Khamis, 14 November 2013

“Jangan memandang rendah pada mereka, mereka lagi hebat berbanding kita!”

by Cik Amy, 15 Nov 2013


Hari ini seperti hari kebiasaannya di tempat kerja, tugas saya dengan membuat tinjauan di sekitar ladang ternakan ikan Talapia adalah kelaziman. Seronok melayan benda hidup ini. Bertambah seronok apabila melihat kejayaan kita membesarkan benda hidup ini. Sama juga seperti bercucuk tanam, mana tidak gembiranya jika tanaman kita memberi hasil dan sekaligus memberi kita kepuasan. Tetapi syaratnya kena la monitor  hari-hari agar tanaman dan ternakan kita bercambah dan membesar dengan baik. 

Di ladang ternakan ikan ini, ada satu pasangan warga Indonesia yang bekerja. Puna dan isterinya, Ratna. Ratna umurnya 27 tahun, manakala Puna mungkin dalam lingkungan 30 tahun. Datangnya dari Jawa Barat. Pasangan ini la yang dipertanggungjawabkan menjaga ikan yang diternak di dalam tangki besar dan kolam berhampiran. Sayang sekali, pekerjaan yang sepatutnya diisi oleh para graduan diambil alih oleh mereka yang sanggup terbang jauh demi mencari rezeki. Gaji mereka ini boleh tahan, juga, dalam RM1200 sebulan. Sudah melebihi gaji minimum. Kerja yang dilakukan tidak la banyak. Rutin harian hanya memberi makan ikan, memindahkan ikan untuk breeding sahaja. Lain-lain kerja perlu dicari sendiri. Jika ada yang perlu dibaiki, dibersih dan dipindah, maka mereka ini buat saja tanpa arahan diberikan. Saya amat kagum sebenarnya dengan pasangan ini, para graduan yang masih tidak bekerja di luar sana patut malu, malu kerana pasangan ini sudahpun menjana RM1200 sebulan sedangkan graduan menganggur ini tidak memperolehi apa-apa. Pengalaman dan pengatahuan tidak usah cakap la, tidak akan mereka perolehi kalau setakat berada di dalam rumah sahaja. 

Waktu rehat tengahari, kelihatan pasangan warga Indonesia ini berehat-rehat di beranda. Jadi saya pun menghampiri mereka dan duduk di atas beranda dengan niat mahu hilangkan lenguh kaki selepas berjalan sana sini buat tinjauan. Pada awalnya, kelihatan pasangan ini seperti tidak selesa dengan kehadiran saya, mereka ini sebenarnya berasa malu dan rendah diri. Kita pula kebiasaannya memandang rendah kepada pekerja asing ini. Hanya menganggap mereka ini pekerja kita saja dan tidak pernah mahu berbual-bual dengan mereka umpama seorang kawan. Maklum la, tidak setaraf katanya. Memang betul lah, kita tidak setaraf dengan mereka. Mereka ini dah banyak negara mereka pergi. Taiwan, Korea, Dubai, Australia dan banyak lagi negara maju lain mereka terokai. Orang-orang kita ada? Setakat berada dalam Malaysia ini boleh la.  

Bagi mencipta suasana santai, saya mula berbual-bual dengan mereka dengan bertanyakan samaada mereka suka bekerja di ladang ini atau tidak, makan minum dan tempat tinggal ok atau tidak dan terus melarat perihal pekerjaan yang mereka lakukan sebelum bekerja di ladang ini. Mereka menjawab apa yang saya tanya, siap huraikan lagi panjang lebar. Nampak seperti mereka sudah selesa dengan saya. Ratna, isteri Puna yang sanggup menemani suaminya bekerja di Malaysia pada asalnya merupakan pekerja asing di Taiwan, sebagai ‘sistar’ katanya ataupun dalam bahasa mudah kita sebagai penjaga. Ceritanya lagi, sebelum ‘melancong’ ke Taiwan, dia bekerja di Dubai selama 2 tahun. Satu tempoh yang agak lama juga. Kemudiannya balik ke Indonesia dan terus ke Taiwan pula untuk bekerja selama 2 tahun. Mendengar ceritanya,  saya bertambah kagum dengan wanita muda ini. Pandai pula bercakap bahasa Mandarin dan Arab. Ada satu masa, majikannya dari Taiwan menelefon dia dan mereka berbual-bual dalam bahasa mandarin. Wah hebat bukan, baru 2 tahun berada di Taiwan, sudah lancar menguasai bahasa di sana. Para graduan yang menganggur tidak berasa malu kah? Saya menyentuh perihal graduan menganggur ni kerana mahu mereka terasa. Cukup la mencipta banyak alasan dengan mengatakan Malaysia tiada pekerjaan, kerja tidak setaraf dengan kelulusan mereka ditawarkan, gaji tidak lumayan dan seribu satu lagi alasan bagi ‘menyedapkan’ hati masing-masing. Sebenarnya yang paling lumayan adalah pengalaman dan pengetahuan diperolehi melalui pekerjaan. Seperti Ratna, dia mempunyai banyak pengalaman berada di negara orang dan menguasai banyak bahasa. Kalau mereka yang ‘tidak setaraf’ dengan kita ni boleh terbang ke banyak negara, kenapa para graduan yang masih tidak mempunyai pekerjaan tidak boleh terbang ke sana juga? 

Alasan tiada pekerjaan di Malaysia ini tidak boleh diterima sama sekali. Selagi wujudnya warga asing di negara kita, tiada istilah ‘tiada kerja’ sama sekali. Yang menggunakan istilah tersebut sebenarnya tidak mahu mengakui ketidakmampuan atau kelemahan mereka untuk masuk ke dalam pasaran kerja yang berlambak di luar sana. Golongan ini terlalu memilih. Malah ada diantara mereka yang boleh saja mendapat pekerjaan tetapi menolaknya kerana tidak mahu bekerja bersama-sama warga asing! Tidak setaraf dan malu katanya tetapi tidak pula berasa malu bila tidak bekerja dan ‘melepak’ di rumah sahaja sambil menunggu orang datang menawarkan kerja. Bila ada yang tawarkan kerja memotong rumput, tidak mahu pula, tidak boleh kena panas dan bimbang jiran-jiran akan nampak katanya! Kalau ada pertandingan pemberi alasan paling banyak, golongan ini la akan jadi juara. 

Secara keseluruhannya, mereka ini warga asing yang berhijrah ke banyak tempat lagi hebat berbanding kita. Bukannya hebat berdasarkan kekayaan harta benda, tetapi mereka lagi hebat dari segi ketahanan minda, fizikal, penguasaan pengalaman dan banyak lagi aspek yang kita tidak ada tetapi mereka ada dan berjaya tempuhinya. Saya sama sekali tidak akan memandang rendah kepada pekerja asing ini. Pada saya, mereka mempunyai ketabahan yang tinggi dan nekad dalam melakukan sesuatu. Mereka ini sanggup meninggalkan keluarga dan ibu bapa demi mencari duit untuk teruskan hidup. Sekurang-kurangnya mereka berpeluang merasa berada di negara orang, mempelajari bahasa dan melihat cara hidup di negara lain. Saya pasti, bekas graduan yang ‘bertaraf tinggi’ pun tiada peluang merasa berada di luar negara. Jika hutang PTPTN pun tidak mampu bayar, ini kan mahu melancong ke luar negara. Apa yang kita nampak sekarang adalah perihal tidak baik mengenai warga asing ini. Tetapi jangan la kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Seperti pasangan yang saya temui ini, mereka berdua ini saya lihat sangat baik dan taat pada agama. Malah saya pula yang berasa malu kerana tidak menguasai bahasa luar seperti Mandarin dan Arab. Mujur saya bertemu Ratna dan boleh la suruh dia ajarkan saya bahasa Mandarin dan Arab.


Falsafah pemikiran politik Dr. Mahathir Mohamad

Bahagian 1

Latar belakang dan pembentukan pemikiran Dr. Mahathir

Dr. Mahathir Mohamad dilahirkan pada tanggal 20 Disember 1925 di Alor Setar dan merupakan anak bongsu daripada sepuluh orang adik-beradik. Ibu bapa beliau adalah tergolong daripada golongan kelas menengah ketika itu. Ibunya bernama Wan Tempawan manakala bapanya pula bernama Mohamad bin Iskandar. Bapa Dr. Mahathir adalah bekas seorang guru sekolah dan pengaudit kerajaan yang telah menguruskan keluarganya secara konservatif melalui disiplin dan ketegasan dalam usaha memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.

Dr. Mahathir mendapat pendidikan yang baik ketika di awal persekolahannya. Beliau menuntut di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Government English School di Alor Setar. Setelah beliau memperolehi Senior Cambridge Certificate, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine di Singapura. Ketika menuntut di dalam bidang perubatan, Dr. Mahathir banyak mengasah bakatnya sebagai pemimpin dalam memimpin beberapa persatuan, menyertai beberapa forum, dan sesi-sesi perdebatan serta mengasah bakat sebagai penulis dengan menggunakan nama gelaran ‘C.H.E. Det’2. Ketika menuntut di Singapura, beliau telah berkenalan dengan isterinya iaitu Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang kemudiannya bersama-sama membesarkan tujuh orang anak hasil perkongsian hidup mereka (dua daripadanya adalah anak angkat).

Setelah menamatkan pengajian beliau di Singapura, Dr. Mahathir pulang dan berkhidmat sebagai doktor di dalam sektor kerajaan. Oleh kerana bekerja di sektor kerajaan telah membataskan minat beliau untuk berkecimpung di dalam politik, beliau telah meninggalkan sektor kerajaan dengan membuka klinik persendirian iaitu MAHA Clinic pada tahun 1957 di Alor Setar. Ini membolehkan beliau bebas untuk bergiat di dalam politik sepertimana yang beliau inginkan.

Penglibatan Dr. Mahathir dalam dunia politik telah membolehkan beliau dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen Kota Setar Selatan pada tahun 1964. Ini dianggap sebagai tarikh bermulanya kegiatan politik Dr. Mahathir secara menyeluruh iaitu 18 tahun selepas menjadi ahli biasa UMNO. Namun begitu, beliau tewas kepada calon PAS, Yusof Rawa di dalam pilihanraya tahun 1969.3 Kekalahan ini juga meninggalkan detik hitam kerjaya politiknya apabila dipecat dari UMNO akibat kelantangan mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Pesaraan Tunku Abdul Rahman dan pelantikan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri membolehkan usaha untuk membawa Dr. Mahathir ke dalam politik Malaysia. Usaha dibuat oleh antara lain oleh Tunku Abdullah, Pengerusi UMNO cawangan Rawang dan anggota Parlimen kawasan Rawang serta Dato’ Harun Idris, bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Usaha berterusan membolehkannya bersetuju untuk aktif dalam UMNO dan dilantik menjadi ahli Majlis Tertinggi pada tahun 1972, Senator pada tahun 1973 dan Pengerusi FIMA pada tahun yang sama. Pada tahun 1974 pula, beliau kembali bertanding dalam pilihan raya umum dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Dalam masa yang singkat iaitu pada tahun 1976, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga iaitu Tun Hussein Onn (1976-81). Dr. Mahathir dilantik sebagai Presiden UMNO yang kelima selepas Tun Hussein mengumumkan perletakan jawatannya dan beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 16 Julai 1981.

Rusdi Omar & Sivamurugan Pandian

Ahad, 12 Mei 2013

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

ARKIB :  14/01/2009 
Utusan Malaysia
(CUIT: Dilema Melayu Moden/ ms 358-363)


SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.

Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa. Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.

Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).

Begini tulisan beliau:
Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia. Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.
Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.
Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta). 

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

Sabtu, 2 Februari 2013

Tun Dr. Mahathir dan Presiden Vladimir Putin

(Sumber: Page Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad )

 

Siapakah Vladimir Putin? Apakah hubungan beliau dengan Tun Dr. Mahathir? Secara mudahnya, baru-baru ini, Vladimir Putin dipilih menjadi Presiden Persekutuan Rusia yang ke-4, selepas proses "tandemokrasi" beliau dengan Dmitry Medvedev (Presiden ke-3) telah tamat. Struktur politik Rusia amatlah berbeza sama sekali dengan kita, kerana mereka mengamalkan perlembagaan republik secara separa presiden, iaitu Presiden merupakan Agong negara. Cukuplah pasal politik, Putin seringkali dikatakan bahawa beliau sentiasa meluangkan masa bersama Tun Dr. Mahathir. Selepas Pilihanraya Presiden 2004, Putin telah menikmati kemenangan semula terhadap Nikolay Kharitonov, ketua parti komunis, sebanyak 71.9% dan lebih kurang 50 juta undi popular, dan selepas dari pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir, Rusia telah menyambung reformasi ekonominya yang secara menariknya, lebih kurang sama dengan dasar Tun Dr. Mahathir. Ekonomi mereka melonjak naik!

Selepas pembubaran Kesatuan Soviet, pelbagai pembaharuan termasuk penswastaan yang tidak terkawal dan pasaran juga liberalisasi perdagangan sedang dijalankan. Tetapi, dibawah pimpinan Boris Yeltsin (Presiden pertama Rusia), ekonomi Rusia jatuh amat teruk sekali. Pada Oktober 1991, Yeltsin mengambil inisiatif seperti yang disyorkan oleh Amerika Syarikat dan serigala-serigala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Jutaan telah menjunam ke dalam kemiskinan, daripada 1.5% penduduk hidup dalam kemiskinan, dan kadar kemiskinan meningkat kepada 39% - 49% menjelang pertengahan 1993. Dari sini kita dapat melihat cadangan IMF telah hampir menghancurkan Rusia. Tahniah, IMF.

Yeltsin telah memohon maaf atas kegagalan dasarnya, dan menamakan Vladimir Putin sebagai presiden-sementara untuk mempengerusikan Rusia buat seketika memandangkan Pilihan Raya tahun 2000 masih jauh lagi. Setelah menjadi Presiden yang sah, Vladimir Putin telah meletakkan unsur-unsur kawalan, perlindungan dan konservatif di Rusia seperti apa yang Tun Dr. Mahathir lakukan pada tahun 1997. Pembaharuan yang dibuat semasa Putin menjadi presiden Rusia telah dikritik hebat oleh negara-negara barat sebagai langkah yang tidak demokratik. Perkara yang sama berlaku dimana media barat mengkritik hebat Tun Dr. Mahathir pada tahun 1997, dan dasar-dasar yang diguna oleh Putin ketika itu hampir sama seperti Tun Dr. Mahathir. 

Dasar ekonomi Putin adalah hampir sama dengan Tun Dr. Mahathir, di mana ekonomi dikawal oleh GLC. Ia adalah lebih seperti kapitalisme kerajaan. Ekonomi mereka tidak terlalu terbuka iaitu Russia mempunyai unsur-unsur kawalan, sama seperti Malaysia. Rusia pada dasarnya membuang semua dasar ekonomi liberal (terbuka), sekitar tahun 2004-2008 seperti pembuangan pengaruh IMF dengan membayar dengan segera seperti yang Tun lakukan. Terdapat banyak dasar-dasar dan pembaharuan yang berlaku selepas pilihan raya kali kedua kalinya dari segi ekonomi, dalaman, dan banyak lagi. Kebanyakkan yang berlaku di Rusia adalah hampir sama seperti semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 20 tahun. Walaupun Putin dikritik hebat, tetapi lihatlah apa yang Vladimir Putin telah capai, berakhirnya tahun 2007 dengan pertumbuhan yang berterusan, purata 7% setiap tahun sejak 1998. Pada tahun 2007, KDNK Rusia adalah $ 2,076,000,000,000 (est PPP), iaitu KDNK keenam yang terbesar di dunia dengan perkembangan KDNK sebanyak 8.1% daripada tahun sebelumnya.

Kedua-dua mereka memilih untuk tidak menjadi liberal dalam apa jua yang mereka lakukan atau memperkenalkan dasar-dasar baru untuk negara masing-masing. Itu adalah yang paling penting. Untuk kes Anwar, beliau mahu segala-galanya untuk menjadi liberal, dari masyarakat, ekonomi dan sebagainya. Ini tidak akan berhasil untuk kita. Menjadi terlalu liberal sebenarnya akan membuka pintu yang lebih luas kepada "pencuri" antarabangsa seperti Soros, untuk mencuri, mempengaruhi dan banyak lagi pengaruh negatif.

Seperkara lagi, Vladimir Putin juga membaca buku-buku Tun Mahathir. Bukti boleh didapati dari salah satu ucapan beliau kepada Tun Mahathir selepas memberi Anugerah Persahabatan Rusia tertinggi kepada Tun:

“Mr. Prime Minister, in one of your books, you mentioned that the 21st century will become ‘The Global Century’ – the century of rapid, all round development of the Asia Pacific region. It looks as though, thanks in large part of your efforts, Malaysia has entered this century just as you said, it would”

Seperti mana yang diketahui juga, di Moscow, kelihatan gambar-gambar Tun Mahathir di papan iklan (billboard) dan di sepanjang jalan. Memang amat sedih apabila warga-warga, ahli-ahli ekonomi, dan kerajaan luar negara menjulang nama Tun Dr. Mahathir, Anugerah Allah yang sebenar, sedangkan kita di negara sendiri menghina beliau sebagai munafik dan lain-lain lagi. Cara beliau membangunkan Malaysia sehingga presiden mereka sanggup berjumpa Tun untuk meminta pandangan dari segenap segi.

Banyak lagi bukti boleh didapati daripada kajian dasar Tun Dr Mahathir yang telah selamatkan kita dari Krisis Kewangan 97. Lebih banyak lagi bukti yang boleh didapati ketika ekonomi Rusia kembali pulih. Dan secara menariknya, Tun Dr. Mahathir menjadi salah seorang yang bertanggungjawab daripadanya. Jadi, apakah ‘jenis’ orang-orang yang mengutuk beliau? Fikirlah sendiri.