuk, mereka mahu Sobri Abdul Rani terus menghabiskan apa yang dikatakan pesanan dari Ustaz Asaari itu.

"Ini petanda apa yang kami perjuangkan adalah kebenaran. Begitu juga Rasulullah ada bersabda '... pada akhir zaman Islam akan bangkit gemilang bermula dari sebelah timur' dan Abuya yakin Timur itu adalah negara kita Malaysia. Kami sedang berusaha untuk merealisasikan kebenaran hadis itu. Sebab itu kami begitu yakin dengan Abuya. 

"Lagi Datuk, Abuya juga pernah membuat ramalan-ramalan ke atas isu-isu semasa dunia. Semuanya berlaku dan ini menambahkan lagi keyakinan kami kepada Abuya.''

"Ramalan? Boleh Sobri detailkan lagi?'' Datuk Norian Mai makin menunjukkan minat.

Sobri Abdul Rani makin bersemangat dengan respons yang ditunjukkan oleh Datuk Norian Mai.

"Antara ramalan Abuya pertama, Perang Teluk akan berterusan. Ini terbukti walaupun Iraq telah keluar daripada Kuwait, Amerika masih menyerang Baghdad. 

Hingga hari ini sekatan ekonomi ke atas Iraq belum tamat. Kedua, Presiden Suharto akan membawa perubahan ke atas Indonesia dengan Islam dan ini terbukti benar apabila dalam rombakan kabinet Suharto baru-baru ini hanya ada dua orang sahaja menteri kanannya yang datang daripada golongan bukan Islam. 

"Abuya memang dikenali oleh Presiden Suharto dan pernah Presiden Suharto menghadiahkan jam emas kepada Abuya. Keempat, kejatuhan Soviet dan Gorbachev, hanya Abuya seorang saja di dunia ini yang dapat meramalkan lebih awal. Ini dapat dibuktikan dalam sajak Abuya 'Perutusan Untuk Gorbachev'. CIA sendiri pun gagal meramalkan perpecahan ini. 

"Datuk, kami yakin Abuya adalah pemimpin yang dijanjikan. Apa yang berlaku di seluruh dunia adalah Jadual Allah..."

"Macam mana Ustaz Asaari dapat maklumat buat ramalan-ramalan?'' tanya Datuk Norian Mai.

"Mesej Datuk... mesej dari 'Rasulullah' yang beritahu pada Abuya, Abuya bertemu dan beryaqazah dengan 'Rasulullah', sebab itu ramalan Abuya semua tepat, termasuklah ada 'Rasulullah' maklumkan kepada Abuya tentang kejatuhan PM dan TPM di depan rakyat tidak lama lagi... 2 atau 3 bulan saja lagi.''

Haji Yusof Jaafar tiba-tiba memintas percakapan Sobri Abdul Rani, "Beginilah. Saya, terutama Datuk, sekadar nak tau, kalau kerajaan bertindak ke atas al-Arqam, adakah ahli-ahli al-Arqam akan membuat apa-apa tindak balas?''

Haji Yusof Jaafar, pada saya, mungkin tidak mahu perbincangan malam itu menjadi panjang tanpa tujuan dan tidak mencapai matlamat yang dikehendaki oleh Datuk Norian Mai.

Sobri Abdul Rani tidak putus asa dan menyambung penjelasannya sambil terus menjawab pertanyaan Haji Yusof Jaafar tadi.

"Insya-Allah... Abuya pemimpin kasih sayang. Abuya sejak dulu hingga sekarang mendidik kami supaya banyak berdoa kepada Allah dalam menghadapi situasi sekarang, terutamanya pertentangan dengan Pusat Islam. Hatta di saat-saat Abuya dituduh sesat dan menyeleweng, Abuya berpesan kepada kami agar menjaga akhlak, mempertingkatkan ibadah dan meneruskan khidmat masyarakat seperti biasa.

"Kami jamin kepada Datuk sebagai wakil KPN dan PDRM serta wakil kerajaan bahawa setitik darah pun tak akan tumpah di bumi Malaysia kalau kerajaan mengambil keputusan untuk bertindak ke atas Arqam. Hatta kalau Abuya ditangkap pun kami tidak akan bertindak. Kami jamin 'Memali Kedua' tidak akan berlaku. Perjuangan kami perjuangan kasih sayang. Bertindak secara kekerasan bukan cara Abuya.''

Sobri Abdul Rani nampak bersemangat, seolah-olah sedang memberi kuliah kepada ahli-ahli al-Arqam seperti yang selalu dilakukannya ketika melawat perkampungan al-Arqam.

"Tapi pihak kerajaan telah membuat keputusan, tindakan akan dilakukan dan saya sebagai orang yang menerima arahan daripada pucuk pimpinan tertinggi dalam kerajaan akan menjalankan tugas. Kami tiada banyak pilihan. Saya harap tuan-tuan faham maksud saya,'' Datuk Norian Mai masih mengulangi ucapan yang sama seperti mula-mula beliau masuk tadi. Tetapi kali ini nadanya agak lebih serius.

"Kami beri jaminan sekali lagi pada Datuk pertumpahan darah tidak akan berlaku. Mengenai ugutan bom terhadap balai-balai polis yang dihebohkan dalam akhbar beberapa hari kebelakangan inipun kami yakin bukan datang daripada ahli-ahli al-Arqam. Kami pegang pistol pun takut, inikan pulak nak bom balai polis,'' Sobri Abdul Rani cuba meyakinkan Datuk Norian Mai.

Tiba-tiba, seperti yang saya jangka dan bimbangi, Cikgu Hashim Jaafar menyoal Haji Yusof Jaafar, "Tuan Haji... muka saya ini... ada ke macam rupa orang sesat akidah?'' Cikgu Hashim cuba bergurau namun Haji Yusof Jaafar nampak berubah wajahnya dengan pertanyaan tersebut. Saya rasa dia mungkin tersinggung dengan soalan tersebut. Cikgu Hashim Jaafar lepas cakap lagi.

"Kami polis, bukan ahli Majlis Fatwa. Kami hanya ikut apa yang telah difatwakan,'' Haji Yusof Jaafar menjawab secara spontan dan disambut dengan gelak ketawa. Saya agak cemas dengan cara gurauan Cikgu Hashim Jaafar.

Sejurus kemudian Datuk Norian Mai menghirup kopi dan kemudiannya mencelah.

"Baiklah nampaknya perbualan kita sampai di sini saja dulu... insya-Allah kalau ada masa kita jumpa lagi.''
Datuk Norian Mai kemudiannya bangun dan bersalaman dengan kami semua. Ketika tangannya menjabat tangan saya, sempat Datuk Norian merenung mata saya sambil berkata dalam nada bergurau, "Dulu dengar nama saja... tapi sekarang dah dapat tengok orangnya.'' Berderau darah saya dibuatnya. Apakah maksud Datuk itu? Adakah saya telah termasuk dalam senarai bakal di-I.S.A.-kan? fikir saya ketika itu.

Ketika itu Datuk Norian Mai, Haji Yusof Jaafar dan Supritendan Azmi sedang dibawa keluar dari bilik ditemani oleh Sobri Abdul Rani, Ustaz Mohd. Nasib dan Cikgu Hashim Jaafar, menuju ke lif yang terletak di sebelah bilik kami saja.

"Abang Khairil dengar tak apa Datuk kata pada Haji Yusof bila mereka masuk dalam lif tadi? Ana dengar Datuk kata pada Haji Yusof, 'Usop, kalau begini mudahlah kerja kita.' Agak Abang Khairil apa maksud Datuk bila dia kata gitu pada Haji Yusof?'' Sobri Abdul Rani melontarkan pertanyaannya. 

Abang Khairil tidak menjawab, mungkin dia juga sedang memikirkan maksud kata-kata Datuk Norian Mai itu. Namun tiada siapa malam itu dapat mentafsirkan apa sebenarnya maksud di sebalik kata-kata Datuk Norian Mai tadi. - Oleh Zabidi Mohamed

4 ulasan:

  1. atas dasar politik kotor..fitnah, Al Arqam dituduh sesat..maksud Datuk Norian Mai mungkin setelah melihat orang2 Al Arqam, lain dari berita fitnah yang disamapikan oleh puak2 kerajaan...

    BalasPadam
  2. bkan ini kisah yg aku nak baca bodoh!!!

    BalasPadam
  3. salam. sy ad jual buku 'arqam; tersungkur di pintu syurga' karya zabidi mohamed. berminat nak dapatkannya bole pm/whatsapp sy laju2;
    017-2256654
    017-2256654
    017-2256654

    BalasPadam