(DOKTOR UMUM 'Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad', Bab 52, ms 788)
Pada Mei
tahun itu (1997), saya mengambil keputusan untuk bercuti selama dua bulan dan
menyerahkan tanggungjawab kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemangku
Perdana Menteri. Saya menganggap ini sebagai satu peluang baik untuk memerhati
bagaimana beliau menjalankan tugas kerana saya sudah pun berfikir untuk bersara
pada tahun berikutnya. Saya mahu pastikan yang apabila Anwar mengambil alih,
beliau mampu mentadbir negara dengan baik.
Ketika berada di Bledisloe dalam daerah Cotswolds, England, saya menerima
berita mengenai serangan ke atas baht Thailand oleh peniaga mata wang. Apa yang
berlaku adalah ahli perniagaan Thai telah meminjam sejumlah besar mata wang
asing pada kadar faedah yang rendah berbanding pinjaman dalam mata wang baht.
Mereka boleh membuat keuntungan segera daripada perbezaan dua kadar faedah itu
dengan syarat nilai baht stabil. Peniaga mata wang antarabangsa adalah orang
yang mencari keuntungan dengan memerhati dan mengambil kesempatan daripada
ketidakwajaran dan kelemahan seperti yang berlaku di Thailand ketika itu. Ia
diibarat pucuk dicita ulam mendatang kepada kegiatan mereka.
Mereka menyebarkan berita kononnya nilai baht terlalu tinggi dan pertumbuhan
ekonomi negara itu mustahil dapat dipertahankan. Mereka kemudian menjual
sejumlah besar baht menyebabkan nilainya merosot berbanding dolar Amerika.
Kejatuhan nilai baht menyebabkan orang Thai yang meminjam dolar menghadapi kesulitan.
Mereka terpaksa mendapatkan lebih banyak baht bagi membayar balik pinjaman mata
wang asing mereka kerana kalau keuntungan perniagaan mereka tidak mencukupi,
mereka mungkin tidak dapat membayar balik pinjaman.
Sekiranya mereka gagal membayar balik hutang maka terbukti benarlah dakwaan
peniaga mata wang bahawa ekonomi Thai lemah.
Kemudian mereka melambakkan lebih banyak baht menyebabkan nilainya merudum
lagi. Maka semakin ramailah orang Thai yang meminjam mata wang asing gagal
membayar balik hutang mereka.
Sementara itu, peniaga tersebut kelihatan seolah-olah mereka tidak ada kaitan
langsung dengan krisis berkenaan. Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar
bertindak balas. Hakikatnya, merekalah yang mencetuskan malapetaka itu.
Kitaran tindakan kejam (vicious cycle) ini pantas merebak. Lebih teruk nilai
baht menyusut, lebih ramai peminjam yang gagal membayar balik hutang dan
semakin lemah pula ekonomi Thailand.
Kerajaan
Thai cuba membeli baht bagi mempertahankan nilainya dengan menggunakan rizab
dolar. Bagaimanapun, peniaga mata wang nampaknya memiliki bekalan baht yang
tidak terbatas untuk terus dilambakkan dalam pasaran.
Akhirnya, kerajaan Thai dibebani rizab baht yang banyak, tetapi bernilai rendah
manakala simpanan mata wang asingnya merosot teruk. Ini mencetuskan satu lagi
pusingan penjualan baht apabila ia menjadi lebih lemah akibat tanggapan bahawa
ia tidak disokong oleh rizab mata wang asing yang secukupnya.
Apabila saya pulang daripada bercuti pada bulan Ogos, di Thailand sangat teruk.
Kita mengambil keputusan untuk meminjamkan mata wang utama bagi memperkuatkan
rizab antarabangsanya, tetapi tidak berhasil. Nilai baht terus jatuh.
Kewangan Malaysia berada dalam keadaan baik pada masa itu kerana kerajaan dan
peniaga tidak perlu meminjam dengan banyak mata wang asing. Kadar faedah kita
sentiasa rendah dan pinjaman mata wang asing tidak akan memberikan apa-apa
kelebihan. Rizab mata wang asing Bank Negara juga mencukupi, setidak-tidaknya
cukup untuk menyokong ringgit kalau diserang. Namun, itu hanyalah andaian.
Kita juga tidak membuatkan diri kita terdedah seperti orang Thai dengan
meminjam mata wang asing dan berurus niaga dengan peniaga mata wang, jadi apa
yang harus kita bimbangkan?
Kemudian kita mula mendengar mengenai jangkitan kewangan, iaitu bagaimana
masalah jiran kita mungkin menjangkiti kita. Walaupun ekonomi dan kewangan kita
nampak sihat, ringgit mungkin akan diserang juga.
Kalau peniaga mata wang mencetuskan kehilangan keyakinan terhadap Malaysia,
nilai ringgit akan turut jatuh. Saya langsung tidak faham mengapa hal seperti
ini harus berlaku, tetapi pakar ekonomi pasti ia akan terjadi.
Mereka betul. Peniaga mata wang mula menjual ringgit secara besar-besaran
menyebabkan nilainya merosot. Sebelum serangan itu bermula pada pertengahan
1997, kadar mata wang kita ialah RM2.50 bagi satu dolar Amerika. Bagaimanapun,
menjelang hujung tahun nilai ringgit tinggal separuh sahaja. Kita tidak tahu
siapa yang menjual ringgit atau kepada siapa mereka menjualnya.
Saya diberitahu mengenai seorang lelaki bernama George Soros yang pernah
menyerang paun British dan lira Itali. Kedua-dua buah negara itu menghadapi
saat genting mempertahankan mata wang mereka yang disusutkan nilainya secara
paksa.
Tanpa mengetahui peniaga mana yang terbabit, saya mengandaikan bahawa Soros
adalah salah seorang daripadanya. Tidak kira siapa mereka, saya amat marah.
Bagaimanakah orang luar boleh dengan sewenang-wenangnya memiskinkan negara dan
rakyat kita? Bagaimanakah mereka tergamak berbuat demikian secara sedar dan
sengaja? Sekalipun itu bukan tujuan utama mereka, mengapakah mereka memilih
untuk menjahanamkan kita sebagai produk sampingan strategi perniagaan mata wang
mereka? Semua ini tidak masuk akal kepada saya, sama ada dari segi ekonomi
mahupun moral.
Rakyat Malaysia, khususnya golongan peniaga mula merasai kesan penurunan nilai
ringgit. Pengimport misalnya, tidak dapat mengumpulkan cukup ringgit untuk
membeli dolar yang mereka perlukan bagi membayar kos barangan yang dipesan
daripada pembekal asing. Akibat kekurangan wang, mereka gagal membayar balik
hutang.
Rakyat Malaysia yang gemar ke luar negara pula mendapati kos perjalanan mereka
terlalu mahal. Eksport kita biasanya menggunakan dolar. Jadi, dengan kenaikan
nilai dolar kita sepatutnya memperoleh lebih banyak mata wang ringgit daripada
eksport.
Pembeli asing pula mahu membayar harga yang lebih rendah untuk eksport kita.
Mereka mendakwa kos pengeluaran kita telah berkurangan kerana nilai ringgit
merosot. Apa yang mereka tidak sebut adalah, akibat kenaikan nilai dolar maka
bahan mentah, komponen dan barangan modal (capital goods) yang kita import
menjadi lebih mahal.
Kejatuhan nilai ringgit tidak menjadikan kita lebih berdaya saing, terutama
jika dibandingkan dengan jiran kita yang nilai mata wang mereka juga jatuh.
Kita berasa tidak berdaya apabila nilai ringgit terus merosot dan ekonomi
menuju ke arah kemelesetan. Sebelum itu, selama hampir 10 tahun berturut-turut,
ekonomi kita berkembang pada kadar lapan peratus setahun.
Kini, kita berdepan dengan kemungkinan pertumbuhan negatif. Saya tidak boleh
berkata apa-apa mengenai peniaga mata wang – setiap kali saya membuat kenyataan
terbuka, nilai ringgit jatuh lagi.
Pada 17 Jun 1997, sebelum serangan ke atas mata wang Asia bermula, Pengarah
Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF)
waktu itu, Michael Camdessus memuji Gabenor Bank Negara kerana pengurusan
ekonomi dan kewangan Malaysia yang baik.
Pujian itu dibuatnya pada Majlis Hal Ehwal Ekonomi Dunia, Los Angeles. Katanya:
“Malaysia adalah negara contoh di mana pihak berkuasanya sedar mengenai cabaran
menguruskan tekanan akibat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mengekalkan
sistem kewangan yang sihat di tengah-tengah pengaliran masuk modal yang banyak
dan pasaran hartanah berkembang pesat.”
Inflasi, kata beliau, adalah rendah dan tukaran ringgit kekal pada kadar RM2.50
kepada AS$1 untuk jangka masa yang lama. Ringgit, tambah beliau lagi, adalah
mata wang yang benar-benar kukuh yang mencerminkan kemantapan kewangan
Malaysia.
Namun, apabila serangan ke atas mata wang Asia berlaku, orang yang sama berkata
ekonomi kita terlalu panas dan ini menyebabkan mata wang kita merudum diserang
oleh peniaga mata wang. Saya tidak percaya yang nilai ringgit susut kerana
ekonomi kita lemah atau kerana pasaran hilang keyakinan terhadap Malaysia.
Saya membeli beberapa buah buku mengenai perniagaan mata wang untuk lebih
memahami mekanismenya. Saya yakin punca kejatuhan ringgit adalah dagangan mata
wang bukannya ekonomi atau mata wang kita.
Saya pernah bertemu dengan Camdessus sebelum itu dan beliau nampaknya seorang
yang baik. Anwar yang ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana
Menteri lebih kerap berjumpa beliau.
Saya meminta Anwar merayu kepada Camdessus supaya berusaha menghentikan dagangan
mata wang. Saya berkata, kegiatan itu tidak perlu dan merosakkan ekonomi negara
membangun. Saya tidak tahu sama ada Anwar menyatakan atau tidak hal itu kepada
Camdessus, tetapi tidak ada usaha diambil bagi menghentikan kegiatan tersebut.
Bagi saya, mendagangkan mata wang seolah-olah ia satu barangan adalah tidak
masuk akal sama sekali. Kopi, gula, getah dan seumpamanya adalah barangan
sebenar dan mempunyai kegunaan yang sahih, tetapi mata wang tidak mempunyai
nilai secara sendiri. Ini adalah perantara bagi mendapatkan komoditi sebenar.
Ia tidak boleh digunakan dengan cara lain dan tidak boleh dimakan.
Kita bukan lagi berada pada Zaman Pertengahan (Middle Ages) di mana ekonomi
Eropah tidak mempunyai sebarang mata wang yang diyakini. Ketika itu, peniaga-peniaga
di pasar Perancis menggunakan lada hitam dari Asia Tenggara sebagai mata wang
dan pertukaran barang. Hari ini, kita guna lada hitam dan rempah ratus untuk
menambah kesedapan makanan dan kita guna wang untuk membeli-belah.
Saya teringat pernah membaca mengenai orang Brazil mencampakkan kopi keluaran
mereka ke dalam laut sewaktu bekalan bahan itu berlebihan dan harganya murah.
Ia bertujuan untuk mewujudkan kekurangan bekalan dan dengan itu dapat menaikkan
harganya.
Bagaimanapun, apakah kita perlu mencampak atau membakar wang untuk menaikkan
nilainya? Dalam hal mata wang, keadaan sebenar yang berlaku adalah lebih teruk
kerana wujud lebih banyak wang dalam edaran berbanding yang diterbitkan oleh
bank pusat dan lembaga mata wang.
Bekalan yang berlebihan itu berlaku kerana bukan mata wang sahaja digunakan
untuk jual beli, tetapi juga cek, kad kredit dan pemindahan elektronik. Jumlah
yang diwakili oleh instrumen tersebut pastinya melebihi jumlah mata wang kertas
yang dikeluarkan dan berada dalam edaran. Hakikatnya, wang sudah bertukar
bentuk menjadi maya (virtual).
Apabila menoleh ke belakang sekarang, jelaslah saya menerima secara literal
klise ekonomi, iaitu wang adalah darah daging kepada sistem kewangan dan
ekonomi.
Sebagai seorang doktor, saya tahu tentang wujudnya sejumlah darah yang
berpusing dalam badan seseorang pada setiap masa (walaupun kadangkala ia
terpaksa ditambah melalui pemindahan darah).
Bagaimanapun, saya belajar untuk tidak mengguna pakai kiasan itu secara literal
dalam hubungannya dengan ekonomi. Wang bukan macam hutang kerana wujud lebih
banyak hutang daripada jumlah wang dalam edaran bagi menyokong dan menyukatnya.
Cara pakar ekonomi berfikir berbeza daripada doktor. Bagi mereka, dua campur
dua kadangkala boleh menjadi lebih daripada empat.
Setelah Amerika Syarikat muncul daripada Perang Dunia Kedua sebagai kuasa
tentera dan ekonomi dominan, dunia menerima dolarnya sebagai mata wang rasmi
bagi perdagangan antarabangsa dan juga sebagai mata wang rizab.
Perjanjian Bretton Woods (1) telah menetapkan nilai dolar pada kadar AS$35 bagi
setiap auns emas. Kemudian, semua negara menetapkan nilai mata wang mereka
berdasarkan nilai dolar yang pada asasnya bermakna nilai emas.
Ekonomi dunia selepas perang kembali pulih dalam jangka masa peraturan itu
dikuatkuasakan. Bagaimanapun, apabila pada 1971, Amerika keluar daripada
piawaian emas, umumnya bagi membiayai kos perbelanjaan Perang Vietnam yang
bertimbun, maka kedudukan mata wang dunia menjadi tidak stabil. Kuasa pasaran
kini menentukan kadar tukaran mata wang dan kebanyakannya “terapung” dalam
hubungan antara satu sama lain.
Bagi saya, tindakan ini merosakkan kedaulatan nasional dan menyebabkan negara
terdedah kepada kezaliman pasaran serta ketamakan manusia. Orang tamak tidak
akan peduli tentang kebajikan orang lain, dan pastinya juga tidak peka kepada
keperluan negara membangun. Mereka akan menjahanamkan mana-mana negara dan
memiskinkan penduduknya atas nama keuntungan.
Kita terpaksa menerima keadaan itu walaupun kita tahu mekanisme dan kuasa
pasaran boleh dimanipulasikan. Ia tidak mengambil masa yang lama bagi
spekulator untuk mula menyalahgunakan sistem berkenaan. Sebelum itu, mereka
telah mencipta kaedah jualan singkat komoditi dan saham. Kini, mereka mencipta
pula jualan singkat mata wang.
Mereka mengaut keuntungan besar dengan membuatkan negara muflis, terutama
negara membangun. Tindakan mereka ini jelas satu pembunuhan kewangan. Mereka
menubuhkan dana lindung nilai atau hedge fund dan mempelawa golongan kaya untuk
mencarum. Umumnya, pulangan yang diterima jauh lebih besar daripada pelaburan
lain, tetapi operasi dana itu tidak menghasilkan apa-apa yang boleh digunakan
oleh pasaran atau orang ramai.
Paling tidak pun tindakan yang boleh diambil adalah mengawal selia kegiatan
tersebut, tetapi masalahnya orang yang menuntut ketelusan bagi setiap urusniaga
dan rancangan orang lain itu sendiri yang membenarkan operasi dana diselubungi
misteri. Bukankah pelabur serius tidak akan sanggup mengambil risiko ke atas
wang mereka dalam kegiatan yang penuh rahsia?
Namun, pengendalian dana tersebut terus dibenarkan menjadi satu misteri.
Siapakah peniaga itu? Daripada manakah mereka memperoleh modal? Berapa banyak
mereka meminjam? Kepada siapa mereka menjualnya dan siapa yang membeli mata
wang yang mereka jual itu?
Kita tidak tahu jawapan kepada semua soalan ini. Dana itu boleh diniagakan
sehingga 20 kali ganda modalnya. Bagi pengurus tabung ini, perkara paling
penting dalam ekonomi adalah perluasan hutang yang jauh melebihi bekalan mata
wang sehingga tidak ada kaitan lagi antara kedua-duanya. Kesan operasi mereka
mengakibatkan kebinasaan.
Camdessus adalah orang Perancis, dan saya dengar beliau bersahabat dengan
Presiden Chirac. Jadi, disebabkan saya kenal baik dengan Chirac maka saya
menulis kepada beliau mengenai penjarahan oleh peniaga mata wang dan saya
meminta beliau bercakap dengan Camdessus agar membantu menghentikan kegiatan
itu.
Kemudian, sewaktu Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau Commonwealth
Heads of Government Meeting (CHOGM) di Edinburgh, Scotland pada 1997, saya
bertemu Tony Blair yang baru sahaja menjadi Perdana Menteri Britain bagi
membincangkan perkara itu. Saya menjelaskan dengan panjang lebar kesan mata
wang dan meminta beliau membawa perkara itu kepada IMF. Bagaimanapun, segala
usaha saya di peringkat itu tidak menghasilkan apa-apa.
Sebelum itu, Malaysia memperoleh sedikit pengalaman dalam perniagaan mata wang.
Kita mengambil bahagian dalam kegiatan itu bagi memastikan nilai rizab
antarabangsa kita tidak susut akibat naik turun nilai mata wang yang kita
simpan.
Ketika itu kita hanya berurusan dengan menggunakan mata wang negara-negara maju
sahaja. Seperti mana orang lain, kita juga membuat spekulasi, tetapi tidak
memanipulasi. Apa yang kita lakukan adalah memperincikan risiko yang kita
ambil, tetapi apabila salah satu spekulasi kita songsang, kita telah kehilangan
sejumlah besar wang. Selepas pengalaman itu, kita keluar daripada perniagaan
mata wang.
Pada September 1997, saya dijemput berucap pada mesyuarat tahunan Bank Dunia
dan IMF di Hong Kong. Saya mengambil kesempatan membelasah peniaga mata wang
dengan menuduh mereka telah memiskinkan lagi negara-negara yang sedia miskin di
dunia. Saya menyebut nama Soros sebagai salah seorang peniaga yang memanipulasi
mata wang negara-negara Asia Tenggara dan menggangu gugat pembangunan mereka.
Hari berikutnya, Anwar berucap pada mesyuarat yang sama. Ketika itu, saya sudah
berlepas ke Sabah dan beliau menelefon saya. Nada suaranya seperti orang marah.
Beliau memberitahu saya bahawa ucapan saya menyebabkan nilai ringgit bertambah
susut, cuma beliau tidak memberitahu saya agar jangan bercakap lagi. Namun,
saya terus mengkritik IMF dan peniaga mata wang.
Dalam satu perjumpaan di Santiago, Chile, saya mengulangi kutukan ke atas
mereka dan sekali lagi nilai ringgit jatuh. Perkembangan itu membuktikan kepada
saya bahawa peniaga mata wang adalah punca yang menekan turun nilai ringgit.
Ia tidak mungkin disebabkan oleh reaksi pasaran kerana tindak balasnya begitu
pantas. Ini juga bukan disebabkan persetujuan am pasaran, tetapi kerja beberapa
pemain utama yang mempunyai pengaruh besar terhadap pasaran. Dan atas alasan
mereka yang tersendiri, saya mendapati sesetengah orang sengaja cuba menyekat
saya daripada bercakap mengenai peniaga mata wang.
Di dalam negara, Anwar memulakan apa yang dikenali sebagai “penyelesaian IMF
tanpa IMF.” Pada dasarnya, kita tidak dilanda masalah ekonomi yang teruk. Kita
tidak perlu meminjam daripada IMF bagi melangsaikan hutang luar kerana kita
tidak banyak berhutang. Antara hutang yang ada masih belum sampai masanya untuk
dibayar balik. Hutang yang telah sampai masanya untuk dibayar balik pula sudah
pun kita langsaikan.
Namun, sama ada kita perlu meminjam daripada IMF atau tidak, Anwar berpendapat
bahawa Malaysia perlu menerima nasihat IMF. Beliau percaya bahawa untuk
mengekalkan keyakinan antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi kita, kita perlu
melakukan apa yang diberitahu oleh mereka dan menguruskan ekonomi kita mengikut
cara yang mereka kehendaki.
Anwar berpendapat yang ubat IMF adalah baik untuk kita dan akan membantu kita
pulih daripada penyakit antarabangsa walaupun kita sebenarnya belum lagi jatuh
sakit. Jadi, beliau menaikkan kadar faedah dan memotong perbelanjaan kerajaan.
Saya memberi amaran kepada Anwar yang tindakannya itu mungkin menyebabkan
kerajaan kehilangan hasil yang diperlukan bagi membayar gaji kakitangan awam.
Beliau juga cuba memendekkan tempoh ingkar pembayaran balik hutang daripada
enam bulan kepada tiga sebelum mengisytiharkannya sebagai hutang lapuk. Ini
sekaligus menaikkan nisbah hutang lapuk bank dan menyebabkan ramai peminjam
muflis. Perniagaan merosot. Penyakit yang kita cuba elakkan, muncul.
Ubat IMF gagal menghalang penyakit itu, sebaliknya menjadi punca penyakit.
Dalam pada itu pun, Anwar tetap meneruskan dasar pro-IMF beliau.
Ekonomi kita jelas menuju ke arah kemelesetan. Banyak syarikat muflis manakala
yang lain gagal melangsaikan hutang bank, lebih-lebih lagi selepas Anwar
memendekkan tempoh ingkar bayar hutang daripada enam bulan kepada tiga dan
menaikkan kadar faedah kepada 12 peratus.
Kita memutuskan supaya ditubuhkan sebuah badan operasi seperti Majlis Gerakan
Negara yang ditubuhkan untuk menangani kesan rusuhan kaum pada 1969. Bagi
mengurangkan perbalahan politik maka kita menjemput semua Ketua Menteri dan
Menteri Besar, termasuk daripada PAS untuk menganggotai sebuah badan yang kita
panggil Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) (2). Pemimpin kesatuan sekerja
dan perniagaan serta ketua badan pemikir juga diajak bersama.
Dengan itu, kita dapat menjelaskan kepada mereka masalah yang dihadapi oleh
negara dan mendengar pandangan mereka mengenai cara menanganinya. Bagaimanapun,
disebabkan bilangan ahli yang ramai maka Majlis itu tidak dapat bermesyuarat
lebih kerap. Jadi, saya memutuskan supaya diwujudkan sebuah panel penasihat
kecil untuk memantau perkembangan, di samping mencadangkan cara mengatasinya.
Ia perlu disokong oleh keseluruhan Kabinet walaupun hanya sebilangan Menteri
sahaja yang menganggotainya. Mujurlah Kabinet tidak mempersoalkan bidang kuasa
atau syarat-syarat penubuhan badan yang berpengaruh itu.
Anggota panel penasihat termasuklah Anwar; Datuk Mustapa Mohamed, iaitu seorang
ahli ekonomi yang dihormati dan kini berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Ketua
Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Setiausaha Kementerian
Kewangan, Tan Sri Samsuddin Hitam; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Fong
Weng Phak (entah apa sebabnya, Gabenor tidak pernah menghadiri mesyuarat kami);
Ketua Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman; Oh Siew Nam,
seorang eksekutif sektor swasta yang arif mengenai perbankan dan pasaran
kewangan serta Ketua Pengarah ISIS, Tan Sri Dr Noordin Sopiee.
Panel penasihat kecil itu bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga jam setiap pagi
di pejabat saya. Kami meneliti semua perangkaan mengenai ekonomi dan
mentauliahkan penyelidikan berhubung sebarang isu yang kami rasa mungkin
mempengaruhi prestasi ekonomi atau prospek negara.
Kami memanggil pakar bagi memberi penerangan dan membuat cadangan mengenai
perkembangan semasa. Kami mendengar banyak taklimat dan sering membuat
keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan.
Mujurlah kita tidak mengalami ketegangan sosial sewaktu krisis kewangan. Rakyat
Malaysia mungkin telah terjejas teruk akibat krisis tersebut, tetapi keganasan
bukanlah tindak balas mereka. Pada masa yang sama, kita sedang membuat
persiapan akhir bagi Sukan Komanwel yang akan diadakan pada tahun berikutnya, jadi,
kita tidak mampu untuk menghadapi sebarang bentuk ketidakstabilan.
Sambil menangani krisis itu, saya meneruskan tugas ke luar negara untuk
melaksanakan usaha ekonomi dan diplomatik. Saya berada di Buenos Aires,
Argentina apabila saya tiba-tiba teringat kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
yang mengetuai operasi perniagaan mata wang Bank Negara sewaktu kita mengalami
kerugian.
Saya ternampak beliau sedang berjalan-jalan di Kuala Lumpur sebelum saya
berlepas ke Buenos Aires. Wajah beliau muncul dalam fikiran saya dan saya
memutuskan yang beliau mungkin boleh memberi penjelasan mengenai perniagaan
mata wang serta mencadangkan cara untuk mengatasinya.
Urus niaga mata wang asing kita yang merugikan itu mungkin boleh menghasilkan
suatu kebaikan dan menyelamatkan kita pada saat-saat kita dikepung oleh peniaga
mata wang.
Perkara itu amat mendesak dan saya tidak boleh menunggu sehingga pulang ke
tanah air, lalu saya meminta pejabat saya mencari dan menerbangkan Nor Mohamed
ke Argentina. Tidak lama selepas itu, beliau dan saya duduk di dalam bilik
hotel saya dan beliau menjelaskan selok-belok perniagaan mata wang serta sebab
kita mengalami kerugian.
Saya bertanya, apakah pengajaran daripada pengalaman itu yang boleh kita
gunakan untuk mengatasi masalah yang sedang kita hadapi?
Beliau mencadangkan agar kita mengenal pasti beberapa buah institusi yang
memiliki sumber kewangan yang besar dan menubuhkan sebuah tabung khas untuk
membeli ringgit. Kita terima cadangan itu dan melaksanakannya.
Namun, sekali lagi kita tidak dapat melawan kekuatan peniaga mata wang. Mereka
boleh membuat spekulasi sehingga 20 kali ganda modal mereka dan kita mungkin
kehabisan rizab antarabangsa kalau kita cuba melawan mereka dengan cara itu.
Kita bukan berdepan dengan sebuah dana spekulasi mata wang, tetapi beberapa
buah.
Ternyata percubaan kita itu gagal. Saya tahu yang Nor Mohamed berpengetahuan
lalu memutuskan untuk melantik beliau menjadi Penasihat Kewangan saya dan salah
seorang anggota MTEN.
Kita mengajukan banyak soalan kepada beliau dalam usaha untuk memahami dan
mengawal perniagaan mata wang. Saya perlu memahami sedalam-dalamya mengenai
sistem perbankan dan kewangan, dan Nor Mohamed berjaya memperjelaskan semuanya.
Disebabkan kita tidak faham selok-beloknya maka kita telah memperkenalkan
langkah-langkah yang terbukti tidak berkesan. Pada satu peringkat, terlintas
dalam fikiran saya untuk menurunkan nilai ringgit dan menaikkan gaji bagi
mengimbangi kesan penyusutan nilainya.
Apabila saya membincangkan idea itu dengan beberapa orang kawan dan Menteri,
mereka berkeras mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan. Namun, saya terus
yakin mesti ada sesuatu yang boleh dilakukan secara sah oleh kerajaan bagi
menghentikan manipulasi mata wang kita. Sehingga saat itu, saya masih
beranggapan yang mata wang sebenar telah bertukar tangan dalam urus niaga
berkenaan.
Saya masih belum memahami perdagangan mata wang yang dijalankan dalam bentuk
abstrak dan maya serta bagaimana transaksi atas kertas yang bernilai
berbilion-bilion dolar boleh mengalir merentasi dunia dengan lebih pantas
berbanding kita membayar RM10 untuk membeli sayur di pasar.
Itulah sebabnya apabila kita diberitahu yang mata wang kita dibawa keluar, kita
menyangka orang yang terlibat benar-benar membawa wang kita ketika mereka
keluar dari Malaysia. Jadi, kita meminta pegawai kastam di pintu keluar supaya
memeriksa beg pengembara. Kita kehairanan kerana tidak ada wang tunai yang cuba
dibawa keluar.
Bagaimanapun, kita mendapati jumlah wang dalam edaran di Malaysia berkurangan
dengan begitu banyak dan berjuta-juta ringgit Malaysia telah mengalir ke
Singapura. Atas sebab itulah kita meminta kerajaan Singapura mendepositkan
sejumlah pegangan ringgit mereka ke dalam bank Malaysia.
Kita juga hairan bagaimana peniaga mata wang di luar Malaysia boleh memiliki
berbilion ringgit duit kita untuk dijual. Saya tertanya-tanya dari mana
penyerang mata wang antarabangsa itu memperoleh ringgit?
Mereka melakukan jualan singkat dengan mengikat kontrak untuk menyerahkan
ringgit yang sebenarnya tidak mereka miliki. Bagaimanapun lambat-laun mereka
perlu juga membuat penyerahan.
Saya bertanya kepada Nor Mohamed bagaimana sejumlah besar mata wang kita boleh
meninggalkan Malaysia tanpa dikesan dan bagaimana peniaga boleh membawa keluar
berbilion-bilion ringgit. Kita juga tidak mempunyai rekod pembelian ringgit
sebelum mereka mula memperdagangkannya sebagai satu komoditi dan dalam proses
itu merosakkan kestabilan kadar tukarannya.
Pada satu peringkat, saya membuat kesimpulan bahawa mereka tentu telah membeli
sejumlah besar ringgit sebelum memperdagangkannya di pasaran.
Nor Mohamed menjelaskan kepada MTEN bahawa sebenarnya tidak ada wang tunai yang
dipindahkan. Sejuta ringgit, walaupun dalam bentuk wang kertas RM100, sudah
cukup berat untuk diangkut. Jadi, tentulah mustahil untuk memindahkan ratusan
juta ringgit, apatah lagi berbilion ringgit. Lagipun, ringgit hanya sah
diperlakukan di Malaysia. Ia tidak boleh digunakan di luar negara.
Bank dan penukar wang di negara lain mungkin menerima ringgit untuk ditukarkan
dengan mata wang tempatan, tetapi jumlahnya kecil sahaja. Di penghujungnya,
mereka pasti memulangkan mata wang kertas itu kepada Malaysia untuk ditukarkan
dengan mata wang pilihan mereka. Bagaimanapun, ini jelas tidak berlaku. Kalau
berlaku pun, kita tentu dapat melihat barisan van perisai berulang-alik di
antara Singapura dan Malaysia.
Jadi, apakah mata wang yang diperdagangkan sebenarnya? Nor Mohamed menjelaskan
bahawa tidak ada wang yang terlibat secara fizikal. Sebaliknya wang sebenar ada
di dalam bank-bank Malaysia, kebanyakannya di dalam akaun pemilik wang itu.
Saya bertanya kepada kepada Nor Mohamed apa yang berlaku apabila wang itu
dijual atau dibeli. Menurut beliau, sejumlah kecil daripadanya mungkin
dimasukkan ke dalam bank atau diambil sebagai tunai. Namun, biasanya wang itu
dikreditkan ke dalam akaun penerima atau didebitkan daripada akaun pembayar.
Tidak ada transaksi wang tunai berlaku sama sekali. Jual beli dibuat di atas
kertas semata-mata. Yang berubah hanyalah angka-angka di dalam akaun bank.
Apabila ringgit didagangkan, tidak ada wang yang menyeberangi sempadan. Dalam
erti kata lain, tidak ada wang yang keluar dari Malaysia ataupun masuk ke dalam
Malaysia secara fizikal. Proses itu mungkin rumit sedikit bagi dagangan yang
melibatkan akaun mata wang asing di bank-bank asing. Begitu pun, ringgit yang
diperdagangkan tidak akan sama sekali meninggalkan Malaysia.
Saya sedar bahawa itu mestilah caranya. Jadi, kita meminta Bank Negara menarik
balik wang kertas bernilai RM500 dan RM1,000 bagi menyekat orang ramai
menyeludup keluar wang. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku selama ini
adalah ringgit Malaysia yang diperdagangkan itu kekal di dalam akaun orang
asing di bank-bank Malaysia. Disebabkan wang itu dimiliki oleh orang asing,
maka kita tidak boleh menggunakannya.
Ini adalah sesuatu yang baru kepada saya. Saya bukan seorang ahli perbankan dan
urusan saya dengan bank juga terhad. Saya selalu membuat pembayaran menggunakan
cek tanpa memikirkan bagaimana angka di dalam akaun saya berubah. Transaksi
saya umumnya kecil dan diuruskan oleh pembantu peribadi saya.
Saya mula berasa gerun apabila menyedari yang saya telah membelanjakan begitu
banyak wang negara tanpa mengetahui apa-apa mengenai operasi bank. Namun, sejak
mempelajari bahawa ringgit yang diperdagangkan itu tidak pernah keluar dari
Malaysia secara fizikal dan jual belinya hanya membabitkan pemindahan hak milik
daripada satu akuan kepada akaun yang lain di dalam bank, maka saya mula
berfikir bagaimana kerajaan boleh menggunakan kuasa kawalan Bank Negara ke atas
bank-bank di Malaysia untuk menghentikan perniagaan mata wang.
Saya yakin ramai rakan-rakan saya di dalam MTEN tahu bahawa sistem kewangan
mewujudkan lebih banyak kredit berbanding mata wang yang dikeluarkan oleh bank
pusat. Bagaimanapun, mereka tidak nampak bagaimana maklumat itu mungkin boleh
membantu mewujudkan kawalan rasmi ke atas perdagangan mata wang. Mungkin ada
baiknya juga kejahilan saya mengenai sistem kewangan sebelum ini kerana ia
memberi saya peluang untuk melihat dengan persepktif baru tentang bagaimana
boleh menggagalkan peniaga mata wang.
Saya bertanya Nor Mohamed sama ada kerajaan boleh mengarahkan bank agar tidak
memindahkan hak milik apabila peniaga mata wang membeli dan menjual ringgit.
Beliau menjawab, boleh. Saya pun memikirkan kemungkinan untuk melaksanakannya.
Serentak itu, Tun Daim, Nor Mohamed dan ahli-ahli perbankan di dalam MTEN mula
membincangkan kemungkinan menyekat peniaga mata wang daripada memperoleh
ringgit. Pada masa yang sama, kita perlu menghentikan jual beli saham syarikat
Malaysia melalui Central Limit Order Book (CLOB) di Singapura atau apa yang
disebut sebagai dagangan “atas kaunter.”
Ia diwujudkan oleh Singapura untuk meneruskan kegiatan jual beli saham-saham
Malaysia selepas kita memisahkan bursa saham kita daripada bursa saham
Singapura pada 1989. Urus niaga CLOB menyebabkan harga saham kita merosot
terus-menerus.
Indeks Komposit kita, iaitu Kuala Lumpur Composite Index (KLCI) berada di
sekitar 1,200 mata apabila serangan ke atas ringgit bermula. Bagi mengelakkan
kehilangan wang yang dilaburkan di Malaysia, maka pelabur asing berpusu-pusu
keluar dengan menjual saham milik mereka dan menukar ringgit yang mereka
peroleh kepada dolar Amerika atau mata wang lain.
Penjualan ini menyebabkan kejatuhan harga saham kita menjadi lebih teruk. Pada
satu peringkat, ia jatuh sehingga di bawah 300 mata. Modal pasaran saham yang
disenaraikan di bursa saham kita tinggal satu perempat sahaja daripada nilai
sebelum krisis.
Kita mendapati bahawa saham yang diniagakan melalui CLOB telah didaftarkan atas
nama syarikat-syarikat pemegang amanah. Amalan ini sah dari segi undang-undang,
tetapi apabila saham itu dijual dalam lingkungan syarikat pemegang amanah maka
pemilikannya tidak berubah; ia kekal dalam tangan syarikat pemegang amanah
terbabit. Atas dasar itu maka jual-beli tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada
Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Yang menjadi masalah adalah penjualan berterusan saham-saham itu menyebabkan
harganya jatuh. BSKL tidak dapat berbuat apa-apa mengenai kegiatan CLOB.
Transaksi saham-saham Malaysia di CLOB tidak perlu didaftarkan dengan BSKL
selagi ia kekal sebagai urusan atas kertas oleh syarikat pemegang amanah yang
sama.
Kita perlu menghentikan amalan itu dan memutuskan bahawa tidak ada jual-beli
akan diiktiraf kecuali pemilik sebenar mendaftar dengan BSKL. Kegagalan mereka
berbuat demikian boleh menyebabkan transaksi berkenaan tidak diiktiraf dan
saham yang terlibat, dari segi undang-undang akan dianggap sebagai hak milik
penjual.
Sebaik sahaja kita mengenakan syarat itu, saham-saham tidak mungkin boleh
diniagakan lagi di CLOB tanpa mendaftarkannya dengan BSKL. Tiada siapa akan
membeli kalau saham itu tidak menjadi milik mereka dari segi undang-undang. Ini
memaksa pemilik sebenar untuk mendaftar urus niaga mereka dengan BSKL sebagai
syarat untuk mendapatkan pengiktirafan.
Tindakan kita itu berjaya menamatkan peranan syarikat pemegang amanah sebagai
orang depan dalam perdagangan CLOB. Semua pemilik perlu mendaftar dengan BSKL.
CLOB tidak lagi berperanan menjual-beli saham Malaysia. Ia terpaksa ditutup.
Sementara itu, kita juga memutuskan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika
– satu langkah yang pastinya menimbulkan kontroversi. Bagaimanapun, kita perlu
menentukan kadar tukaran ringgit sebaik sahaja selepas mengarahkan bank agar
tidak memindahkan wang akaun mereka dalam sebarang transaksi.
Kita juga perlu menyediakan rizab mata wang asing, terutama dolar Amerika yang
mencukupi dalam bank tempatan dan di Bank Negara sekiranya diperlukan oleh
pedagang bagi membayar import mereka. Dan sudah tentulah kita perlu menjamin
bekalan ringgit yang mencukupi di bank untuk ditukarkan dengan mata wang asing
pada kadar yang kita tetapkan.
Kita sentiasa mendesak agar pendapatan penjualan barangan buatan Malaysia
kepada pembeli asing dibawa balik dan didepositkan di dalam bank Malaysia.
Sesetengah negara membangun seperti Argentina membenarkan pendapatan eksport
disimpan di luar negara.
Dalam kes negara pengeluar minyak Timur Tengah pula, sebahagian mereka tidak
pernah membawa pulang perolehan eksport minyak mereka. sebaliknya, mereka
membiarkan pendapatan eksport minyak mereka yang sering disebut sebagai
“petrodollar”, mengelilingi dunia mencari pelaburan yang paling menguntungkan.
Bagi kita pula, kalau kita benarkan hal ini berlaku maka ia akan mengakibatkan
pengaliran keluar yang berterusan pendapatan eksport negara. Kalau kita tidak
dapat menggunakan tukaran asing hasil eksport kita, maka kita tidak akan dapat
membayar kos import atau melunaskan hutang.
Kesan daripada amalan membawa balik pendapatan eksport itu menyebabkan Malaysia
sentiasa mempunyai rizab mata wang asing yang mencukupi untuk digunakan oleh
pengimport bagi membeli barangan dan perkhidmatan asing. Apabila kerajaan
menetapkan kadar tukaran, ia harus menjamin bekalan mata wang asing yang
mencukupi untuk membayar kos import utama pada kadar yang ditetapkan itu.
Kita mungkin boleh memperkayakan diri kita dengan mengukuhkan ringgit kepada
paras sebelum krisis, iaitu RM2.50 bagi satu dolar Amerika memandangkan pada
masa itu ringgit sudah mula pulih perlahan-lahan. Pada kadar paling rendah,
nilai ringgit susut kepada hampir RM5 bagi setiap dolar Amerika. Ia kemudian
berkisar sekitar RM3.80 dan RM4.
Kalau ringgit terlalu kukuh pula kerana kita menetapkan kadar tukaran yang amat
tinggi maka produk Malaysia tidak dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa
dengan produk yang serupa dari Thailand, Filipina dan Indonesia. Kita perlu
menetapkan kadar tukaran yang tidak terlalu memiskinkan kita dan pada masa yang
sama menjamin persaingan produk keluaran kita. Oleh itu, kita memutuskan kadar
RM3.80 bagi satu dolar Amerika.
Kita merahsiakan perkara itu, tetapi kita mahu Bank Negara dan BSKL
melaksanakannya. Kerajaan perlu menyelia pelaksanaan rancangan itu hampir
setiap minit.
Apabila kita mula melaksanakannya, kita tidak pasti sama ada kawalan itu akan
memberi sebarang kesan atau tidak. Kita pun tidak tahu sama ada keputusan
mengenai pendaftaran wajib jual-beli saham CLOB boleh dilaksanakan atau
terbukti tidak praktikal.
Perlu ditegaskan bahawa sewaktu kita mengambil keputusan tersebut di dalam
MTEN, Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau
tidak membantah rancangan untuk menyekat kegiatan peniaga mata wang dan
mengawal urus niaga CLOB.
Dr Noordin Sopiee tampil dengan lebih 30 sebab mengapa kita tidak harus
melaksanakan semua rancangan itu. Tidak semestinya beliau tidak bersetuju
dengan hujah itu, tetapi beliau mengemukakannya bagi mencabar pemikiran kita.
Saya terpaksa berhujah mematikan setiap bantahan yang beliau kemukakan. Ahli
MTEN yang lain menunjukkan tahap sokongan berbeza-beza, dengan sesetengahnya
mengatakan bahawa langkah yang kita cadangkan itu tidak pernah dilakukan oleh
sesiapa pun sebelum ini.
Memang betul ia berisiko, termasuklah kemungkinan keutuhan mutlak mata wang
ringgit. Pasaran gelap mungkin muncul bagi menjual ringgit dengan harga yang
lebih murah daripada kadar yang kita tetapkan. Kewangan dan ekonomi negara
mungkin menjunam dan tidak boleh dikawal lagi.
Kita sama sekali tidak boleh menjangka apa yang akan terjadi. Bagaimanapun,
hujah yang mengatakan kita tidak patut melakukannya kerana ia belum pernah
dilakukan oleh sesiapa sebelum ini mungkin sesuai bagi orang yang penakut dan
berfikiran kolot. Pendirian itu pastinya tidak sesuai bagi seorang yang
bertanggungjawab kepada negara dalam menghadapi saat kesukaran yang tidak
pernah dialami sebelum ini.
Ada orang membangkitkan bahawa wujud keadaan di mana penduduk di kebanyakan
negara membangun enggan dibayar dalam mata wang tempatan, sebaliknya mereka
mendesak agar dibayar dengan dolar Amerika. Ringgit juga mungkin ditolak
sebagai bayaran. Jika ini berlaku maka nilainya tidak lebih tinggi daripada
harga kertas yang diguna untuk mencetaknya.
Saya mendapat tahu kemudian bahawa setengah ahli MTEN telah memberitahu
beberapa orang Menteri Besar supaya menghalang saya daripada meneruskan langkah
yang dirancang. Malangnya, mereka tidak bersedia untuk berdepan dengan saya
bagi berbahas mengenai perdagangan mata wang dan CLOB kerana mereka tidak
memahaminya.
Malah, pemahaman mereka juga sangat kurang mengenai betapa kompleksnya langkah
yang sedang kami rancang dan risikonya. Kalau pun ada antara mereka mempunyai
keraguan yang berasas, mereka tidak berkebolehan untuk menyatakan pandangan
mereka.
Keadaan itu memberikan kelebihan kepada saya. Saya berasa lega dengan keputusan
yang diambil, tetapi itu bukan bermakna saya tidak bimbang dengan kemungkinan
rancangan kita akan membawa bencana kepada negara.
Saya berasa gerun mengambil tindakan yang bertentangan dengan kebijaksanaan
konvensional serta bercanggah dengan pendapat pakar, termasuk daripada IMF dan
Bank Dunia.
Strategi kita tidak syak lagi bercanggah dengan pendapat umum yang dilabelkan
oleh pengkritik ekonomi sebagai “contrarian”. Ia bertentangan dengan amalan
konvensional dan kalau ekonomi kita runtuh akibat daripadanya maka tidak ada
sesiapa pun yang akan menolong kita. Saya sendiri mungkin terpaksa berundur
dalam keaiban – sesuatu yang amat saya takuti.
Bagaimanapun, saya lebih takut kepada kemungkinan kita akan hilang kawalan ke
atas negara kita sendiri seperti kerajaan Indonesia yang hilang kuasa kepada
IMF. Saya amat tidak suka melihat gambar Camdessus berdiri berpeluk tubuh
bersebelahan Presiden Suharto ketika menyaksikan pemimpin Indonesia itu
menandatangani perjanjian dengan IMF.
Camdessus kelihatan begitu puas dan sinis menyaksikan Presiden Suharto
melepaskan kawalan ke atas ekonomi Indonesia yang berupa asas kedaulatan negara
itu – kedaulatan yang diperjuangkan dengan begitu gigih dan berani menentang
Belanda pada 1940-an.
Saya tentunya tidak mahu Malaysia menderita nasib yang sama. Kita telah cuba
memujuk Indonesia agar tidak menyerah kepada IMF.
Menteri Kewangan Indonesia ketika itu, Marie Muhammad berhubung rapat dengan
Anwar yang mengatakan beliau ada meminta Marie supaya menasihatkan Suharto agar
tidak menurunkan tandatangan.
Saya diberitahu bahawa menjelang waktu itu. Presiden Suharto sudah tidak boleh
tidur. Seramai kira-kira 40 juta rakyat Indonesia telah hilang pekerjaan.
Rupiah sudah runtuh. Nilainya merudum daripada 2,000 bagi setiap satu dolar
Amerika kepada 16,000.
Rusuhan tercetus di ibu negara, Jakarta. Kedai dibakar dan ramai yang terbunuh.
Rakyat peribumi Indonesia menyalahkan krisis itu kepada orang Cina Indonesia.
Mereka tidak menganggap Amerika dan penguasaannya ke atas IMF sebagai pihak
yang bertanggungjawab terhadap krisis mata wang.
Apabila IMF mengambil alih kawalan ke atas kewangan Indonesia, langkah yang
mereka paksakan terhadap Indonesia seperti menghentikan subsidi makanan dan
minyak telah memburukkan lagi penderitaan rakyat dan lebih banyak rusuhan
berlaku.
Thailand dan Filipina yang turut menyerah kepada IMF juga menerima nasib
serupa. Hanya Korea Selatan berjaya melakukan pemulihan ketara selepas menyerah
kepada IMF.
Saya tidak sedikit pun yakin terhadap kaedah penyelesaian IMF yang dipaksakan
oleh Anwar ke atas negara. Menteri-menteri mula mengadu bahawa mereka tidak ada
peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan. Semua faedah dan keistimewaan
dikurangkan dan langkah jimat cermat mula memberi kesan negatif.
Anwar mahu melihat lebihan belanjawan di mana pendapatan mengatasi
perbelanjaan, tetapi mustahil boleh dicapai memandangkan kemerosotan kuasa membeli
mata wang ringgit. Jadi, beliau mengurangkan peruntukan belanjawan sebanyak 25
peratus. Kalau kita terus mengurangkan belanjawan maka akan tiba masanya nanti
kita kehabisan wang di dalam Perbendaharaan. Kemelesetan ekonomi akan menjadi
lebih teruk dan kita mungkin terpaksa menyerahkan kedaulatan ekonomi kita
kepada pihak luar.
Saya berazam untuk meneruskan pelaksanaan strategi penyelesaian yang telah
dipersetujui. Kemudian pada saat akhir, Anwar menelefon saya untuk memberitahu
yang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Timbalannya, Fong Weng
Phak telah menghantar surat peletakan jawatan. Saya terkejut, tetapi tetap
bertekad mahu melaksanakan langkah yang telah diputuskan.
Saya meminta pegawai ketiga paling kanan di Bank Negara supaya datang menemui
saya. Pada masa itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah Penolong Gabenor yang
bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi, operasi luar dan pasaran mata wang
serta kawalan tukaran asing .(3)
Saya kenal beliau, tetapi tidaklah rapat. Kita kesuntukan masa untuk mencari
Gabenor baru, jadi saya serta-merta melantik beliau menjadi Pemangku Gabenor.
Beliau datang ke kediaman saya dan saya jelaskan kepadanya apa yang sedang
berlaku serta apa yang harus beliau lakukan.
Mujurlah beliau seorang yang berkebolehan dan memberikan sepenuh kerjasama.
Menurutnya, beliau akan menghubungi bank dan menghentikan semua pemindahan
besar wang yang terbabit dalam perdagangan mata wang. Dalam pada itu, beliau
juga akan memastikan pembayaran untuk transaksi perniagaan biasa diteruskan.
Pada 1 September 1998, Zeti secara rasmi mengumumkan pelaksanaan kawalan mata
wang dan ikatan ringgit kepada dolar Amerika. Beliau memberitahu media massa:
“Kita perlu bertindak bersendirian memandangkan masyarakat antarabangsa telah
gagal mengemukakan sebarang penyelesaian yang bermakna kepada keadaan huru-hara
kewangan global. Sebaik-baiknya dunia patut bertindak seiringan dan bukannya
memaksa negara bertindak sendirian.”
Zeti yang kemudiannya dilantik menjadi Gabenor telah dijemput untuk menyertai
MTEN. Beliau memberi maklum balas yang baik mengenai keadaan semasa pasaran dan
pergerakan ringgit. Sejak menjadi Gabenor, Zeti telah memenangi beberapa
anugerah antarabangsa kerana kepemimpinannya di Bank Pusat.
Antara perkembangan lain yang diperhatikan adalah kemungkinan munculnya pasaran
gelap mata wang ringgit. Kita memantau harga barang bagi memastikan tidak ada
pihak cuba membuat keuntungan berlebihan. Kita memastikan bekalan semua barang
keperluan utama adalah mencukupi.
Mesyuarat harian MTEN diteruskan. Bank disyaratkan supaya mendepositkan semua
tukaran asing yang mereka terima di Bank Negara. Dengan itu, kita tidak pernah
kekurangan mata wang asing untuk dijual kepada pengimport tulen. Ikatan ringgit
kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar telah dikuatkuasakan
dengan begitu tegas sekali dan ini terbukti baik bagi pengimport serta
pengeksport.
Kalangan ahli perniagaan gembira menerima ringgit pada kadar RM3.80 setiap kali
mereka menukar dolar Amerika atau mata wang lain. Mereka juga selesa dengan
jaminan bahawa kita akan mengekalkan kadar tukaran sehinggalah keadaan menjadi
stabil semula. Mereka kini boleh merangka belanjawan untuk sepanjang tahun
tanpa perlu membabitkan diri dalam kegiatan melindungi nilai ringgit. Ini secara
langsung mengurangkan kos menjalankan perniagaan.
Tindakan mensyaratkan pemilik saham mendaftar dengan BSKL dan menghentikan
penjualan saham Malaysia yang dipegang oleh syarikat pemegang amanah juga telah
membantu menyekat kejatuhan harga di BSKL. Dalam jangka masa singkat, indeks
komposit BSKL yang jatuh di bawah 300 mata telah naik semula kepada lebih 800
mata.
Jumlah hutang lapuk turut berkurangan selepas tempoh gagal bayar dinaikkan
semula kepada enam bulan dan ekonomi mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Sewaktu krisis, kita memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan masalah
yang tercetus. Misalnya, apabila jualan hartanah membeku maka kita menganjurkan
kempen pemilikan rumah yang menggabungkan pemaju, pembeli, pembiaya, pegawai
kerajaan dan peguam. Pada pameran promosi pertama, kira-kira RM3 bilion
hartanah dijual.
Bagi menggerakkan semula industri pembinaan maka kita memutuskan supaya dibina
40,000 unit pangsapuri untuk menempatkan penghuni setinggan. Memandangkan
jualan runcit tidak berkembang mengikut keadaan yang sepatutnya maka kita
menyediakan tempat pameran untuk peruncit dan di mana perlu, kita membantu
mereka merundingkan bekalan pada harga yang lebih murah.
Di samping itu, kita meneliti laporan penggunaan elektrik, pergerakan kargo dan
kontena di pelabuhan, ketibaan pelancong, penumpang kapal terbang, pendaftaran
kenderaan baru dan banyak lagi. Jadi kita tahu secara terperinci prestasi
ekonomi dan sering mencari jalan untuk merangsangnya.
MTEN memberi perhatian utama kepada operasi Pengurusan Danaharta Nasional Bhd,
Danamodal Nasional Bhd dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat yang
semuanya ditubuhkan untuk menangani masalah hutang lapuk serta permodalan
semula bank.
Kita tidak membenarkan penjualan serta-merta saham yang diperoleh melalui CLOB
kerana ini akan menyebabkan kejatuhan harga semua saham. Pemilik saham juga
perlu mendaftar terlebih dahulu dengan BSKL. Kemudian kita menubuhkan pula
sebuah syarikat khas untuk membeli saham berkenaan, memantau kepulangannya dan
akhir sekali menjualnya secara beransur-ansur supaya tidak mengganggu harga
saham di BSKL.
Pada mulanya, pemilik saham CLOB itu tidak begitu gembira. Namun, hasil
pemulihan pesat BSKL menyebabkan harga saham naik 200 peratus sewaktu syarikat
khas yang kita tubuhkan itu mula membeli saham-saham CLOB.
Jadi, mereka terselamat daripada mengalami kerugian besar kewangan yang amat
mereka takuti. Mereka juga menunggu seketika sebelum menjual saham mereka dan
memperoleh keuntungan besar. Syarikat khas berkenaan turut membuat keuntungan
dan kerajaan mendapat balik modalnya yang diberikan dalam usaha menyelamat yang
berani.
Dunia mengutuk kawalan mata wang yang kita lakukan dan ramai ahli ekonomi
berkata bahawa ia tidak selari dengan sistem perdagangan terbuka. Pakar-pakar
meramalkan kemusnahan Malaysia dan dengan gembira menunggu kepulangan kita ke
pasaran dunia sebagai pengemis.
Kita bagaimanapun tidak gentar. Kita percaya yang kita telah menemui jawapan
tepat kepada penjarahan negara kecil oleh peniaga mata wang. Cara kita mungkin
tidak konvensional, tetapi berkesan.
Biarlah orang lain mempertahankan doktrin ekonomi, tetapi bagi kita, yang lebih
utama adalah menyelamatkan negara dan diri kita. Akhirnya, kita pulih dengan
lebih cepat daripada semua negara yang menerima pinjaman IMF, sama ada secara
sukarela atau kerana tekanan. Negara-negara itu telah menyerah diri kepada
langkah penyelesaian yang sama untuk semua.
Peniaga mata wang menghentikan operasi mereka. bahkan IMF pun akhirnya mengakui
yang cara kita berkesan walaupun mereka tidak memperakukannya kepada negara
lain. Pakar ekonomi dan pemenang Hadia Nobel, Joseph Stiglitz menyokong
pandangan kita.(4)
Malah, Soros turut mengakui bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang betul
dengan tidak menyerah kepada IMF.
Dasar yang kita laksanakan berkesan untuk negara kita, tetapi tidak banyak
negara membangun berada dalam keadaan yang serupa dengan kita. Ia berkesan bagi
kita kerana selain keazaman politik dan kepakaran merangka dasar yang
praktikal, kita juga mempunyai simpanan mata wang asing yang banyak di Bank
Negara untuk digunakan bagi melindungi kedaulatan ekonomi kita. Selain itu,
kita mempunyai simpanan yang besar hasil pengurusan ekonomi yang
bertanggungjawab selama ini.
Kejayaan kita menyekat kemaraan peniaga mata wang dan menolak campur tangan IMF
bukanlah semata-mata kerana tindakan tegas kita pada masa itu. Ia sebaliknya
berpaksikan kepemimpinan ekonomi yang mantap oleh kerajaan dan ketetapan dasar
yang dilaksanakan, khususnya dalam dekad 70-an dan 80-an.
Bagaimanapun, krisis mata wang bukanlah satu-satunya masalah yang terpaksa kita
tangani. Sehari selepas Zeti mengumumkan kawalan terhad mata wang, masalah saya
dengan Anwar meletus.
(1) Perwakilan daripada 44 buah negara bertemu tidak lama sebelum Perang Dunia
II untuk berbincang bagaimana memulihkan semula ekonomi dunia.
(2) MTEN ditubuhkan pada 7 Januari 1998 untuk menasihat kerajaan berhubung
isu-isu yang berkaitan dengan krisis kewangan.
(3) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah satu-satunya Gabenor wanita Bank Pusat
di Asia. Beliau adalah anak kepada Profesor Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid, pakar
Ekonomi Melaya negara yang pertama dan bekas Dekan Fakulti Ekonomi Universiti
Malaya. Beliau juga adalah cucu saudara Datuk Onn Jaafar, Pengasas UMNO.
(4) Buku beliau, Globalisation and its Discontents mengkritik cara IMF
menangani krisis kewangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan