ARKIB : 14/01/2009
Utusan Malaysia
Utusan Malaysia
(CUIT: Dilema Melayu Moden/ ms 358-363)
SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap
gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom,
mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.
Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan
sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian,
siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa. Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.
Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS)
Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html)
mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan
renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi
selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak
ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).
Begini tulisan beliau:
Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika,
lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap
orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua
sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini
berlaku?
Siapa mereka ini?
Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai
'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori
id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi;
begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.
Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan
mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin
memperkenalkan jarum suntikan pelalian.
Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta
ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul
Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah
Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana
kajian mengenai transmisi neuromuskular.
Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan
sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif
(rawatan mental, kesugulan dan fobia).
Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama.
George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen
dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan
perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah
pinggang.
Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.
Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan
reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik);
Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).
Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren
(Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's),
Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison
(Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan
Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).
Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah
seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright
(bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi
Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim
Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua
Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral
Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny
Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge
Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana
Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis);
Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas
Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).
Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).
Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia
menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata
dunia. Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.
Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg
ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan
Boris Becker adalah Yahudi.
Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony
Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul
Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley,
Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya
Yahudi?
Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara
pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone,
Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.
Mempengaruhi
Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu
pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa
Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres
meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.
Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.
Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?
Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.
Mengapa umat Islam terlalu lemah?
Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu
bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di
Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu
ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan
setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam
terlalu lemah?
Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur
semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti
untuk setiap tiga juta orang Islam.
AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004,
Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik
Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun
universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.
Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah
hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf.
Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar
40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik
huruf.
Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang
sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam.
Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti,
sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.
Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap
(per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta.
Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya
50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per
sejuta).
Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk
penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju
membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.
Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.
Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul
buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi
menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.
Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan
sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per
juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.
Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.
Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli
OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan
dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun
AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.
Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara
rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak)
bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan
perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan
Thailand AS$545 bilion.
Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?
Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.