Jumaat, 16 November 2012

Masalah Jantung II (Tun Dr Mahathir)

(DOKTOR UMUM 'Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad', Bab 43, ms 677-688)
 
Sebaik sahaja sedar, apa yang saya fikirkan adalah hakikat bahawa saya masih hidup. Bagaimanapun, saya berasa kurang selesa kerana setiap kali cuba bergerak atau batuk, saya akan berasa sakit di dada. Bermacam-macam tiub dimasukkan ke dalam badan saya, saluran sisa di dalam perut dan topeng oksigen yang menyerkup muka saya. Saya berada di hospital selama dua minggu dan mengambil masa yang lebih lama daripada orang lain untuk sembuh.

Berada di Wad Jagaan Rapi atau Intensive Care Unit (ICU) terasa amat terasing dan di luar realiti. Ini kerana wad itu tidak bertingkap dan menjadikan kita amat mudah keliru mengenai masa. Saya hanya dapat mengagak perjalanan waktu berasaskan pertukaran syif jururawat yang menjaga saya. Ini membuatkan saya murung. Saya berusia 64 tahun ketika itu, dan ini adalah kali pertama dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan yang besar. Saya pernah bekerja di banyak hospital, tetapi tidak pernah sekalipun menjadi pesakit. Sebagai seorang yang pemalu maka saya malu apabila terpaksa dijaga oleh jururawat.

Pakar fisioterapi saya adalah seorang wanita yang sangat tegas. Beliau memaksa saya batuk bagi mengeluarkan kahak daripada paru-paru untuk mengelak jangkitan paru-paru. Waktu itu saya marah juga dengan cara beliau, tetapi apabila terkena jangkitan paru-paru yang teruk selepas pembedahan jantung kedua pada 2007, saya amat menghargai dan memahami niat baik beliau. Sementara itu, saya terpaksa membatalkan semua lawatan dan mengelak daripada mempengerusikan mesyuarat Kabinet buat beberapa waktu.

Pada saat-saat begini, salah satu peristiwa yang membangkitan semangat saya adalah kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Parlimen Ampang sehari selepas pembedahan. Saya terlantar di dalam bilik ICU apabila mendengar bunyi bising di luar. Pada mulanya saya menyangka calon Barisan Nasional kalah, tetapi apabila adik Hasmah, Ahmad Razali masuk dan menunjukkan isyarat kemenangan barulah saya tahu yang ia adalah berita baik. Bagaimanapun, saya berasa sedih kerana anak lelaki Tun Ghafar yang sama-sama berkempen dengan beliau di Ampang, meninggal dunia akibat serangan jantung pada hari mengundi.

Ketika saya menjalani pembedahan, dewan bedah Hospital Besar tidak cukup lengkap. Ruang yang lebih luas diperlukan untuk menempatkan peralatan pembedahan, termasuk silinder gas bius. Dewan bedah itu pun sebenarnya bukanlah untuk menjalankan pembedahan jantung yang rumit manakala pakar bedah dan bius pula terpaksa menggunakan apa yang ada. Saya sedar yang mereka bertugas dalam keadaan serba kekurangan dan menghadapi tekanan berat yang sama sekali tidak adil bagi doktor serta pesakit. Namun sehingga saat ini, Kerajaan hampir-hampir tidak mempedulikan keperluan mereka. Sebaik sahaja saya sembuh, tanpa segan silu kumpulan doktor terbabit menyatakan tentang keperluan mendesak untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik.

Mereka bagaimanapun menegaskan bahawa daripada melengkapkan dewan bedah di Hospital Besar, adalah lebih baik ditubuhkan sebuah pusat perubatan khas untuk penyakit jantung. Saya setuju dan memutuskan bahawa Kerajaan patut memberi peruntukan secukupnya untuk tujuan itu. Demikianlah permulaan kepada penubuhan Institut Jantung Negara (IJN).
 
Membina dan melengkapkan sebuah hospital seperti itu tidaklah susah sangat. Yang menjadi masalah adalah menempatkan kakitangan terlatih. Pakar-pakar perubatan berduyun-duyun meninggalkan perkhidmatan kerajaan kerana gaji yang rendah. Kerajaan pula tidak dapat menaikkan gaji mereka tanpa kakitangan awam yang lain membuat tuntutan serupa. Kerajaan tidak mampu menanggung beban itu. Jalan keluar adalah dengan memastikan Kerajaan memiliki IJN, tetapi ia diuruskan sebagai sebuah perbadanan bebas. Maka IJN pun diperbadankan bagi membolehkannya menyusun struktur gaji, bonus dan faedah perkhidmatan lain. Syarat-syarat perkhidmatan tidaklah sebaik hospital swasta, tetapi memadai untuk membolehkan golongan pakar yang berdedikasi terus bekerja dengan Kerajaan, di samping mengurangkan bilangan mereka yang berhenti. Kebanyakan pesakit IJN adalah kakitangan awam dan kos rawatan mereka dibayar oleh Kerajaan.
 
Peristiwa serangan jantung yang saya alami memberi tekanan berat kepada keluarga saya - mungkin lebih daripada apa yang saya sendiri rasai kerana saya sudah pasrah jika ditakdirkan mati. Sampai hari ini pun, Mokhzani masih bimbang setiap kali hari lahirnya tiba sebab banyak kejadian tidak baik berlaku pada waktu itu seperti Perang Teluk yang pertama, buku lalinya patah dan pembedahan jantung saya. Bagaimanapun selepas saya sembuh, tidak seorang pun ahli keluarga, termasuk anak-anak saya cuba memujuk saya supaya bersara lebih awal. Mereka sedar bahawa cadangan itu akan hanya menambahkan lagi tekanan jiwa saya. Lagipun, mereka tahu yang saya akan membuat keputusan sendiri.
 
Saya tidak pernah berasa sangat tertekan sewaktu bekerja, tetapi ternyata bahawa tugas sebagai Perdana Menteri sentiasa membabitkan tekanan yang tersembunyi. Saya sentiasa menjalankan tugas dengan cara yang biasa dan menyelesaikan apa juga masalah dengan tenang. Saya tidak mudah teruja atau ghairah dan jarang sekali hilang sabar. Kadangkala saya berasa letih, tetapi saya akan bangun keesokannya dengan perasaan yang segar dan bersedia untuk bertugas semula. Saya sukakan kerja saya dan sukakan peluang untuk membuat sesuatu yang hanya Perdana Menteri boleh melaksanakannya. Cabaran yang saya hadapi pada 1986 dan 1987 apabila Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam cuba menggulingkan saya boleh menjadi punca kepada tekanan jiwa yang berat. Begitu juga dengan Ops Lalang yang berlaku selepas itu. Namun saya berjaya mengatasi semuanya tanpa berasa tertekan yang keterlaluan. Saya fikir sistem mental dan fizikal saya bertindak balas dengan cara berlainan dan mengalami tekanan kuat yang saya tidak sedari.
 
Selepas pembedahan, saya dinasihatkan supaya berehat selama tiga bulan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan saya. Namun hal itu tidak sepatutnya timbul kerana saya tidak bercadang pun mahu berhenti kerja. Selepas keluar dari hospital, saya tidak sabar-sabar untuk kembali bertugas, tetapi keluarga saya dan doktor mendesak agar saya pergi bercuti. Jadi kami pun pergi ke Maghribi dan Sepanyol. Sebaik sahaja pulang, saya memulakan amalan biasa saya - ke pejabat, berjumpa kakitangan dan anggota Kabinet, menerima pelawat dan mendengar berbagai-bagai taklimat mengenai segala-galanya yang berlaku.
 
Malah, dalam fikiran saya penuh dengan idea-idea baru mengenai bagaimana hendak membangunkan negara. Saya tidak sabar untuk melihat pelaksanaannya dan menyelia kemajuannya. Saya tahu penyakit saya mungkin berulang, tetapi itu adalah sesuatu yang saya harus terima. Bagaimanapun, kesihatan saya ternyata baik sepanjang baki tempoh perkhidmatan saya sebagai Perdana Menteri. Malah, saya menjadi lebih kuat dengan pelbagai cabaran  yang terpaksa dihadapi dan kejayaan menanganinya. Penyakit jantung saya datang semula hanya selepas saya bersara.
 
Saya tidak memperlahankan rentak hidup sejak bersara daripada jawatan Perdana Menteri pada 2003. Selain memberi ucapan dan ceramah di merata dunia serta menubuhkan pejabat di Yayasan Kepemimpinan Perdana di Putrajaya, saya juga kembali menunggang kuda. Saya melawat Argentina di Amerika Selatan setiap tahun dan menunggang kuda di Banjaran Andes, ada kalanya sampai lapan jam tanpa henti. Bagaimanapun, menjelang akhir 2006, iaitu selepas lawatan yang memenatkan ke Arab Saudi, Jepun dan New Zealand serta menghadiri banyak acara di Kuala Lumpur, saya mengalami serangan jantung yang ringan pada petang hari rumah terbuka Aidilfitri anak-anak saya.
 
Saya berada di rumah pada 6 November apabila berasa sesak dada seperti yang dialami dulu. Hasmah menelefon Datuk Dr Nasir Muda, seorang ahli kardiologi yang merupakan doktor peribadi saya dan pada awal pagi itu, saya dibawa ke IJN. Doktor terus memasukkan titisan ubat ke dalam sistem darah saya. Kemudian, selepas membuat ujian ECG doktor mengesahkan saya mengalami serangan jantung yang sederhana. Saya sembuh agak cepat dan pada hari keempat saya sudah boleh duduk di atas katil serta bersedia untuk memulakan kerja. Setiap kali saya meminta alat tulis saya, Hasmah akan menganggapnya sebagai satu petanda yang baik. Walaupun saya pulih dengan agak cepat, jelas sekali yang saya perlu menimbang kemungkinan menjalani pembedahan jantung kali kedua. Dalam kebanyakan kes, pesakit akan kekal sihat selama 10 tahun selepas pembedahan pintasan jantung, tetapi saya telah menjalaninya 18 tahun lalu. Doktor saya memberitahu yang saya perlu memutuskan secepat mungkin sama ada mahu menjalani pembedahan kedua atau tidak sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan berbahaya untuk membuat pembedahan. Saya terpaksa memikirkan dengan mendalam keputusan saya berhubung hal itu memandangkan umur saya sudah pun melebihi 80 tahun. Pada usia itu, proses penyembuhan selepas pembedahan mungkin lebih sukar.
 
Sambil menimbang keputusan sama ada mahu menjalani pembedahan atau tidak, saya mula melakukan satu siri senaman yang bertujuan untuk melancarkan pusingan darah. Saya juga menggunakan treadmill dan berkayuh basikal, ada kalanya sampai 10km sehari. Hasmah berpendapat bahawa saya agak keterlaluan melakukannya. Bahkan, saya juga mengetahui kemudiannya yang beliau meminta pelatih kuda saya agar mengajar haiwan itu supaya tidak berlari terlalu laju.
 
Walaupun saya bersungguh-sungguh bersenam, menjelang Mei 2007 saya berasa kaki amat berat dan saya tercungap-cungap apabila menaiki tangga. Pada bulan itu juga kami menganjurkan perjumpaan penuntut kelas 1947 Kolej Perubatan di Bukit Merah, Perak. Kami menghabiskan beberapa hari bersembang sehingga lewat malam. Selesai perjumpaan itu, saya dan Hasmah terbang ke Langkawi untuk bercuti pendek.
 
Ketika di pulau itu, saya menderita serangan edema pulmonari (pulmonary oedema ) yang teruk. Serangan tersebut berpunca daripada pengumpulan cecair berlebihan di dalam paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas. Pada hari serangan tersebut, saya berasa penat dan apabila terjaga daripada tidur yang pendek, saya mengalami sesak nafas. Saya menggunakan alat penyedut udara (inhaler), tetapi tidak berkesan. Selepas itu, segala-galanya berlaku dengan pantas - paru-paru saya dipenuhi cecair dan saya amat susah untuk bernafas. Dr Nasir memanggil ambulans, tetapi kemudian membatalkannya selepas memikirkan yang ia akan mengambil masa yang lama untuk sampai. Lalu dia memimpin saya memasuki kereta dan meluru ke hospital. Saya masih ingat yang saya mendengar beliau menyuruh saya bertahan walaupun saya sendiri berasa di antara sedar dan pengsan. Kami berselisih dengan ambulans di pertengahan jalan, tetapi Dr Nasir mengarahkan pemandu kami supaya meneruskan perjalanan kerana beliau sedar yang kami sudah kesuntukan masa. Hasmah memberitahu saya kemudian yang beliau menyangka akan kehilangan saya pada hari itu. Di dalam kereta, Hasmah duduk di depan untuk memberi ruang kepada saya dan Dr Nasir. Hasmah hanya dapat meletakkan tangannya dia atas lutut saya dalam usahanya untuk menenteramkan saya.
 
Di hospital, mereka memaksakan oksigen masuk ke dalam paru-paru saya dan berjaya menstabilkan keadaan saya dalam masa setengah jam. Dr Nasir menghubungi rakan-rakannya di IJN dan pakar bius, Dr Sharifah Suraya Syed Mohd Tahir terbang ke Langkawi dengan membawa semua peralatan yang tidak ada di Hospital Langkawi.     
 
Menjelang waktu itu, boleh dikatakan hampir semua orang Langkawi sudah mendengar apa yang terjadi dan mereka mula berkumpul di hospital. Keesokannya, sewaktu hendak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan dalam usaha untuk melepasi orang ramai yang berada di hadapan hospital, Pengarah Hospital telah menggunakan dua buah ambulans - sebuah untuk membawa saya dan sebuah lagi sebagai 'umpan'. Ambulans saya keluar ikut pintu belakang manakala ambulans 'umpan' keluar ikut pintu utama. Apabila saya sampai di lapangan terbang, beberapa orang anak kami tiba dengan penerbangan komensial. Mereka bagaimanapun terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur menaiki pesawat yang sama.
 
Saya diterbangkan ke Kuala Lumpur menaiki jet swasta. Membawa saya ke atas pesawat itu ternyata sukar kerana tangganya tidak boleh menampung tandu. Jadi saya terpaksa diusung dengan seorang mengampu kepala dan bahu saya manakala seorang lagi mengangkat kaki saya. Disebabkan tidak mahu badan saya membengkok maka pakar fisioterapi saya, Boey Ghod Chee merangkak di bawah badan saya untuk mengampunya sewaktu menaiki tangga pesawat. Saya memerlukan oksigen, tetapi berbahaya untuk terbang pada paras yang tinggi dengan tangki oksigen berada di dalam pesawat. Oleh itu, pesawat terpaksa terbang pada paras yang rendah sepanjang perjalanan.
 
Serangan itu membuatkan saya berasa lemah dan tidak sihat. Saya mula menimbangkan secara serius mengenai nasihat doktor supaya menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua. Pembedahan kedua nanti sudah tentulah mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana saya sudah pun berusia 82 tahun. Sebaliknya, kalau saya enggan menjalaninya maka kemungkinan diserang sekali lagi mustahil boleh dielakkan. Akhirnya walaupun pembedahan pintasan koronari kali kedua tidak memberi apa-apa jaminan, saya memutuskan untuk mengambil risiko. Sekali lagi, latihan perubatan yang saya terima tidak membantu memberikan saya keyakinan kerana saya tahu kemungkinan berlaku kerumitan sewaktu pembedahan adalah besar.
 
Saya ada juga memikirkan untuk menjalani pembedahan kedua di luar negara, tetapi sekali lagi saya bimbang tindakan itu akan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan kepada doktor kita. IJN membawa masuk seorang pakar perunding dari Klinik Mayo di Amerika Syarikat, tetapi pasukan pembedahan tetap diketuai oleh Dr Yahya dan Dr Rozali sekali lagi.
 
Saya dimasukkan semula ke IJN pada 2 September 2007 dan menjalani pembedahan pintasan kedua dua hari kemudian. Bukan Dr Yahya dan Dr Rozali sahaja ahli pasukan pembedahan tahun 1988 yang terbabit dalam pembedahan kedua, malah boleh dikatakan semua anggota pasukan bekenaan, termasuk jururawat dewan bedah, turut serta. Ada antara mereka telah meninggalkan IJN untuk membuka klinik sendiri, tetapi mereka semuanya kembali membantu.   
 
Dalam proses pemulihan selepas pembedahan, buat seketika saya meracau dan mengalami bermacam-macam mimpi aneh, antaranya menjadi anak seorang Sultan dan bekerja sebagai jurulatih kuda. Kadang-kadang saya berasa seperti berada di tempat lain, misalnya Indonesia, Thailand dan China. Saya bernafas dengan bantuan mesin pernafasan yang menghalang saya daripada menelan dan bercakap. Malah selepas tiub ditanggalkan daripada tenggorok saya, saya masih berasa seolah-olah ia berada di situ dan sukar menelan buat seketika. Disebabkan saya tidak boleh bercakap maka saya cuba berkomunikasi dengan menulis, tetapi sukar mengingati huruf yang betul. Keluarga saya memberikan sebuah papan kekunci untuk membolehkan saya menunjukkan huruf-huruf yang saya mahu, tetapi itu pun sukar bagi saya. Suatu ketika, apabila kehampaan menguasai diri, saya cuba mencabut semua tiub yang ada pada badan saya. Hasmah marah dan mengingatkan saya betapa ramai orang telah bersusah payah bekerja keras menolong saya.                   
 
Saya terkena jangkitan selepas dua minggu berada di ICU. Doktor-doktor yang merawat saya tahu bahawa mereka terpaksa membedah saya semula, tetapi bimbang saya tidak bersetuju. Namun, saya memberikan persetujuan dengan harapan ia akan membantu saya segera pulih dan mengakhiri penderitaan untuk cuba tidur bersama-sama segala macam tiub di leher, tangan, belakang dan dada saya.
 
Saya dibawa masuk semula ke dewan bedah pada 22 September. Walaupun pembedahan berjalan tanpa sebarang masalah, proses pemulihan sekali lagi sukar. Saya dilanda kemurungan dan berasa sangat tidak bermaya untuk meneruskan usaha pemulihan. Jadi, beberapa orang pelawat dibenarkan menemui saya untuk mengembalikan semangat saya. Mereka termasuklah rakan-rakan menunggang kuda; Mufti Perlis ketika itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas doktor peribadi saya, Datuk Dr Zainal Hamid. Hasmah turut membantu. Beliau membawa salah satu gambar saya yang paling diminatinya dan sambil menunjukkannya kepada saya, Hasmah berbisik yang beliau telah membawa lelaki itu ke hospital dan beliau akan membawanya pulang semula ke rumah. 
 
Hasmah jarang meninggalkan saya sepanjang berada di hospital. Beliau pulang ke rumah semalam sahaja pada bulan puasa untuk bersama-sama keluarga dan selebihnya beliau bermalam di hospital. Suatu hari, beliau jatuh tertiarap dari kerusinya akibat terlalu penat. Ini menyebabkan keadaan di ICU menjadi kelam-kabut, tetapi Hasmah berkeras mengatakan yang beliau tidak apa-apa dan cuma kepenatan.
 
Keseluruhannya saya menghabiskan masa 49 hari di IJN sebelum keluar pada 20 Oktober.Saya akui yang ada waktunya saya berasa seperti sudah di penghujung hayat. Malah, dari awal lagi saya sudah tahu apa yang menanti di hadapan. Jadi, pada hari saya dimasukkan ke IJN saya telah memberikan kepada Hasmah nombor kod beg bimbit yang mengandungi dokumen peribadi saya. Pada suatu ketika, apabila nampak tanda-tanda yang keadaan saya tidak akan pulih, Hasmah terfikir juga untuk membuka beg tersebut. Bagaimanapun apabila beliau memberitahu Mirzan mengenainya, Mirzan berkata yang masanya belum tiba dan eloklah beg itu tidak diusik.
 
Selepas menjalani dua pembedahan terakhir itu, saya mula memperoleh semula sebahagian besar tenaga saya. Namun, saya tetap mudah penat dan masih kekurangan berat badan. Inilah sekali dalam hidup saya apabila berat badan saya sukar hendak dinaikkan walaupun di negara kita, setiap orang cuba memaksa orang lain makan sehingga tidak boleh bangun.
 
Sewaktu saya menulis buku ini, tiga tahun sudah berlalu sejak pembedahan kedua. Proses pemulihan lebih perlahan daripada pembedahan pertama, tetapi berlaku secara progresif dan saya sekarang sudah cergas sepenuhnya.
 
Saya mula menunggang kuda semula dan menjadikannya kegiatan mingguan. Saya juga berjalan kaki apabila cuaca mengizinkan. Kalau tidak, saya akan menggunakan treadmill. Pada waktu pagi, saya melakukan senaman angkat berat. Pada Februari 2009, saya ke Argentina dan menghabiskan 10 hari menunggang kuda di padang rumput pampas pada setiap pagi dan petang.
 
Saya bekerja di tiga pejabat yang berlainan mulai jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang dan sering menghadiri majlis makan. Kebanyakan waktu hujung minggu saya dihabiskan di luar. Saya juga akan ke luar negara sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk memberi ceramah.
 
Walaupun sudah dua kali menjalani pembedahan jantung, secara amnya saya menikmati kesihatan yang baik. Ramai orang bertanya berulang kali mengenai stamina saya dan bagaimana saya kelihatan lebih muda daripada usia sebenar. Saya menjawab secara berseloroh bahawa seseorang harus memilih ibu bapanya dengan berhati-hati.
 
Namun, soalan yang sama terus diajukan. Ramai percaya dan menyebarkan kepada orang lain yang kononnya saya menerima suntikan di Switzerland. Seorang wanita menegur saya di sebuah pasar raya dan bertanya adakah benar saya makan ubat berharga RM5,000 sehari. Ramai juga yang pergi ke farmasi di mana saya membeli vitamin dan mereka akan membeli apa sahaja yang saya beli.
 
Akhirnya, saya berjanji kepada mereka yang saya akan memberitahu segala-galanya di dalam memoir ini. Soalnya, apakah yang hendak saya beritahu? Orang akan kecewa kalau saya mula bercakap mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Mereka mahu sesuatu yang boleh menyelesaikan segala masalah serta-merta, tetapi malangnya tidak ada cara seperti itu. Bagaimanapun, ada perkara tertentu yang boleh membantu kita kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.
 
Menjalani kehidupan yang cergas adalah penting untuk semua peringkat usia, terutamanya dalam tempoh persaraan. Setakat yang terdaya, saya cuba mengekalkan rutin kerja. Saya bangun awal untuk solat Subuh. Selepas bersolat, saya bercukur, menggosok gigi dan mandi air suam. Sebelum sarapan, saya membuat beberapa minit pernafasan panjang dan senaman ringan.
 
Sarapan saya juga ringan sahaja dan kemudian saya memulakan hari dengan menulis. Saya berasa kehilangan kalau tidak menulis sesuatu pada awal pagi. Bagi saya, menulis membantu menggerakkan otak dan menajamkan ingatan. Saya jarang melakukan senaman berat, khususnya pada waktu pagi hari bekerja. Saya menggunakan treadmill sekali-sekala, saya tidak berjalan kaki sekerap yang saya inginkan dan saya tidak bermain golf.
 
Kegemaran saya adalah menunggang kuda yang saya pelajari ketika berusia 60 tahun. Ia bermula apabila saya dijemput oleh Allahyarham Presiden Pakistan, Muhammad Zia ul-Haq bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan negaranya. Kami pergi ke tempat perarakan dengan kereta dan kemudian menaiki kereta kuda. Kami diiringi oleh pengawal berkuda Pathan yang berpakaian seragam tentera. Saya teruja dengan apa yang saya lihat dan mengambil keputusan untuk membeli dua ekor kuda dari Pakistan. Presiden Zia  mendapat tahu hasrat saya lalu menghadiahkan dua ekor kuda itu kepada saya. Maka saya pun mulalah belajar menunggang kuda di Kelab Menunggang dan Polo Selangor.
 
Perkara pertama yang saya pelajari mengenai kegiatan menunggang kuda adalah duduk tegak dan lurus di atas pelana. Ini sangat penting. Ia bertujuan untuk mengelak kita daripada sakit belakang. Saya fikir, ia turut membantu saya berdiri tegak dan tidak membongkok walaupun usia saya sudah melepasi 80 tahun. Apabila kita bongkok, kita akan nampak tua.
 
Saya juga mempunyai tabiat berjalan seperti orang berkawat. Kebanyakan orang yang berusia 80 tahun umumnya akan berjalan lebih perlahan. Malah, ada yang terketar-ketar dan mengheret kaki. Orang yang lebih muda biasanya suka membantu orang tua bangun, berdiri, berjalan dan memanjat anak tangga. Kadangkala, orang tua pun suka dibantu. Mereka sukakan perhatian dan sikap prihatin anak cucu mereka. Kalau kita membenarkan diri kita dibantu, ia boleh menjadi tabiat. Selagi boleh dan terdaya, eloklah kita cuba mengelak daripada dibantu. Ini membuatkan kita nampak seperti orang muda. Lagipun, ia baik bagi otot dan imbangan kita.
 
Saya juga cuba tidur secukupnya, iaitu enam jam pada waktu malam, dan kalau boleh, di atas katil yang sesuai. Selepas makan tengah hari, saya akan melelapkan mata selama 15 minit sambil duduk di atas kerusi yang selesa dengan menegakkan kepala. Saya membuat rutin yang sama apabila dalam perjalanan atau jika tidak ada apa-apa yang hendak dilakukan. Melelapkan mata sebentar sambil duduk amat penting. Jika kita berbaring, kita akan bangun dalam keadaan terhuyung-hayang dan tidak dapat bekerja.
 
Di samping kemampuan saya mencuri masa untuk melelapkan mata buat seketika, pengalaman saya sebagai seorang doktor turut membantu saya bekerja dalam tempoh waktu yang lama ketika menjadi Perdana Menteri. Selepas tidur sepanjang penerbangan, saya boleh terus bekerja. Lagipun apabila melawat negara asing, saya tidak ada masa untuk berehat. Sebaik sahaja turun kapal terbang, saya akan terus bertugas. Kalau nasib baik, bolehlah berehat sebentar sementara menunggu pagi.
 
Yang lebih penting, kita mesti bersenang hati kalau mahu kelihatan muda. Kegembiraan bercinta adalah yang paling nyata. Memanglah sukar untuk berasa gembira setiap masa, tetapi kalau kita bersyukur dengan apa yang kita nikmati setiap kali bangun pagi, kita akan berasa gembira. Memanglah ada masalah yang perlu diatasi dan kesedihan untuk dirasai, namun tentu ada sesuatu yang boleh membuatkan kita gembira. Bagi saya, sejak dulu dan lebih-lebih lagi sekarang, dapat bangun setiap pagi adalah anugerah paling besar.
 
Jadi, saya tidak ada rumusan khas untuk kelihatan lebih muda daripada usia saya. Orang yang mengharapkan saya agar memberitahu mereka nama bahan awet muda (elixir) untuk kelihatan muda yang saya guna, akan berasa hampa kerana saya tidak ada ramuan itu. Hakikatnya, ia tidak wujud pun.

Rabu, 14 November 2012

Masalah Jantung I (Tun Dr Mahathir)

(DOKTOR UMUM 'Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad', Bab 43, ms 672)

Kali pertama saya berasa sakit dalam dada adalah kira-kira sebulan sebelum mengalami serangan jantung pada 1989. Bagaimanapun waktu itu, saya tidak mengendahkannya. Saya berada di Genting Highlands bagi menghadiri perjumpaan alumni Kolej Perubatan King Edward VII. Ramai rakan sekelas dan anak-anak mereka hadir serta bergembira. Saya sedang memerhatikan mereka apabila beberapa orang anak muda menarik saya ke lantai tarian. Sewaktu menari, saya berasa sesak nafas dan sakit dada, tetapi kesakitan itu hilang apabila saya duduk. Keesokannya, saya menunggang kuda dan sekali lagi berasa sesak nafas dan sakit dada. Saya tidak mahu menerima keadaan itu sebagai tanda-tanda serangan jantung, jadi saya tidak memberitahu sesiapa dan berharap masalah itu akan berlalu sendiri. Walaupun kita seorang doctor dan tahu tanda-tanda penyakit, kita lazimnya enggan mengaku yang kita mungkin ada masalah berkenaan.

Ketika itu, saya tidak membuat pemeriksaan kesihatan berjadual. Saya cuma ingat pernah sekali menjalani pemeriksaan rapi di London atas nasihat doktor apabila mengalami sedikit masalah tekanan darah. Ia benar-benar mengganggu sebab pemeriksaan itu mengambil masa yang lama dan saya dipaksa mengguna mesin pengukur denyutan jantung, iaitu ECG yang membonjol di pinggang saya. Lebih-lebih lagi apabila menghadiri satu majlis makan malam dengan membawa mesin itu sehingga nampak seolah-olah saya menyelitkan pistol di pinggang.

Sebulan selepas perjumpaan di Genting Highlands, saya bersama-sama Hasmah dan suami Marina makan malam di sebuah restoran Thai di The Mall bagi meraikan hari jadi Mokhzani walaupun dia sendiri tidak hadir. Kami sepatutnya berempat, tetapi Marina juga tidak dapat datang.  Jadi yang ada hanya Hasmah, Didier (bekas suami Marina) dan saya. Bagaimanapun, kami sudah menempah makanan untuk empat orang dan saya akhirnya makan bahagian yang sepatutnya dimakan oleh Marina – mungkin disebabkan kesempitan hidup pada zaman perang menyebabkaan saya tidak suka membazir makanan. Apabila kami sampai di rumah, saya mula rasa sakit di dada dan kesukaran bernafas seperti sebelumnya. Kali ini, kesakitan itu tidak reda. Saya cuba baring dan duduk, tetapi masih berasa sakit. Hasmah menelefon seorang pakar di Hospital Besar Kuala Lumpur, iaitu Dr Jimmy Eapen. Beliau rakan sekelas saya di Kolej Perubatan. Hasmah memberitahunya tanda-tanda masalah yang saya hadapi dan Jimmy datang serta-merta. Beliau membuat diagnosis yang saya mengalami serangan jantung, tetapi beliau perlu pulang ke rumah untuk mengambil mesin ECG mudah alih. Apabila mesin itu mengesahkan yang ia memang serangan jantung, saya serta-merta dibawa ke hospital. Saya fikir saya boleh berjalan, tetapi mereka mendesak supaya saya menggunakan kerusi roda.

Saya sepatutnya sudah tahu yang ia adalah serangan jantung kerana tanda-tandanya memang jelas. Sakit dada dan sesak nafas yang saya alami ketika menari dan menunggang kuda sebelum itu menepati tanda-tanda serangan jantung. Serangan jantung juga boleh dicetuskan oleh kebimbangan mengenai perjalanan yang jauh atau terlalu banyak makan. Memang pada malam di restoran Thai itu saya makan berlebihan. Saya sepatutnya tidak mengabaikan kesakitan kali pertama dan segera menerima hakikat yang saya sebenarnya mengalami serangan jantung.

Saya dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada malam 17 Januari 1989. Di sana, Datuk Dr Robaayah Zambahari mengesahkan yang saya diserang sakit jantung dan memberikan satu suntikan bagi mengurangkan kesakitan. Beliau kemudian memberitahu Hasmah agar menghubungi semua anggota keluarga kami dan ini menyebabkan kami sedar betapa seriusnya keadaan waktu itu. Beliau juga menghubungi Tun Ghafar Baba yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri untuk memaklumkan apa yang sedang berlaku.

Selepas selesai pemeriksaan biasa, mereka memutuskan bahawa saya perlu menjalani ujian angiogram, iaitu pemeriksaan radiografi ke saluran jantung sejurus selepas disuntik bahan radiolegap ke saluran darah. Kebetulan, Dr Simon Stertzer, pakar jantung dari California berada di rantau ini lalu beliau diminta hadir ketika ujian angiogram dijalankan. Dr Stertzer dan Dr Robaayah merumuskan bahawa saya mengalami serangan jantung yang memerlukan pembedahan. Mereka memberi saya pilihan sama ada mahu menjalani pembedahan di Amerika Syarikat atau Kuala Lumpur. Tanpa ragu-ragu, saya memilih untuk menjalani pembedahan di dalam negara. Saya perlu yakin terhadap doktor tempatan dan saya tahu, kalau saya sendiri tidak menunjukkan contoh maka orang lain tidak akan percaya kepada perkhidmatan perubatan kita. Sebelum itu, semua orang kenamaan Malaysia berubat di luar negara, tetapi saya tahu yang Datuk Dr Rozali Wathooth telah berjaya melakukan pembedahan jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur. Beliau bagaimanapun sudah meninggalkan hospital Kerajaan dan bekerja dengan Pusat Perubatan Subang Jaya atau Subang Jaya Medical Centre (SJMC). Namun masih ada pakar jantung yang lain di Hospital Besar Kuala Lumpur, termasuk Tan Sri Dr Yahya Awang. Saya tahu Dr Yahya mempunyai banyak pengalaman dan saya memutuskan untuk menyerahkan nasib saya kepada beliau.

Sebagai seorang doktor, saya maklum risiko pembedahan tersebut. Saya sedar kemungkinan yang saya tidak akan selamat daripada pembedahan kerana waktu itu ia bukanlah prosedur biasa. Orang ramai masih takut untuk membenarkan doktor membelah dada mereka dan melakukan sesuatu ke atas jantung mereka. Saya meyakinkan diri bahawa kalau memang sudah ditakdirkan saya akan mati, apa yang boleh saya lakukan. Saya menyerahkannya kepada Allah SWT dan kemahiran pakar bedah. Bunyinya mungkin agak dramatik sekarang kerana ramai pesakit yang telah berjaya menjalani pembedahan jantung. Namun sebaik sahaja saya menerima hakikat kematian, saya berasa cukup tenang.

Saya berehat selama empat hari sebelum menjalani angiogram yang mengesahkan bahawa saya memerlukan pembedahan. Dr Stertzer sekali lagi memberi pilihan kalau saya mahu menjalani pembedahan di California, Amerika Syarikat walaupun beliau sendiri mengakui yang Dr Yahya juga sama cekap dengan mana-mana pakar bedah di Amerika. Apabila tinggal saya dan Hasmah di dalam bilik, saya meminta Hasmah memanggil Dr Yahya. Sebaik sahaja Dr Yahya masuk, tanpa banyak bicara saya terus memberitahunya yang saya mahu beliau melakukan pembedahan. Saya kenal rapat dengan ayah beliau, Dr Awang yang juga adalah seorang doktor yang baik dan menjadi Ahli Parlimen serentak dengan saya pada 1964-69. Sewaktu saya diserang sakit jantung, Dr Awang sudah pun menjadi Gabenor Pulau Pinang.

Kemasukan ke hospital menghalang saya daripada menghadiri mesyuarat mingguan kabinet setiap Rabu. Doktor juga memberi amaran yang saya tidak boleh menerima pelawat, dan Hasmah memutuskan yang beliau sendiri akan memantau arahan itu. Ramai orang datang dan mendesak agar dibenarkan menjenguk saya, tetapi Hasmah sangat tegas. Beliau hanya membenarkan beberapa orang sahaja mengintai saya dari luar bilik ketika saya terbaring kerana diberi ubat pelali. Ada satu pilihan raya kecil waktu itu dan khabar angin tersebar luas  mangatakan saya sakit tenat. Malah ada yang berkata bahawa saya sudah mati. Hasmah tidak pernah meninggalkan hospital dan berada di sisi saya sepanjang masa. Dr Robaayah menawarkan untuk memberi beliau ubat tidur pada malam pertama saya dimasukkan ke hospital, tetapi beliau bertekad untuk berjaga bagi memastikan tidak ada sesiapa datang mengganggu saya.

Pada malam sebelum pembedahan, Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew membuat panggilan telefon kira-kira jam 10. Beliau amat bimbang dan bercakap dengan Hasmah kerana waktu itu saya sudah pun diberikan ubat sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan. Lee meminta Hasmah supaya memujuk saya menangguhkan pembedahan sebab beliau ada menyediakan sepasukan ahli perubatan untuk terbang ke Kuala Lumpur. Pakar bedah terkemuka, Dr Victor Chang, seorang rakyat Singapura menetap di Australia dicadangkan untuk melakukan pembedahan itu. Menurut Lee, Dr Chang mempunyai pengalaman cukup luas setelah melakukan lebih 1,000 pembedahan jantung. Lee kemudian bertanya Hasmah siapa yang akan membedah saya. Hasmah menyebut nama Dr Yahya yang Lee tidak pernah dengar, dan Hasmah memberitahunya bahawa saya sudah pun membuat keputusan dan ahli keluarga bersetuju dengan saya. Hasmah mengucapkan terima kasih kepada beliau dan berjanji akan menghubunginya apabila pembedahan selesai. Hasmah tahu bahawa sekali saya sudah membuat keputusan, saya tidak akan mengubahnya. Apa yang saya ketahui kemudian adalah Lee bukan sahaja menghubungi Hasmah, malah beliau turut meminta Tun Daim Zainuddin agar memujuk Hasmah. Walaupun kami mempunyai banyak perbezaan pendapat untuk sekian lama, saya amat menghargai sikap ambil berat beliau itu.

Tiga anak lelaki kami berada di luar Kuala Lumpur ketika itu manakala Marina pula di Singapura. Ineza, anak perempuan Marina sedang tidur di dalam buaian di bilik kami. Dalam tergesa-gesa hendak membawa saya ke hospital, Hasmah hampir meninggalkan cucu kami terkunci di dalam bilik. Nasib baik pada saat akhir Hasmah teringat lalu memindahkan buaian Ineza ke biliknya. Marina dan Mokhzani yang ketika itu berada di Miri terbang pulang keesokannya. Mukhriz pula di Boston manakala Mirzan di Philadelphia, Amerika Syarikat. Kedua-dua mereka sempat pulang sehari sebelum pembedahan. Sejurus sebelum pembedahan, pihak hospital membawa masuk Hasmah dan anak-anak kami seorang demi seorang untuk mencium saya. Itulah kali pertama saya melihat Hasmah menangis.

Masalahnya sebagai doktor, kita tahu apa yang akan dilakukan ke atas kita sewaktu pembedahan. Dalam pembedahan jantung, mereka akan menghentikan fungsi jantung dan paru-paru serta mengalirkan darah kita melalui mesin jantung dan paru-paru. Saya kurang senang dengan kaedah itu, terutama kerana prosedur tersebut masih baru dan peralatan yang digunakan tidaklah secanggih hari ini. Tun Hussein Onn menjalani pembedahan pintasan koronari di London dan beliau tidak pulih sepenuhnya selepas itu. Seorang lagi orang kenamaan yang turut menjalani pembedahan seperti itu ialah Datuk Jaafar Hassan, bekas Menteri Besar Perlis. Beliau meninggai dunia tidak lama kemudian. Saya bertanya Dr Yahya bagaimana beliau dan pasukannya akan membelah dada saya. Katanya, mereka menggunakan gergaji elektrik. "Terima kasih banyak-banyak," jawab saya, sambil menambah: "Tak perlulah saya tahu lebih lanjut lagi."

Mereka mengangkat saya ke atas troli dan menolak ke dewan bedah. Saya masih dapat melihat samar-samar siling hospital sewaktu melalui koridor dan memasuki ruang tara bersebelahan dewan bedah. Saya dapat mendengar kata-kata perangsang daripada pakar bius yang sedang membius saya. Kemudian saya diangkat ke atas meja bedah dan disuruh mengira ke belakang bermula angka 10. Apabila sedar, saya sudah berada di bilik pemulihan. Dari aspek itu, pembedahan moden adalah satu ketakjudan.

Pembedahan mengambil masa kira-kira enam jam walaupun saya berasa tidak lebih dua saat sahaja. Keluarga sayalah yang terpaksa menunggu penuh debaran. Doktor mengambil urat dari kedua-dua kaki saya untuk membuat lima saluran pintasan. Dr Yahya dan Dr Rozali serta pembantu-pembantu mereka melakukannya dengan baik sekali dan tidak berlaku sebarang kerumitan. Hari ini, pembedahan terbuka seperti itu tidak diperlukan sangat kerana teknik angioplasti, iaitu perluasan semula saluran darah yang berpenyakit atau rosak dengan menggunakan sejenis dawai, lebih mudah dan kurang berbahaya. Selain itu, kawalan pemakanan dan senaman boleh mengurangkan kemungkinan berlaku aterosklerosis di mana saluran darah ke jantung menjadi sempit dan memungkinkan serangan jantung. Ada pihak berpendapat bahawa amalan pemakanan yang sihat boleh menyembuhan aterosklerosis, dan inilah yang sedang saya cuba amalkan sekarang…

akan bersambung…