Hari ini seperti hari
kebiasaannya di tempat kerja, tugas saya dengan membuat tinjauan di sekitar
ladang ternakan ikan Talapia adalah kelaziman. Seronok melayan benda hidup ini.
Bertambah seronok apabila melihat kejayaan kita membesarkan benda hidup ini.
Sama juga seperti bercucuk tanam, mana tidak gembiranya jika tanaman kita
memberi hasil dan sekaligus memberi kita kepuasan. Tetapi syaratnya kena la monitor hari-hari agar tanaman dan ternakan kita bercambah
dan membesar dengan baik.
Di ladang ternakan ikan
ini, ada satu pasangan warga Indonesia yang bekerja. Puna dan isterinya, Ratna.
Ratna umurnya 27 tahun, manakala Puna mungkin dalam lingkungan 30 tahun.
Datangnya dari Jawa Barat. Pasangan ini la yang dipertanggungjawabkan menjaga
ikan yang diternak di dalam tangki besar dan kolam berhampiran. Sayang sekali,
pekerjaan yang sepatutnya diisi oleh para graduan diambil alih oleh mereka yang
sanggup terbang jauh demi mencari rezeki. Gaji mereka ini boleh tahan, juga,
dalam RM1200 sebulan. Sudah melebihi gaji minimum. Kerja yang dilakukan tidak
la banyak. Rutin harian hanya memberi makan ikan, memindahkan ikan untuk breeding sahaja. Lain-lain kerja perlu
dicari sendiri. Jika ada yang perlu dibaiki, dibersih dan dipindah, maka mereka
ini buat saja tanpa arahan diberikan. Saya amat kagum sebenarnya dengan
pasangan ini, para graduan yang masih tidak bekerja di luar sana patut malu,
malu kerana pasangan ini sudahpun menjana RM1200 sebulan sedangkan graduan
menganggur ini tidak memperolehi apa-apa. Pengalaman dan pengatahuan tidak usah
cakap la, tidak akan mereka perolehi kalau setakat berada di dalam rumah
sahaja.
Waktu rehat tengahari,
kelihatan pasangan warga Indonesia ini berehat-rehat di beranda. Jadi saya pun
menghampiri mereka dan duduk di atas beranda dengan niat mahu hilangkan lenguh
kaki selepas berjalan sana sini buat tinjauan. Pada awalnya, kelihatan pasangan
ini seperti tidak selesa dengan kehadiran saya, mereka ini sebenarnya berasa
malu dan rendah diri. Kita pula kebiasaannya memandang rendah kepada pekerja
asing ini. Hanya menganggap mereka ini pekerja kita saja dan tidak pernah mahu
berbual-bual dengan mereka umpama seorang kawan. Maklum la, tidak setaraf
katanya. Memang betul lah, kita tidak setaraf dengan mereka. Mereka ini dah
banyak negara mereka pergi. Taiwan, Korea, Dubai, Australia dan banyak lagi
negara maju lain mereka terokai. Orang-orang kita ada? Setakat berada dalam
Malaysia ini boleh la.
Bagi mencipta suasana
santai, saya mula berbual-bual dengan mereka dengan bertanyakan samaada mereka
suka bekerja di ladang ini atau tidak, makan minum dan tempat tinggal ok atau tidak dan terus melarat perihal
pekerjaan yang mereka lakukan sebelum bekerja di ladang ini. Mereka menjawab
apa yang saya tanya, siap huraikan lagi panjang lebar. Nampak seperti mereka
sudah selesa dengan saya. Ratna, isteri Puna yang sanggup menemani suaminya bekerja
di Malaysia pada asalnya merupakan pekerja asing di Taiwan, sebagai ‘sistar’
katanya ataupun dalam bahasa mudah kita sebagai penjaga. Ceritanya lagi,
sebelum ‘melancong’ ke Taiwan, dia bekerja di Dubai selama 2 tahun. Satu tempoh
yang agak lama juga. Kemudiannya balik ke Indonesia dan terus ke Taiwan pula
untuk bekerja selama 2 tahun. Mendengar ceritanya, saya bertambah kagum dengan wanita muda ini. Pandai
pula bercakap bahasa Mandarin dan Arab. Ada satu masa, majikannya dari Taiwan
menelefon dia dan mereka berbual-bual dalam bahasa mandarin. Wah hebat bukan,
baru 2 tahun berada di Taiwan, sudah lancar menguasai bahasa di sana. Para
graduan yang menganggur tidak berasa malu kah? Saya menyentuh perihal graduan
menganggur ni kerana mahu mereka terasa. Cukup la mencipta banyak alasan dengan
mengatakan Malaysia tiada pekerjaan, kerja tidak setaraf dengan kelulusan
mereka ditawarkan, gaji tidak lumayan dan seribu satu lagi alasan bagi ‘menyedapkan’
hati masing-masing. Sebenarnya yang paling lumayan adalah pengalaman dan
pengetahuan diperolehi melalui pekerjaan. Seperti Ratna, dia mempunyai banyak
pengalaman berada di negara orang dan menguasai banyak bahasa. Kalau mereka
yang ‘tidak setaraf’ dengan kita ni boleh terbang ke banyak negara, kenapa para
graduan yang masih tidak mempunyai pekerjaan tidak boleh terbang ke sana juga?
Alasan tiada pekerjaan
di Malaysia ini tidak boleh diterima sama sekali. Selagi wujudnya warga asing
di negara kita, tiada istilah ‘tiada kerja’ sama sekali. Yang menggunakan
istilah tersebut sebenarnya tidak mahu mengakui ketidakmampuan atau kelemahan mereka
untuk masuk ke dalam pasaran kerja yang berlambak di luar sana. Golongan ini
terlalu memilih. Malah ada diantara mereka yang boleh saja mendapat pekerjaan
tetapi menolaknya kerana tidak mahu bekerja bersama-sama warga asing! Tidak
setaraf dan malu katanya tetapi tidak pula berasa malu bila tidak bekerja dan ‘melepak’
di rumah sahaja sambil menunggu orang datang menawarkan kerja. Bila ada yang
tawarkan kerja memotong rumput, tidak mahu pula, tidak boleh kena panas dan
bimbang jiran-jiran akan nampak katanya! Kalau ada pertandingan pemberi alasan
paling banyak, golongan ini la akan jadi juara.
Secara keseluruhannya,
mereka ini warga asing yang berhijrah ke banyak tempat lagi hebat berbanding
kita. Bukannya hebat berdasarkan kekayaan harta benda, tetapi mereka lagi hebat
dari segi ketahanan minda, fizikal, penguasaan pengalaman dan banyak lagi aspek
yang kita tidak ada tetapi mereka ada dan berjaya tempuhinya. Saya sama sekali
tidak akan memandang rendah kepada pekerja asing ini. Pada saya, mereka mempunyai
ketabahan yang tinggi dan nekad dalam melakukan sesuatu. Mereka ini sanggup
meninggalkan keluarga dan ibu bapa demi mencari duit untuk teruskan hidup.
Sekurang-kurangnya mereka berpeluang merasa berada di negara orang, mempelajari
bahasa dan melihat cara hidup di negara lain. Saya pasti, bekas graduan yang ‘bertaraf
tinggi’ pun tiada peluang merasa berada di luar negara. Jika hutang PTPTN pun
tidak mampu bayar, ini kan mahu melancong ke luar negara. Apa yang kita nampak
sekarang adalah perihal tidak baik mengenai warga asing ini. Tetapi jangan la
kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Seperti pasangan yang saya
temui ini, mereka berdua ini saya lihat sangat baik dan taat pada agama. Malah
saya pula yang berasa malu kerana tidak menguasai bahasa luar seperti Mandarin
dan Arab. Mujur saya bertemu Ratna dan boleh la suruh dia ajarkan saya bahasa
Mandarin dan Arab.